Top posts

Featured Posts

Yayasan Sabah patut bantu siswa miskin, kata Dr Kanul

Yayasan Sabah patut tubuh Tabung Khas bantu pelajar susah.. Dr Kanul Gindol 

Oleh Jayden Lisandu, 18-10-2024
KOTA BELUD : Yayasan Sabah (YS) yang ditubuhkan pada 1966 untuk memajukan pendidikan Sabah sepatutnya mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Khas membantu pelajar dari keluarga susah yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran universiti yang semakin mahal.

Aktivis terkenal yang juga Penyelaras Zon Utara, Parti Kerjasama Anak Negeri (AN), Dr Kanul Gindol, berkata banyak isi rumah tidak mampu membayar yuran pendaftaran kolej atau universiti, ada yang sehingga RM3,000.

"Mengapa pula sehingga Yang di-Pertua Negeri sendiri "turun padang" memberi bantuan kilat kepada dua pelajar yang hampir-hampir tidak dapat mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti dilapor baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau merujuk TYT Tun Juhar Mahiruddin yang menghulur bantuan kepada Chrisnanalina Jumis dari Paitan dan Nor Fasha Natashya dari Tawau beberapa hari lepas bagi menjamin mereka tidak terlepas peluang mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dr Kanul yang juga Ketua Bahagian AN Kota Belud, turut mempersoal kenapa membebankan lagi Wakil-Wakil Rakyat sehingga mereka turut terpaksa menghulurkan wang untuk membayar yuran pendaftaran sebahagian pelajar Sabah dari kawasan masing-masing.

"Kita sering mendengar kes pelajar kita dari kurang berkemampuan tidak dapat menyambung pengajian ke universiti kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar yuran pendaftaran universiti atau kolej.

"Kenapa Yayasan Sabah tidak cari inisiatif dalam hal ini? Begitu ramainya staf dan pegawai serta pengurus pelbagai unit dan bahagian dalam Yayasan Sabah dengan gaji yang sangat besar, untuk apalah memiliki pegawai sangat ramai tapi gagal membantu pelajar miskin menyambung pengajian.

"Yang kita dengar pula ialah anak kemanakan orang politik diberikan biasiswa keluar negeri bahkan ada pinjaman ratusan ribu oleh mereka ini kemudian ditukar menjadi biasiswa hanya kerana ada kaitan keluarga di dalam," tambahnya lagi.

Menurut Dr Kanul, AN, jika diberi mandat memerintah atau menjadi sebahagian kerajaan suatu masa nanti, akan mencari jalan menjadikan YS pemimpin utama GLC kerajaan dalam menubuhkan Tabung Khas memastikan kesemua pelajar Sabah dari keluarga susah, sekurang-kurangnya dibantu dari segi yuran pendaftaran universiti.

"Kita tidak sanggup ada seorang pun pelajar Sabah dinafikan peluang menyambung pengajian universiti hanya kerana tiada wang membayar yuran pendaftaran," tambah Dr Kanul lagi.#

No comments:

Post a Comment

Search This Blog