Ramai teringin melihat Dr Jeffrey Kitingan, presiden StarSabah, diberi peluang menjadi Ketua Menteri Sabah, walau hanya sepenggal.
Oleh Datuk Raymond Boin, 19-12-2024
HARI ini terus berlegar spekulasi tentang apa yang akan berlaku dalam politik Sabah pada tahun hadapan.
Pertama, sudah pasti kita akan mempunyai seorang Tuan Yang Terutama yang baru, sebagaimana yang telah diumumkan bahawa Tun Musa Amanlah yang akan menduduki Istana Seri Kinabalu menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang bakal tamat tempoh tugasnya pada 31 Disember.
Segala kehangatan komen positif dan negatif tentang pelantikan Tun Musa yang memenuhi media massa sekarang, terutama dalam aplikasi WhatsApp, akan reda juga. Akhirnya, tumpuan perbincangan kedai kopi akan kembali kepada isu politik dan bagaimana situasi masa kini akan berubah hala tujunya.
Ya, persoalan yang sedang bermain ligat di kepala dan hati rakyat ialah: apakah bentuk kerajaan yang bakal tercipta berikutan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti? Ramai yang mengimpikan sebuah Sabah yang bebas daripada kongkongan kuasa Putrajaya, yakni menikmati status yang benar-benar bebas daripada campur tangan parti-parti dari Malaya, seperti keadaannya bagi Sarawak sekarang.
Namun, impian ini nampaknya tidak mudah dicapai memandangkan tiada cara untuk menolak mana-mana parti dari Kuala Lumpur untuk bertanding dalam PRN17. Yang dapat menolak “parti-parti dari luar” hanyalah undi rakyat, jika majoriti pengundi Sabah memilih hanya parti-parti tempatan.
Semangat ke arah ini memang sudah lama bercambah dan ditunjukkan baru-baru sahaja oleh SAPP apabila Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, mengumumkan pengunduran partinya daripada Perikatan Nasional (PN). Alasannya tidak lain kerana SAPP berpendirian tidak menyokong hasrat PN untuk bertanding dalam PRN17 Sabah.
Tetapi dalam soal kekuatan parti-parti tempatan, rata-rata mengetahui bahawa tidak ada satu pun parti tempatan yang mempunyai keupayaan untuk menang sendirian dan memerintah seperti yang pernah dicapai oleh USNO, Berjaya, dan PBS pada masa lalu. Maka, persoalannya hari ini ialah: parti-parti manakah yang akan bergabung untuk menjadi satu blok yang kuat untuk memerintah Sabah?
Pada Mac lalu, UMNO telah mengadakan perbincangan dengan Warisan untuk kemungkinan bekerjasama dalam PRN17. Namun, Presiden UMNO, Datuk Zahid Hamidi, dan Ketua UMNO Sabah telah mengakui bahawa tiada keputusan muktamad dicapai ke arah itu.
Umno dan BN di bawah pimpinan Zahid Hamidi diramal main peranan tentukan gabungan parti mana akan memerintah Sabah selepas PRN17.
Kemudian, pada bulan September lalu, timbul pula pendekatan baharu apabila UMNO dan Sabah Barisan Nasional (BN) bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN17. Agaknya, kerjasama dengan Warisan tidak menjadi kerana Warisan juga sudah berpendirian tegasnya tidak mahu bersekongkol dengan parti-parti dari luar Sabah. Tidak kiralah jika ia dipanggil munafik kerana ia sendiri pernah bertanding dalam pilihan raya di Malaya.
Pada bulan November lalu, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, mengumumkan bahawa “pendirian Warisan adalah jelas dan konsisten” bahawa Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, “telah berulang kali menegaskan bahawa jika Warisan perlu membuat pilihan, keutamaan Warisan adalah untuk bekerjasama hanya dengan parti tempatan Sabah.”
Kenyataan Azis ini, pada implikasinya, menunjukkan bahawa Warisan tidak lagi yakin dapat bertanding sendirian dengan harapan untuk memerintah semula setelah kekalahan dalam PRN16. Maka, persoalan seterusnya ialah: dengan siapakah Warisan akan bekerjasama? Sebagai sebuah parti Bumiputera Islam, mereka perlu iagabungan dengan parti-parti Momogun dan parti Cina.
Kejayaan gabungan politik di Sabah hari ini bergantung kepada kerjasama tiga segi – Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam (Momogun), dan parti Cina. Namun, penjuru ketiga – parti Cina – sudah menjadi terlalu lemah di Sabah. LDP sudah lama menjadi bisu, dan SAPP yang masih banyak bersuara terus dihantui oleh realiti bahawa presidennya sendiri pun dipandang sebagai tidak boleh menang di mana-mana kawasan yang ditandinginya. Apakah ini bermakna gabungan dua segi (Bumiputera Islam dan Bumiputera Momogun) boleh bertanding tanpa bergabung dengan mana-mana parti Cina?
Yang menjadi spekulasi utama juga timbul daripada persepsi bahawa GRS sebagai sebuah gabungan yang memerintah sekarang (kononnya) sudah menampakkan keretakan dan dipercayai akan berpecah sejurus selepas pembubaran DUN pra-PRN17 nanti.
Yang pasti, STARSABAH dan PBS akan bekerjasama walaupun rancangan untuk bergabung menjadi satu parti yang diusahakan sekarang tidak menjadi realiti. Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Hj Noor, berpendirian bahawa GRS akan terus bersatu untuk menghadapi PRN17, sementara berlegar pendapat (dan harapan) sebilangan pengundi agar STARSABAH dan PBS akan bergabung dengan Warisan.
Pemerhati politik melihat gabungan ini sebagai satu formula yang mempunyai potensi terkuat untuk menjadi pemerintah pasca-PRN17, dengan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Ketua Menteri.
Namun, harus diingat bahawa senario-senario pra- dan pasca-PRN17 semuanya adalah permainan pemikiran penganalisis politik kedai kopi yang tidak pasti ketepatannya. Lagi pun, apa sebenarnya yang akan berlaku hanya akan kita lihat dengan peredaran masa dan timbul tenggelamnya pelbagai isu, kejadian, dan langkah-langkah politik yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang.#
No comments:
Post a Comment