Top posts

Featured Posts

Aktivis cabar parti politik Sabah buat komitmen yang tegas berhubung slogan "tolak parti Malaya/parti luar"

Dr Kanul Gindol ketika berucap pendek di majlis di Kg Taginambur, Kota Belud semalam. Dari kiri: Josely Taising, Danny Leinsin Limpakan, Dr Kanul, Zamal Intim dan Alvin Muaji@Ompod

24-3-2025
KOTA BELUD : Para pemimpin politik Sabah diingatkan jangan hanya mempermain perasaan rakyat Sabah dengan mempromosi slogan "tolak parti luar/Malaya" ketika musim mahu meraih sokongan tetapi nanti pada malam keputusan pilihanraya mereka sedia duduk berunding dengan Umno, PKR dan DAP pula untuk cuba membentuk kerajaan negeri.

Peringatan itu diberi aktivis terkenal Sabah, Dr Kanul Gindol, ketika bercakap pada satu ceramah politik anjuran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Kg Bukit Bendera Taginambur dekat sini malam tadi.

"Jika ini yang berlaku, percayalah pada saya, parti kamu tidak akan dipercayai rakyat lagi dua tahun dari sekarang ketika pilihanraya umum parlimen 2027 nanti, bahkan akan ditolak dan diludah rakyat pada PRN yang akan datang, empat atau lima tahun lagi.

"Saya sendiri sudah bosan melihat pembohongan demi pembohongan slogan dan janji pemimpin Sabah sendiri, dan saya rasa rakyat pun tidak lagi boleh menerima cara begini," katanya dalam ucapan ringkas beliau.

Menurutnya lagi, selama lebih 60 tahun sejak 1963, rakyat Sabah begitu mudah dibohongi dan mereka pula amat lambat menghukum pemimpin mereka yang suka menipu, tetapi mungkin ini bakal berakhir pada pilihanraya yang akan datang.

Dr Kanul Gindol yang juga Penyelaras Zon Utara bagi Parti Kerjasama Anak Negeri kemudian pada sesi soal-jawab majlis itu mencabar parti KDM membuat komitmen bagi menolak parti-parti Malaya atau parti dari luar, dan tidak hanya berteriak sana-sini menolak parti Malaya.

"Saya harap para pemimpin KDM dari Kadamaian membawa perkara ini kepada Majlis Tertinggi KDM demi kebaikan mereka sendiri. Saya harap pandangan saya akan diterima dengan positif," katanya lagi.
Gambar sebahagian yang hadir, kira-kira 40 hadir pada majlis itu.

Turut hadir dan berucap pada majlis semalam ialah Penyelaras KDM Kadamaian, Zamal Intim, Setiausaha KDM Kadamaian, Danny Leinsin Limpakan dan Ketua Cawangan KWSP Kota Marudu, Josely Taising yang dijemput memberi taklimat khas mengenai caruman sukarela KWSP.#




No comments:

Post a Comment

Search This Blog