Profesor dari Sabah berjaya daftarkan Sabah International University (SIU) di US dan bakal ambil pelajar pertama tahun depan

 
Oleh Jayden Lisando, 30-11-2023
PUTATAN : Siapa kata anak tempatan Sabah tidak boleh menubuhkan pusat pengajian tinggi antarabangsa? Prof Dr Ariffin Willie Muhamad, tokoh pendidikan Sabah sukses mendaftarkan Sabah International University (SIU) di Amerika Syarikat !

SIU yang berpejabat di California ini beroperasi sebagai universiti yang mengaplikasi "blended pedagogy", milikan sepenuhnya syarikat Sabah, dijadual mula menawarkan beberapa kursus peringkat Sijil dan Diploma sehingga Master tahun depan.

Prof Dr Ariffin anak kelahiran Sandakan memberitahu Borneo Herald baru-baru ini, SIU ditubuhkan di Amerika Syarikat kerana Malaysia tidak lagi membenarkan pendaftaran sebarang universiti atau kolej sejak 15 tahun ini.

"Apa yang saya buat adalah untuk masa depan generasi kita. Kita akan menawarkan kursus yang relevan kepada orang Sabah dan industri di sini seperti pelancongan, pengurusan perniagaan, perladangan dan juga sains politik.

"Institut Kemahiran Sabah (IKS) yang saya terajui selama ini akan menyambut kursus SIU di Sabah dan kita akan menjalankan kombinasi pembelajaran dalam kelas, secara online dan juga praktikal," katanya ketika ditemui di pejabat IKS di Putatan dekat Kota Kinabalu.

Menurut Prof Dr Ariffin, pihaknya berjaya mengenal pasti barisan pasukan yang mantap dan bersemangat untuk pengurusan universiti, komiti akademik dan komiti senat.

Katanya penubuhan SIU disambut baik oleh beberapa rakan akademiknya dari Sabah dan juga Semenanjung yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang pengalaman dan kepakaran mereka sama ada sebagai pasukan pengurusan, penasihat mahupun tenaga pengajar.

"Saya juga memanggil rakan-rakan termasuk aktivis Sabah terutama mereka yang memiliki idea-idea menarik untuk pembangunan awal SIU. Saya yakin dengan sokongan ramai, SIU akan berjaya sebagai institusi pendidikan tinggi Sabah yang boleh dibanggakan nanti," katanya konfiden sambil menambah kos penubuhan SIU sejak 2022 ditanggungnya sendiri setakat ini.

Prof Dr Ariffin Willie Muhamad (kanan) turut memanggil aktivis Sabah seperti Kanul Gindol, dalam sesi percambahan idea untuk Sabah International University. Kanul adalah salah seorang pelajar PhD Sains Politik kendalian Prof Ariffin dari sebuah universiti Amerika.

Menurut Prof Dr Ariffin, SIU pada tahun-tahun permulaan akademiknya dijadual menawarkan kursus peringkat sijil kemahiran yang mengambil masa hingga enam bulan dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum menawarkan kursus peringkat Diploma dalam enam bidang iaitu pengurusan perhotelan, pentadbiran perniagaan, teknologi komunikasi dan informasi, pendidikan awal, sains politik dan pentadbiran awam.

Enam kursus ini akan dikendalikan menerusi empat sekolah atau jabatan iaitu sekolah perniagaan, sekolah pengurusan (hotel dan pelancongan), sekolah kemanusiaan dan sains sosial, serta sekolah teknologi maklumat.

"Saya yakin SIU akan berkembang dari setahun ke setahun kerana kita juga mengenal-pasti rakan kolaborasi dengan agensi kerajaan dan pemain industri atau pihak swasta yang bersedia bekerjasama dengan SIU dalam menyediakan atau memperkasa tenaga kerja di Sabah," katanya lagi.

Prof Dr Ariffin menaruh harapan SIU sebagai pusat pengajian jarak jauh dan terbuka, pada suatu hari nanti mengeluarkan graduan bermutu tinggi, dan akan membuka laluan kepada lebih ramai pelajar bukan saja Sabahan tapi dari pelbagai negara untuk mendapatkan pendidikan.#


No comments:

Post a Comment