Top posts

Featured Posts

Stanley Chew, 79, hero bolasepak Sabah patut dapat "Datuk"

Bertemu secara tidak sengaja di Tuaran... Legenda jurulatih bolasepak Sabah, Stanley Chew (kiri) dan penulis Dr Kanul Gindol (kanan).

Oleh Dr Kanul Gindol, 7-12-2024
TUARAN : Nama Stanley Chew sebagai jurulatih bolasepak Sabah begitu gagah pada suatu masa terutama sekitar 1979, tahun dianggap paling gemilang bagi bolasepak negeri.

Hari ini, Stanley, 79, mungkin tidak ramai yang kenal beliau kalau terserempak dengannya di mana-mana.

Saya terserempak legenda ini hari ini ketika beliau duduk di tepi sebuah restoran di pekan lama Tuaran, dan saya tidak berfikir panjang untuk menyapanya dan saya memperkenal diri.
Dari kiri, Dr Kanul, Stanley, bakat muda Darryl Hansen Spartye dan K. Johann.

Stanley pada usia emas 79 tahun, pada saya masih begitu aktif dan refleksinya masih mantap melihat kepada pergerakan matanya dan juga tangannya.

Saya kata kepadanya "coach" sepatut sudah dianugerah gelaran Datuk oleh Sabah kerana jasanya dalam dunia bolasepak. Jawab Stanley: "Itu bagi saya terlalu berat. Ia urusan orang politik..."

Saya bertanya beliau kenapa ada di Tuaran (kerana saya tidak tahu latar kehidupannya), dia memberitahu saya yang isterinya orang Tuaran. Stanley sendiri berasal dari Kuala Penyu di selatan Sabah.

Stanley mula menjadi jurulatih bolasepak di Sabah pada tahun 1972 dan meneruskan kerjaya itu hingga lewat 1980-an.

Pada 1970-an pasukan bolasepak Sabah merupakan antara pasukan paling digeruni dan pada 1979 ia memiliki ramai pemain yang amat berbakat dan menyarung juga jersi pasukan Malaysia.

Di bawah Stanley pada 1979, barisan nama ini amat popular bukan saja di Sabah tetapi di seluruh Malaysia :

Hassan Sani, James Wong, Peter Rajah, Awang Sabtu, Karti Tukimin, Razali Zinin, Malim Surat, Tony Wong, Vincent Wong, Johnny Wong, Richard Barnes, Azah Ezrein, Saidon Sungit dan Taip Amirbek.. sekadar menyebut sebahagian anak didik Stanley ketika itu.

Pada pertemuan singkat yang tidak dirancang dengan Stanley hari ini (sebenarnya kami tidak berkenal, saya sekadar mengenalinya dari jauh ketika kegemilangannya), beliau juga sempat memberi dua cadangan kepada penguasa bolasepak negara dan Sabah iaitu :

1. FAM mengubah balik dasar supaya hanya membenarkan dua atau tiga pemain import luar negara bermain dalam liga kebangsaan supaya bakat tempatan ada ruang lebih luas untuk diketengahkan.

2. SAFA menganjurkan liga tempatan di peringkat daerah mengikut zon SAFA supaya lebih mudah mengenal pasti bakat tempatan.

"Kalau pemain semua import dari luar negeri, termasuklah pasukan Harimau Malaya, bukan lagi anak tempatan, pergi ke mana lagi pemain-pemain bolasepak tempatan kita?" katanya.

Sebagai rekod, selain begitu berpengalaman dan antara pakar sains bolasepak negara, Stanley memiliki ijazah sarjana muda kejurulatihan sukan, dan sarjana sukan dan sains jasmani dari dua universiti di England.#


No comments:

Post a Comment

Search This Blog