Kaum wanita tubuhkan Persatuan Kebajikan Semangat Kasih Kota Belud


20-9-2024
KOTA BELUD: Ketika dunia semakin dilanda perang dan pelbagai krisis kebencian, sekumpulan wanita Kota Belud menerajui penubuhan Persatuan Kebajikan Semangat Kasih Kota Belud (PKSKKB) yang komited memperkukuh kesejahteraan sesama insan.

PKSKKB yang masa ini dianggotai 45 orang ahli, akan melaksana program-program kebajikan yang memfokus kepada penanaman semangat kasih sayang, keprihatinan dan kepedulian terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.

"Persatuan ini juga berhasrat untuk membangunkan komuniti melalui usaha kolektif yang mengutamakan kesepaduan antara ahli persatuan dan masyarakat umum," kata jurucakap persatuan itu, Priskila Akwila Senin.
      Peguam muda Priskila Akwila Senin

Mesyuarat Agung Kali Pertama PKSKKB Tahun 2024 diadakan pada Khamis (19-9-2024) di Dewan Skyblue, Pejabat ADUN Kadamaian dekat sini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang juga merupakan Penaung Persatuan merasmikan mesyuarat agung itu.

Antara yang hadir ialah Pengerusi PKSKKB, Caroline Carol Doruan, Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran, Pengerusi Kelab Permotoran Siou Otolikudan Borneo, Mujin Soborong, Penasihat PKSKKB, Lelyvia Mavid, Penolong Pengerusi PKSKKB, Priskila Akwila Senim, dan Justina Satimooi dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Moyog.

Dalam mesyuarat tersebut, matlamat persatuan telah diperincikan kepada semua ahli, yang antara lainnya adalah untuk menjaga kebajikan ahli, memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta individu-individu yang berpengaruh dalam usaha memperkasa masyarakat.

PKSKKB juga bertekad untuk menganjurkan pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat. Ini termasuk penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk dan mewujudkan jaringan persatuan yang lebih erat dengan masyarakat, sekaligus memupuk budaya saling membantu dan prihatin.

Pengisian program mesyuarat termasuk ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Persatuan, Caroline Carol Doruan, selain ucapan perasmian oleh Saikom. Sesi soal jawab yang dikendalikan Penolong Pengerusi, Priskila turut memberikan peluang kepada ahli untuk memberikan cadangan dan pandangan terhadap arah tuju persatuan.

Penasihat PKSKKB, Lelyvia Mavid, turut menyuarakan harapan beliau agar persatuan ini akan menjadi platform yang berdaya maju dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Saya melihat PKSKKB sebagai sebuah NGO yang berpotensi besar untuk membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Harapan saya adalah agar semua ahli dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap aktiviti yang dianjurkan, demi mengangkat nilai-nilai kemanusiaan yang murni,” kata Lelyvia.

Berkenaan dengan perancangan masa hadapan PKSKKB, Lelyvia berkata persatuan akan terus menganjurkan program-program ilmu yang bertujuan meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

"PKSKKB merancang untuk menganjurkan program-program ilmu yang mampu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat serta mengenal pasti individu-individu yang memerlukan bantuan khusus. 

"Kami juga merancang untuk mengadakan majlis makan amal pertama persatuan, bagi mengumpul dana untuk melaksanakan program-program kebajikan pada masa akan datang," katanya lagi.

Dengan visi yang jelas dan usaha gigih semua ahli, PKSKKB berhasrat untuk terus memainkan peranan yang signifikan dalam membawa perubahan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya di daerah Kota Belud.#

No comments:

Post a Comment