Top posts

Featured Posts

Pertimbang polisi "salutary neglect" ketika ghairah kuat kuasa undang-undang terhadap rakyat, gesa aktivis Dr Kanul mengenai kes roboh rumah



Oleh Dr Kanul Gindol, 9-8-2024
1. Saya menerima laporan semalam ada penguatkuasaan merobohkan beberapa rumah milikan mungkin 16 keluarga Murut di Kg Ria, Keningau.
          Kes roboh rumah di Kg Ria, Keningau.

2. Saya juga mendapat beberapa klip video sebuah jentera Hitachi sedang merobohkan rumah-rumah di Kg Ria itu yang saya difahamkan terletak dalam kawasan tanah milik Majlis Daerah Keningau.
3. Salah tetap salah. Mendirikan rumah atas tanah kerajaan tanpa izin memanglah salah menurut undang-undang, namun, tindakan merobohkan kediaman rakyat adalah lebih amat kejam dan salah juga. Saya boleh membayangkan betapa hancur hati ibu bapa dan anak-anak isi rumah terbabit melihat kerajaan merobohkan kediaman mereka dan memikir di mana mereka tinggal selepas ini.
4. Saya difahamkan isirumah dari etnik Murut itu berasal dari Nabawan dan Pensiangan yang sudah membina 16-18 rumah di Kg Ria tidak jauh dari Stadium Keningau lebih 10 tahun yang lalu. Rumah-rumah ini juga dilaporkan ada bekalan air dan elektrik yang teratur.
5. Rumah-rumah ini sama ada didiami anak-anak mereka yg sedang bersekolah atau bekerja di sekitar Pekan Keningau.
6. Saya menyeru Kerajaan Sabah cuba menerapkan konsep "salutary neglect " setiap mereka menguatkuasakan sesuatu perundangan terutama yang membabitkan keselamatan dan kebajikan penduduk Sabah. Konsep ini akan memberatkan kebaikan yang lebih besar daripada hanya semata-mata melaksanakan sesuatu peraturan sekarang tetapi ia tidak menyelesaikan suatu masalah sebaliknya mendatangkan masalah berganda kepada semua pihak terutama rakyat.
7. Hanya jika ruang itu betul-betul perlu diguna segera dan tiada lagi ruang lain, barulah laksana penguatkuasaan kejam meroboh rumah orang, dengan memberi mereka notis mengenai tujuan perobohan.
8. Janganlah angkuh berkata "majlis daerah berhak". Siapa yang dulu dan didahulukan? Bukankah rakyat ada, maka barulah ada kerajaan? Di Sabah, seluruh tanah negeri ini sebenarnya adalah milik Orang Asal, dan kerajaan termasuk kerajaan tempatan hanyalah pemegang amanah bagi pihak penduduk. Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sendiri pernah mengakui hal ini (seluruh Sabah milik Orang Asal) dalam sidang Dewan Undangan Negeri.
9. Ini bermakna sebarang dasar, program dan keputusan kerajaan tempatan mesti diteliti pemimpin politik tempatan kerana mereka ini didedahkan kepada pengadilan rakyat setiap masa, dan oleh itu harus memberi ruang kepada penduduk bernafas hidup dan tidur lena.
10. Satu penyelesaian untuk kes begini ialah menyepakati penduduk setinggan untuk membantu memindahkan rumah mereka ke lot atau kawasan perkampungan baru yang selesa untuk tujuan mereka. Kalau diusahakan, saya yakin kerajaan masih boleh mengurus hal ini dengan baik, bukan dengan menghalau dan merobohkan kediaman komuniti.
11. Jika ingatan saya tidak salah, lebih 20 tahun lampau pihak berkuasa hutan membakar dan meroboh rumah-rumah orang Dusun di Kg Tangkarason, Paitan, malah meracun pokok getah mereka hanya kerana penduduk kampung dikatakan memasuki Hutan Simpan kelas IV jika saya tak silap.
12. Saya sendiri dibawa melawat rumah-rumah tersebut dan melihat sendiri peralatan dapur dan rumah orang Dusun ini bertaburan dan terbakar di atas tanah, amat memilukan mata memandang rumah roboh, senget di'chainsaw' dan terbakar. Reban ayam mereka juga habis musnah dibakar.
13. Ia sudah lama berlalu tetapi trauma di kalangan mangsa malah sesetengah penguatkuasa Jabatan Hutan berterusan. Ramai mereka sudah bersara dan meninggal dunia. Ada juga yang kesal dengan apa yang berlaku sehinggalah mereka tua dan mati.
14. Siapalah pemilik tanah itu sekarang? Apalah faedah besar yang diperolehi oleh kerajaan yang tidak beralah itu sedangkan masih ada tanah yang boleh ditawarkan menjadi perkampungan baru?
15. Kenapa kerajaan di Sabah tiada satupun yang berani membuka perkampungan baru untuk rakyat yang semakin ramai, terutama di kampung-kampung yang semakin sempit?

Sekian.


Dr Kanul Gindol, PhD, adalah aktivis terkenal masyarakat Sabah, juga pengasas pengerusi NGO Inisiatif Gindol untuk Masyarakat Madani Borneo, dan menganggotai Parti Kerjasama Anak Negeri.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog