33 graduan Sabah terima ijazah pada konvokasi Wilmington Metropolitan University di Kuala Lumpur hari ini

    Sebahagian graduan dari Sabah di Konvokasi WMU hari ini.


Oleh Jayden Lisando, 22-6-2024
KUALA LUMPUR : Seramai 33 graduan dari Sabah hari ini menerima diploma, sarjana muda, sarjana dan PhD pada konvokasi Wilmington Metropolitan University (WMU), Amerika Syarikat di sini.

Jumlah itu merupakan yang terbesar dari Sabah sejak tujuh tahun Institut Kemahiran Sabah (IKS) menjalankan kolaborasi dengan WMU, kata pengerusi IKS, Prof Dr Ariffin Willie Muhamad.

"Ini satu pencapaian dan penghargaan kepada Sabah, dan kita akan teruskan usaha melahirkan lebih ramai graduan berilmu Sabah dalam pelbagai bidang," katanya kepada Borneo Herald selepas majlis konvokasi itu.

Konvokasi dijalankan di Dewan Persatuan Alumni Universiti Malaya di Damansara dekat sini.

Menurut Prof Dr Ariffin, daripada 33 graduan itu, empat orang menerima Diploma, dua Sarjana Muda, 13 Sarjana dan 14 PhD.

Antara lain graduan Sabah yang menerima PhD hari ini ialah bekas penolong pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Dr Rimin Maun, timbalan pengerusi Parti Sedar Rakyat, Sabah, Dr Julia Emelda Ongkili, aktivis Dr Kanul Gindol, pengetua sekolah Dr Marcus Shapi dan pemimpin Parti Warisan, Dr Cherles Ebbie.

Napsah Pengiran Galpam, 77, merupakan graduan tertua dari Sabah. Beliau menerima ijazah sarjana sains politik.

Sementara itu, Prof Dr Ariffin turut berkata mungkin inilah kumpulan terakhir pelajar IKS / WMU kerana selepas ini Sabah International University (SIU) yang berdaftar di California dijadual memulakan pengambilan pelajar pada tahun ini.

Pada November tahun lalu, beliau memberitahu Borneo Herald  SIU beroperasi sebagai universiti yang mengaplikasi "blended pedagogy", milikan sepenuhnya syarikat Sabah, buat permulaan akan menawarkan beberapa kursus peringkat Sijil dan Diploma sehingga Master.

Katanya ketika itu, SIU ditubuhkan di Amerika Syarikat kerana Malaysia tidak lagi membenarkan pendaftaran sebarang universiti atau kolej sejak 15 tahun ini.

"Apa yang saya buat adalah untuk masa depan generasi kita. Kita akan menawarkan kursus yang relevan kepada orang Sabah dan industri di sini seperti pelancongan, pengurusan perniagaan, perladangan dan juga sains politik.

"IKS yang saya terajui selama ini akan menyambut kursus SIU di Sabah dan kita akan menjalankan kombinasi pembelajaran dalam kelas, secara online dan juga praktikal," katanya lagi ketika itu.

Menurut Prof Dr Ariffin juga menyatakan pihaknya sudah mengenal pasti barisan pasukan yang mantap dan bersemangat untuk pengurusan universiti, komiti akademik dan komiti senat.

Katanya lagi penubuhan SIU disambut baik oleh beberapa rakan akademiknya dari Sabah dan juga Semenanjung yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang pengalaman dan kepakaran mereka.#

Berikut gambar-gambar pada majlis konvokasi itu yang membawa cerita tersendiri:


Senarai penuh graduan Sabah di konvokasi WMU:

No comments:

Post a Comment