Diserang anjing liar di Semporna.. kanak-kanak lima tahun cedera parah diserang anjing liar dan meninggal dalam perjalanan ke Hospital pada 3 November 2024.
5-11-2024
SEMPORNA: Ahli Majlis Tertinggi Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI), Hasaman Sagaran, meminta Pegawai Daerah dan Majlis Daerah Semporna mengambil tindakan segera menangkap anjing-anjing liar yang berkeliaran di kampung-kampung, khusus di kawasan di mana menjadi tumpuan pelancong dan kanak-kanak.
Hasaman yang merupakan antara pengasas ANAK NEGERI berkata demikian mengulas kejadian seorang kanak-kanak berumur lima tahun telah meninggal dunia akibat digigit oleh sekumpulan anjing liar dekat rumahnya di Kg Sungai Tuhok, Semporna, Ahad lepas (3 November, 2024).
"Saya menggesa agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan bertindak segera demi keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak dan sebab daerah Semporna adalah destinasi pelancong antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di aini hari ini.
Pada hari kejadian itu, bapa mangsa sedang bersarapan manakala anaknya itu seperti kebiasaan pagi pergi ke sebuah kedai di hadapan rumah mereka, bersama sepupunya.
Bagaimanapun tidak lama kemudian orang-ramai riuh apabila mendapati seorang kanak-kanak terbaring dalam keadaan berlumuran darah tanpa pakaian di tepi Dewan Kampung itu dengan kesan gigitan anjing pada seluruh tubuhnya.
Hasaman yang kesal dengan kejadian tersebit menggesa pihak berwajib bertindak segera bukan saja menjamin keselamatan penduduk terutama kanak-kanak tetapi juga bagi memelihara imej Semporna sebagai pusat pelancongan yang bersih dan selamat.
Beliau turut menggesa kerajaan Sabah agar tidak memandang ringan kejadian kanak-kanak berumur lima tahun mati digigit anjing liar itu, sambil menuntut penyelesaian segera kebanjiran anjing di daerah berkenaan.
"Di mana skuad tembak anjing liar Majlis Daerah Semporna?," tanya beliau.
Hasaman yang juga bekas anggota RELA Semporna mengaku masih terkejut dan bersedih atas kejadian itu, berkata masalah anjing liar berkeliaran dan menggigit orang juga bukan perkara baru di daerah Semporna.
"Saya kesal sebab kejadian anak kecil digigit anjing liar berkeliaran sepatutnya boleh dielakkan sekiranya Pegawai Daerah dan Majlis Daerah telah mengambil tindakan awal secara proaktif," tegasnya lagi.
Beliau turut mengingatkan gigitan anjing liar boleh membawa risiko jangkitan penyakit anjing gila (rabies) yang boleh membawa maut.
"Malah orang yang terdedah atau tersentuh air liur anjing liar yang membawa kuman rabies juga boleh dijangkiti dan mengakibatkan kematian.
"Saya mencadangkan agar anggota RELA, Rukun Tetangga, dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pembangunan, Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JPKKK) digerakan untuk memburu dan menangkap atau membunuh anjing-anjing liar yang menjadi ancaman kepada anak-anak keci," katanya lagi.#
No comments:
Post a Comment