Top posts

Featured Posts

Bahaya seruan Ustaz Firdaus Wong, kata Dr Julia Ongkili dari SEDAR


                         Dr Julia Emelda Ongkili 

TAMPARULI : Seorang pemimpin kanan Parti Sedar Rakyat (SEDAR) menyifatkan seruan seorang ustaz kontroversi dari Semenanjung, Firdaus Wong, sebagai merosak keharmonian dan tidak bertanggung jawab.

Dr Julia Emelda Ongkili, pemangku pengerusi SEDAR Sabah, menyelar Firdaus kerana mengajar ustaz lain bagaimana mengislamkan murid bawah umur bukan islam dan kemudian mualaf ini membohongi ibubapa mereka bahawa mereka bukan Muslim.

"Mengislamkan orang bawah umur 18 tahun tanpa persetujuan ibubapa merosakkan keharmonian antara agama dan boleh memburukkan lagi tanggapan orang ramai terhadap Islam," katanya sambil menambah ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Ini melanggar hak kebebasan beragama warganegara Malaysia di mana Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

"Jika ibu bapa yang bertanggung jawab terhadap agama anak-anak mereka di bawah umur 18 itu dinafikan hak itu, ini adalah melanggar Perlembagaan dan satu kesalahan besar serta perlu dihentikan serta-merta agar tiada pihak lain mengikut seruan ustaz tersebut," tegas lagi.

Dr Julia berkata sesetengah pihak mungkin menganggap orang bawah umur bukan muslim melafazkan syahadah adalah perkara mudah dan tidak membawa kesan apa-apa, tapi sebenarnya ia boleh mengakibatkan masalah lain yang lebih besar jika ibu bapa mereka membawa kes ini ke mahkamah.
         Ustaz Firdaus Wong Wai Hung menjadi mualaf pada 2005.

Menurutnya, seruan ustaz Firdaus supaya anak-anak berbohong demi Islam dalam konteks ini adalah seperti menjolok sarang tebuan, ramai akan terkesan dengan perbuatan orang yang percaya dan mengikuti seruan ustaz itu.

"Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu tegas dan berhati-hati agar tidak dilihat menyokong dan memberi platform kepada ustaz-ustaz berkenaan, jika tidak semakin ramai rakyat akan hilang hormat kepada keluhuran perlembagaan dan sistem negara ini.

"Pihak Jabatan Pelajaran juga mesti sentiasa waspada mengelak sekolah dijadikan medan pengislaman kanak-kanak bawah umur seperti yang dibayangkan oleh video Ustaz Firdaus Wong yang sedang tular itu," ujarnya lagi. #

No comments:

Post a Comment

Search This Blog