Presiden Parti Sedar Rakyat, Datuk Othman Abdillah, berkata Sabah jauh ketinggalan dari Sarawak sedangkan hasil kedua-dua negeri lebih kurang sama dan adalah lebih mudah memajukan Sabah sebab ia bersaiz lebih kecil dari Sarawak.
"Dari segi pembangunan, Sabah 10 kali ketinggalan. Lebuhraya Pan-Borneo di Sarawak sudah siap, Sarawak ada kapal terbang (pengangkutan udara) sendiri dan Sarawak sedang nak buat jalan keretapi dari Sarawak ke Kalimantan.
"Patut Sabah jumpa tanya Abang Johari bagaimana dia mengurus Sarawak," katanya pada ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan SEDAR di Hotel Telang Usan hari ini.
Seramai 10 Perwakilan dari SEDAR Sabah diketuai Prof Dr Ariffin Willie Muhamad turut hadir.
Menurut Othman lagi jika Sabah mengikut gaya pimpinan dan pentadbiran Abang Johari tiada sebab Sabah tidak cepat maju.
"Simpanan Sarawak sekarang RM40 bilion tapi Sabah hanya RM6 bilion, sedangkan hasil minyak dan gas lebih kurang sama sahaja bahkan Sabah adalah pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di Malaysia tapi tidak maju. Kenapa?.
"Kalau boleh, kita bekerjasama dengan Abang Johari atau GPS. Cadangan saya kepada Sabah ialah mesti bekerjasama dengan GPS barulah Sabah maju seiring dengan Sarawak.
"Potensi Sabah banyak. Sepatutnya Sabah lebih maju sebab Sabah lebih kecil, lebih mudah memajukannya," tambahnya lagi.
Othman yang sebelum ini bersama PBB selama 30 tahun, juga turut menyatakan pendirian parti SEDAR yang akan menyokong kerajaan sedia ada di peringkat negeri dan persekutuan.
"Pada peringkat persekutuan, SEDAR menyokong kerajaan yang ada dan kita jangan ganggu mereka sehingga satu penggal. Kalau tidak, maka lebih baik kita adakan pilihanraya umum setiap tahun.
"Yang di-Pertuan Agong sendiri berkata sehingga ada empat Perdana Menteri dalam lima tahun. Ini semua dunia tahu..." katanya.
Pada AGM itu juga, Othman sendiri membentangkan beberapa pindaan terhadap perlembagaan SEDAR, antara lainnya ialah seseorang tidak dibenarkan memegang lebih dari satu jawatan pada satu-satu masa seperti jika sudah ketua cawangan, dia tidak boleh jadi ketua bahagian juga.
Antara pindaan yang lain ialah meletakkan tempoh dua tahun keahlian sebelum seseorang boleh bertanding jawatan parti, serta menamakan Bahagian parti pada peringkat kerusi Parlimen, Cawangan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Cabang untuk peringkat kampung.
Othman juga mengumumkan pelantikan Richard Jimmy dari Penampang selaku ketua Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) SEDAR Sabah.#
No comments:
Post a Comment