Seperti tahun-tahun yang lampau, setiap kali Belanjawan dibentang, rakyat akan menanti-nantikan gula-gula yang bakal diumumkan bagi manfaat dan meningkatkan taraf hidup. Amat terkejut apabila dikaji dan diteliti Belanjawan tersebut tidak menampakkan ianya memfokuskan keperluan dan kehendak rakyat kebanyakan, malah, ianya kembali ke era Mahathir dan projek meganya. Di sudut yang lain pula, golongan kemiskinan tegar berhempas-pulas mencari sesuap makanan.
Melalui temanya dan bibit-bibit ucapan politiknya, sudah tentu Belanjawan 2011 ini akan menjurus ke arah Negara berpendapatan tinggi. Namun sebarang petanda bahawa Belanjawan disediakan selaras dengan tema yang menjadi modal air liur sejak kebelakangan ini. Mereka mendakwa kononnya Belanjawan kali ini Belanjawan untuk rakyat, sedangkan rakyat sendiri menggelar Belanjawan kali ini sebagai "Belanjawan Seluar Dalam".
Gaji Posmen menjadi kayu ukur
Kononnya Belanjawan kali ini memberi pengiktirafan kepada posmen dan pegawai sekuriti (sebut pak guard). Selepas ditanya posmen yang menghantar surat setiap hari ke rumah, rupa-rupanya gaji pokok seorang posmen selama ini adalah sebanyak RM610.00 dan hanya dinaikkan sehingga RM710 sebulan. Sukar juga apabila cuba memahami logik di sebalik meletakkan gaji pokok minimum pegawai sekuriti yang ditetapkan antara RM500 hingga RM700 sebulan, mengikut pemerhatian dan pengetahuan kita, gaji minima pegawai sekuriti sememangnya di sekitar RM700 sebulan.