Larian Remaja Kanul Point berpotensi jadi larian terkenal

KOTA BELUD : Aktivis Sabah yang dikenali ramai, Kanul Gindol, menyatakan hasrat menganjurkan Larian Kanul Point setiap tahun di jalan lama Kelawat-Kinasaraban dekat sini selepas larian ulung itu selesai dengan amat berjaya di sini hari ini.

"Larian sejauh 8.5km ini kita mahu teruskan dan usaha kekalkan laluannya bermula di Perigi Mantub Kelawat ke check point dekat Gereja SDA Kinasaraban dan kembali ke penamat di stesen joging Kanul Point.

"Kita teruskan anjur Larian Kanul Point ini sehingga terkenal menjadi larian antarabangsa suatu hari nanti kerana laluannya di jalan lama sangat menarik dan sesuai sekali, dan setiap tahun akan ada keghairahan untuk mengatasi rekod pertama yang dicipta hari ini pada 2024, di samping ada hadiah yang menarik," katanya.

Kanul yang juga berasal dari Kelawat berucap pendek menutup Larian Kanul Point 2024 yang disertai 17 orang pelari muda lelaki tempatan berumur 13 hingga 22 tahun. Beliau kemudian menyampaikan hadiah wang tunai kepada 10 pelari terpantas.

Beliau juga berkata menimbang untuk menganjurkan Larian itu bagi kategori perempuan juga berumur 13-22 pada laluan yang sama iaitu 8.5km, seperti dicadangkan oleh pelari-pelari wanita tempatan.

Bagi tahun ini Fikri Haqimi Hasmi, 21, dari Kg Pangkalan Abai menjadi juara apabila mencatat 38 minit, 37 saat bagi larian 8.5km itu, sekaligus mencipta rekod sulung Larian Kanul Point. Fikri menerima trofi, wang tunai RM300 dan senaskhah buku.

Kanul bersama tiga terpantas Faiz, Fikri dan Cleve

Top 6 dari kiri: Hafiez, Cleve, Fikri, Faiz, Richy dan Darryl

Larian Kanul Point juga diadakan bersempena Hari Memberi Buku Antarabangsa yang disambut setiap 14 Februari.

Tempat kedua jatuh kepada Muhammad Faiz Haqeemi Abdul Adis, 20, dari Kg Wakap, yang mengekori rapat Fikri sepanjang larian dari mula, mencatat masa 38 minit, 42 saat. Faiz menerima wang tunai RM200 dan senaskhah buku.

Di tempat ketiga, Cleve Reo Handly, 14, dari Kg Tambulion, mencatat 42 minit, dan menerima wang tunai RM100 serta senaskhah buku.

Pemenang keempat sehingga kesepuluh menerima saguhati tunai RM50 setiap seorang dan senaskhah buku juga.

Tempat keempat ialah Mohd Hafiez Pengabian (45.57), kelima Darryl Spartye (47:32), keenam Richy Angelo Nixon, ketujuh Olano Bakker, kelapan Delcher Arther, kesembilan Hyder Dloves Saidi (57) dan kesepuluh Zachary Lawrence (59).

Kesemua peserta berjaya menamatkan larian 8.5km itu termasuklah Ober Carlson, Denilson Melson, Gareth Roy, Adry Adrian, Darel Danether, Leoran Petrus dan Inoven Carol.

Peserta terakhir yang menamatkan larian, Inoven Carol, dengan catatan 1 jam, 28 minit, mendapat pujian khas dari Kanul kerana berpandangan amat positif apabila berkata .."saya sudah membakar kalori (lemak) saya.."

Turut hadir ialah beberapa ibu bapa peserta serta pemimpin komuniti.#


No comments:

Post a Comment