SEDAR Sabah tolak pewujudan "KDMR Task Force" oleh Presiden

       Richard Jimmy yang diumumkan oleh Presiden sebagai Ketua "KDMR Task Force" Parti Sedar Rakyat pada 24 Februari 2024.


KOTA KINABALU: Parti Sedar Rakyat di Sabah dikatakan hampir sebulat suara menolak keputusan Presiden itu mewujudkan Pasukan Petugas Khas KDMR yang diumumkannya pada Kongres Tahunan ke-5 di Kuching baru-baru ini.

Sumber-sumber memberitahu Borneo Herald, yang Majlis Kerja Negeri yang bermesyuarat semalam di sini, sebulat suara kecuali seorang, menolak keputusan itu bagi memastikan keutuhan Parti di Sabah.

Presiden Sedar, Datuk Othman Abdillah, pada mesyuarat tahunan parti pada 24 Februari 2024, mengumumkan pewujudan "task force" itu dan melantik Richard Jimmy dari Penampang sebagai ketuanya.

Richard yang dihubungi Borneo Herald hari ini berkata beliau yang hadir pada mesyuarat MKN semalam terkejut apabila pada penghujung mesyuarat Pengerusi MKN Sabah, Prof Dr Ariffin Willie Muhamad, membawa perkara menolak keputusan Presiden mewujudkan "task force KDMR" berkenaan.

"Pada 23 Februari iaitu malam sebelum mesyuarat tahunan di Hotel Telang Usan Kuching, Datuk Presiden membawa dalam perbincangan dengan pimpinan Sabah mengenai penubuhan ini dan pelantikan saya sebagai ketuanya.

"Mereka tidak membantah cadangan Presiden bahkan menerimanya, dan memberi tepukan apabila Presiden mengumumkannya keesokan harinya di mesyuarat itu," katanya.

Menurut Richard, sekembali ke Sabah beliau membentuk AJKnya, menyediakan terma rujukan serta mengenal pasti pemimpin di 17 kawasan pertama Dewan Undangan Negeri majoriti KDMR.

Katanya lagi pasukan Petugas Khas KDMR sebagai sayap baru Sedar boleh membantu mempercepat pengembangan Parti itu di Sabah terutama sekali di kawasan komuniti Kadazandusun dan Murut.

Sementara itu, ketika dihubungi, Prof Dr Ariffin mengiyakan penolakan itu semalam sambil menambah "MKN berpandangan task force itu tidak perlu sebab timbalan pengerusi MKN juga seorang KDM dan memadai untuk parti Sedar di Sabah".

Beliau merujuk kepada timbalannya Dr Julia Emelda Ongkili, yang juga anak tokoh politik era BERJAYA, mendiang Datuk Dr James Ongkili.

Presiden, Othman pula ketika dihubungi Borneo Herald, berkata beliau ingin terlebih dahulu melihat minit mesyuarat semalam sebelum dapat memberi ulasan mengenainya.#

No comments:

Post a Comment