Top posts

Featured Posts

Bajet 2025 : Kenapa tiada peruntukan majukan sawah padi Sabah? tanya Dr Julia Emelda Ongkili


                      Dr Julia Emelda Ongkili 

20-10-2024
TAMPARULI : Seorang pemimpin kanan Parti Sedar Rakyat (SEDAR) di Sabah mempersoalkan mengapa Perdana Menteri gagal memberi dana untuk memajukan sawah padi di Sabah.

Dr Julia Emelda Ongkili, Timbalan Pengerusi SEDAR Sabah, berkata beliau terkejut tiada peruntukan untuk memajukan sawah padi Sabah sedangkan dana sangat besar diberi kepada Semenanjung setiap tahun.

"Yang sangat jelas dan mengejutkan ialah Bajet ini tidak memperuntuk wang untuk membangunkan pengeluaran padi di Sabah berbanding RM1 bilion disediakan untuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah.

"Setiap tahun sawah padi di Semenanjung khususnya di Kedah dan Selangor menerima bilion ringgit sejak berpuluh tahun kenapa Sabah tiada?" tanya beliau.

"Kita berterima kasih kerana Bajet 2025 memang memperuntuk dana pembangunan yang agak besar juga kepada Sabah iaitu RM6.7 bilion namun ia masih jauh daripada apa yang kita sepatut terima," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Dr Julia, yang juga anak bekas menteri pusat dan juga timbalan ketua menteri Sabah, mendiang Datuk Dr James Ongkili, Sabah terus ketinggalan, diburukkan lagi oleh kekurangan inisiatif dan idea dalam kerajaan Sabah, berbanding Sarawak.

Katanya, Sabah terus mengimport 75% keperluan berasnya kerana hanya 25% ditampung sawah tempatan, berbanding Semenanjung mengimport hanya 20% beras kerana 80% sudah dapat ditampung keluaran tempatan.

Beliau juga turut mempersoalkan kenapa peruntukan diberi pula kepada agensi pusat, FELCRA, untuk pembangunan sawah padi di Sabah dan Saeawak.

"Peruntukan RM65 juta kepada FELCRA, sebuah agensi Pusat, kononnya untuk meluaskan sawah padi atas tanahnya di Sabah  dan Sarawak juga menimbulkan tanda tanya saya.

"Adakah perundingan Menteri Pertanian Federal, Mat Sabu dengan kerajaan Sabah menemui jalan buntu kerana kerajaan pusat bertegas mahukan kawasan tanah yang luas diserah kepada agensi Pusat sebagai syarat diberi dana?

"Premier Sarawak dilaporkan turut kecewa tidak mendapat dana yang dimintanya untuk membangun lebih luas sawah. Namun kerajaan beliau akan menggunakan wang negeri RM500 juta untuk tujuan itu," kata Dr Julia.

"Bagaimana dengan Sabah? Apa langkah kerajaan Sabah meningkatkan pengeluaran padinya khususnya di Kota Belud, Tuaran, Papar, Keningau dan kawasan berpotensi lain?" tambah beliau lagi.#

No comments:

Post a Comment

Search This Blog