TELUPID : Seorang lagi pemimpin kanan Parti Sedar Rakyat (SEDAR) dari Sabah menyifatkan keputusan menteri Umno menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) untuk menyaingi JKKK di kampung-kampung Sabah sebagai bukti Umno tidak jujur.
Naib pengerusi Sedar Sabah, Nilis Joseph, berkata jika Umno jujur membantu kampung-kampung Sabah, kenapa ia tidak tubuhkan jawatankuasa itu sebelum ini ketika ia memegang tampuk pemerintahan Sabah.
"JKDM ini sebenarnya hanyalah untuk kepentingan politik Umno semata-mata, dan bukan untuk memajukan kampung-kampung di Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nilis, Sedar menolak pewujudan JKDM kerana tiada kejujuran di dalamnya, dan Umno hanya mempergunakan rakyat Sabah supaya pemimpin cawangan Umno mendapat habuan.
"Kita tingulah sama ada pemimpin parti-parti politik lain Sabah dalam Kerajaan Perpaduan madani akan turut dilantik pengerusi JKDM atau adakah semua dibolot orang Umno," katanya.
Nilis mendakwa ada pihak tertentu yang hendak mengajar kerajaan GRS yang telah mengenepikan Umno di semua peringkat termasuklah pentadbiran di kawasan DUN dan kampung-kampung.
"Ini ada persamaan dengan tindakan kerajaan Umno ketika pemerintahan PBS dulu, di mana kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dan menyalurkan peruntukan Sabah melalui JPPS dan bukan kerajaan negeri.
"Cuma kali ini, tindakan ini diperkira untuk dua tahun terakhir sebelum PRU. Difahamkan Pengerusi JKDM diberi gaji RM1,600 sebulan manakala Setiausaha JKDM RM800 berbanding Pengerusi JKKK di bawah kerajaan negeri hanya menerima RM900 sebulan manakala setiausaha JKKK tidak menerima sebarang elaun," katanya lagi.
Menurut Nilis lagi sudah tentu hal itu akan merendahkan lagi semangat JKKK, apalagi kalau JKDM menerima peruntukan yang lebih banyak berbanding diterima JKKK, di mana banyak JKKK dilaporkan gagal diberi apa-apa peruntukan kampung bertahun lamanya.
"Inilah yang berlaku apabila kerajaan negeri lemah dan para pemimpinnya tiada idea dan inisiatif yang menarik.
"Komitmen Sedar Sabah seperti dinyatakan Timbalan Pengerusi Sedar Sabah, Dr Julia Emelda Ongkili, memberi peluang kepada penduduk memilih sendiri pengerusi JKKK dan ketua kampung jika Sedar yang memerintah patut disokong oleh rakyat Sabah," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment