Top posts

Featured Posts

Agenda utama SEDAR Sabah

Barisan Ahli Majlis Kerja Negeri, SEDAR Sabah bersama Presiden Parti di AGM Ahad lepas.

15-10-2024
KOTA KINABALU : Parti Sedar Rakyat (Cawangan Sabah) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Khas di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini Ahad lepas yang turut dihadiri Presiden parti, Datuk Othman Abdullah, Pengerusi SEDAR Sabah, Prof Dr Ariffin Muhammad dan Timbalan Pengerusi SEDAR Sabah, Dr Julia Emelda Ongkili.

Mesyuarat ini menumpukan kepada pembentangan dan perbincangan beberapa resolusi penting yang bakal menjadi agenda utama parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRNS17).
Dari kiri Dr Julia Emelda Ongkili, timbalan pengerusi SEDAR Sabah, Presiden Datuk Othman Abdullah dan Prof Dr Ariffin Muhammad, Pengerusi SEDAR Sabah.

Parti SEDAR Rakyat, Sabah bukan sekadar sebuah nama, malah membawa maksud yang mendalam kepada rakyat dan negeri Sabah. SEDAR adalah akronim bagi Sabah Economic Development and Accountability Reforms, yang menjelaskan misi utama parti untuk memperjuangkan pembangunan ekonomi yang berdaya tahan serta memperkukuhkan reformasi akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan. 

Parti SEDAR berpegang teguh kepada prinsip ini demi kesejahteraan jangka panjang negeri Sabah.
Dr Julia E. Ongkili bersama beberapa perwakilan wanita pada AGM SEDAR Sabah.

Antara resolusi utama yang dibincangkan dalam AGM khas tersebut adalah:

1. Memperkasakan Reforms Akauntabiliti
   Parti SEDAR Rakyat Sabah menekankan komitmennya untuk giat mempromosikan reformasi akauntabiliti dalam setiap gerak kerja parti. Langkah ini bertujuan memastikan kebertanggungjawaban yang tinggi dan pentadbiran yang telus, sesuai dengan visi untuk membawa perubahan menyeluruh dalam tadbir urus negeri dan memastikan hasil pembangunan ekonomi sampai kepada rakyat.

2. Partisipasi dalam PRNS17 
   Parti SEDAR Rakyat Sabah mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRNS17) bersama dengan Parti-Parti Tempatan di Sabah. Keputusan ini adalah berdasarkan keyakinan bahawa SEDAR mampu membawa pembaharuan ekonomi dan politik yang diperlukan, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah melalui agenda reformasi yang digariskan.
3. Pertambahan Keahlian Parti
   Parti SEDAR Rakyat Sabah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat yang menunjukkan minat untuk menyertai parti. Jumlah keahlian yang semakin meningkat menunjukkan kepercayaan rakyat terhadap misi dan visi parti dalam membawa pembangunan yang lebih inklusif dan adil di negeri ini.

4. Persediaan Jentera Pilihan Raya
   Parti SEDAR Rakyat Sabah juga mengesahkan bahawa jentera pilihan raya parti sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRNS17. Persiapan rapi dari segi logistik, strategi kempen, dan penyelarasan akar umbi telah dilaksanakan bagi memastikan kejayaan parti dalam pilihan raya tersebut.

5. *Pendirian Parti terhadap Kerajaan*
   Setakat ini, Parti SEDAR Rakyat Sabah mengekalkan pendirian yang mesra terhadap Kerajaan yang sedia ada. Namun, parti akan terus memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan reformasi tadbir urus sebagai dasar utamanya dalam berinteraksi dengan mana-mana pihak.

Prof Dr Ariffin, Pengerusi SEDAR Sabah, menekankan bahawa parti ini bukan sahaja membawa harapan baharu untuk pembangunan ekonomi Sabah, tetapi juga menjamin akauntabiliti yang lebih kukuh dalam pentadbiran negeri. 

Parti SEDAR Rakyat Sabah optimis bahawa dengan sokongan padu daripada rakyat dan persiapan rapi, ia berupaya membawa perubahan yang lebih baik untuk masa depan Sabah. Parti juga menyeru semua rakyat Sabah untuk terus menyokong agenda reformasi ekonomi dan akauntabiliti yang dibawa oleh SEDAR demi kemajuan dan kesejahteraan negeri.

Demikian kenyataan penuh dari SEDAR Sabah yang diperolehi Borneo Herald hari ini.#

No comments:

Post a Comment

Search This Blog