Oleh Jayden Lisandu, 3-12-2024
KOTA BELUD : Dr Rimin Maun, bekas Penolong Pengarah Pertanian (Penyelidikan) di Jabatan Pertanian Sabah, menawarkan diri sebagai calon di kawasan Dewan Undangan Negeri Tempasuk pada pilihanraya negeri 2025.
Dr Rimin, 61, yang bersara pada 3 Mei 2023 memberitahu BorneoHerald, beliau menawarkan pengalaman luas dalam sektor pertanian serta pelayanan masyarakatnya kepada rakyat Tempasuk.
Pada masa ini Dr Rimin merupakan Ketua Bahagian Parti Sedar Rakyat (SEDAR) Kota Belud dan anggota Majlis Kerja Negeri (MKN) SEDAR Sabah.
"Misi saya ialah merangka dan melaksanakan Pelan Induk Pembangunan DUN Tempasuk, dengan fokus kepada perancangan strategik sehingga 60 tahun akan datang, termasuk pembangunan ekonomi, infrastruktur, dan pendidikan Tempasuk," katanya.
Beliau berkata pengalaman luasnya dalam pertanian termasuk menerbitkan beberapa jurnal teknikal pertanian dan melatih ramai usahawan tani akan membantunya mengusahakan peningkatan industri pertanian terutama padi di Tempasuk yang ketika ini semakin merosot.
Tempasuk ketika ini diwakili Datuk Arshad Bistari yang dulu memenangi kerusi itu atas tiket Umno/BN tetapi kini telah berpindah ke PGRS. Beliau juga salah seorang ADUN yang sedang tular dalam rakaman video yang sedang disiasat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Selain Arshad dan Dr Rimin, nama lain yang turut disebut-sebut bakal bertanding kerusi Tempasuk ialah Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, Datuk Hanjan Samit dan Munirah Majilis dari Warisan, John Samud dari Parti KDM dan Priskila Akwila Senin dari Parti Kerjasama Anak Negeri.
Tempasuk mempunyai kira-kira 15,000 orang pengundi, dengan nisbah pengundi bangsa Dusun dan bangsa Bajau yang seimbang, membuatkannya salah satu kawasan yang terbuka untuk dimenangi oleh mana-mana parti politik dan calon pada pemilihan yang dijangka tahun depan.
Dr Rimin dan isterinya Rose Lagijun mempunyai lima orang anak, kesemuanya graduan dengan yang paling bongsu sedang belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Dr Rimin, dari suku Dusun Tindal, juga adalah Presiden Pertubuhan Kebajikan Komuniti Kota Belud Sabah, ahli kepada Society of Agriculture Scientists Sabah (SASS), dan mantan Presiden Persatuan Graduan Kota Marudu.
Semasa mengetuai Persatuan Graduan Kota Marudu, beliau memperjuangkan isu pemecatan guru-guru sandaran di Sabah sehingga ramai mereka diserap semula ke dalam perkhidmatan, manakala yang lain diberi peluang ke kursus perguruan untuk memenuhi kelayakan sebagai guru terlatih.#