Top posts

Featured Posts

Kelab Rotary dan Gereja Latter-Day Saints akan bina tiga empangan air graviti untuk 2,385 penduduk enam kampung Ranau


RANAU : Kelab Rotary WASH (Water, Sanitation, Hygiene) KK bersama Gereja Latter-Day Saints Kota Kinabalu dijadual membuat sumbangan besar kepada 2,385 orang penduduk di enam buah kampung terpencil di Ranau.

Mereka merancang membina dua atau tiga empangan mini air di tadahan air Kg Ruhukon, Kg Paus dan mungkin Kg Doromomol.

Dr Julia Emelda Ongkili yang turut bersama sembilan orang lain pemimpin Rotary KK ke Ranau semalam, ketika dihubungi _BorneoHerald_ , berkata mereka sempat meninjau dua kawasan tadahan air saja dan tidak sempat ke Doromomol kerana sudah gelap.

"Kami bertolak dalam tiga kenderaan dari Kota Kinabalu pada jam 5 pagi dan sebaik tiba di Kg Ruhukon, mendapat taklimat Ketua Kampung Ruhukon, Willis Gambating.

"Kami kemudian mendaki bukit kira-kira setengah jam meninjau kawasan tadahan air Ruhukon yang telah musnah oleh banjir di mana paip-paip juga pecah dan bocor di sana sini.

"Tadahan air ini tidak berfungsi sejak tiga tahun lalu dan 585 orang penduduk dari 95 rumah terpaksa mencari sumber air mereka di sana sini," kata Dr Julia.

Katanya mereka di bawah pimpinan Penasihat Teknikal Wong Chu Lai, kemudian mengenal pasti satu kawasan yang sesuai dibina empangan mini sebagai takungan air Ruhukon.

"Penduduk kampung akan membersihkan kawasan dan kita akan menyumbangkan peralatan sehingga siap dan operasional," katanya sambil menambah tangki-tangki yang masih elok akan digunakan sebagai takungan tambahan.

Rombongan itu kemudian tiba di Kg Paus dan diberi taklimat oleh Pemaju Mukim, Yasiri Bijin, dan Ketua Kampung, Dualis Guni serta Pengerusi JKKK, Melvin Jeniol.

Turut hadir ialah pengerusi Bekalan Air Kg Doromomol, Sinun Majip serta Wakil Ketua Anak Negeri sembilan buah kampung di situ.

"Kami kemudian terpaksa berjalan kaki tiga jam pergi-balik ke kawasan tadahan baru air Kg Paus. Tadahan lama tidak sesuai lagi sebab tercemar oleh pembangunan berdekatan.

"Kita akan membina empangan baru di kawasan tadahan lama atas tanah kerajaan yang sudah ditinggalkan 10 tahun lalu tapi paling sesuai untuk tujuan ini," katanya sambil menambah penduduk Kg Paus akan membantu mempersiapkan kawasan dan menyediakan laporan keperluan paip.

Paip poli yang dibekalkan Jabatan Kesihatan sebelum ini bukan standard SIRIM dan sudah lama rosak pecah, katanya.

Kg Paus ini meliputi lima kampung iaitu Paus, Doromomol, Pakolon, Tangki dan Garakan, mempunyai 1,800 orang penduduk.

Dr Julia berkata sepatutnya mereka perlu melawat satu lagi tadahan di Kg Doromomol tetapi tidak sempat kali ini, oleh itu mereka meminta penduduk membuat rakaman video, gambar dan ukuran jarak bagi memudahkan pelan empangan di situ.

Turut hadir ialah Pengerusi Projek ini, Datuk Sue, Elder Brad Douglas dan isterinya Marsha Douglas dari Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints.#

Berikut gambar-gambar Kelab Rotary dan Gereka LDS di Kg Ruhukon dan Kg Paus, Ranau semalam :

No comments:

Post a Comment

Search This Blog