Oleh Jayden Lisandu, 18-6-2024
KOTA KINABALU : Beberapa pemimpin hak Sabah menuntut Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mendedahkan hasil siasatan yang diumumkannya pada 2022 mengenai dakwaan pelantikan seorang pendatang sebagai pengarah Sawit Kinabalu milikan kerajaan negeri, demikian lapor The Vibes.
Presiden Yayasan Borneo's Plight in Malaysia, Daniel John Jambun, Pengerusi Inisiatif Gindol untuk Masyarakat Madani Borneo, Dr Kanul Gindol, dan Andrew Ambrose @ Katama dari Pembela Tanah Leluhur Sabah menggesa ketua menteri menjelaskan pelantikan Peer Mohamad Kadir ke syarikat itu.
Kewarganegaraan Peer, yang juga merupakan Ketua MIC Sabah, telah dipersoalkan kerana beliau dipercayai salah seorang saksi dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah pada 2013.
Beliau didakwa menerima kad pengenalan Malaysia enam tahun selepas tiba di Sabah dari India pada 1984. Peer sebenarnya dalam pwngakuannya sendiri dilahirkan di Chennai, India.
Bagaimanapun kad pengenalan Malaysianya menyatakan dia lahir di Sabah, lebih tepat kononnya di Kg Bambangan, Kimanis.
Daniel berkata, “Hajiji telah berjanji pada 2022 untuk menyiasat perkara ini tetapi sengaja melupakannya, berharap orang ramai akan melupakan.” Nama Peer masih tersenarai sebagai pengarah syarikat itu sehingga hari ini.
Andrew pula menuntut kerajaan negeri telus mengenai penemuannya dan mendedahkannya kepada umum.
“Dia (Peer) harus menjelaskan bagaimana dia mendapat MyKad. Tidak kira status politiknya, prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan mesti dikekalkan.
“Orang ramai berhak mengetahui kebenaran, dan ketelusan ini akan membantu memulihkan kepercayaan awam terhadap proses kewarganegaraan dan imigresen negara ini,” kata Andrew sambil menggesa cadangan pelan IC Sabah dilaksanakan untuk membolehkan negeri mengawal populasinya.
Kanul, sebaliknya, berkata beliau mahu percaya bahawa pemimpin tidak akan menutup mata terhadap perkara ini.
“Saya tidak mahu percaya bahawa kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan buta atau telah lumpuh untuk bertindak terhadap kes Peer,” kata Kanul lagi.
Sebelum ini, pemimpin Parti Progresif Sabah (SAPP) yang juga setiausaha politik Hajiji sendiri, Jamain Sarudin, telah menggesa kerajaan Sabah untuk mendedahkan hasil siasatan yang sepatutnya terhadap Peer.#
No comments:
Post a Comment