Top posts

Featured Posts

PBS dingin terhadap cadangan Jeffrey untuk gabungkan StarSabah dan PBS


                      Dr Joachim Gunsalam

Luke Rintod, 7-7-2023
CADANGAN Presiden StarSabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mengenai usaha penggabungan partinya dengan PBS, nampaknya menerima sambutan dingin, sekurang-kurangnya dari salah seorang Timbalan Presiden PBS sendiri.

Datuk Dr Joachim Gunsalam membayangkan cadangan itu bukan keutamaan partinya masa ini. "Ia cuma cadangan Dr Jeffrey. Belum ada apa-apa jawatankuasa ditubuhkan dan oleh itu terlalu awal untuk bercakap mengenainya," tegas Dr Joachim.

Katanya PBS tidak mahu tergesa-gesa membincang perkara itu, sebaliknya PBS akan meneruskan kerjasama sedia ada dengan StarSabah di bawah panji-panji GRS sehinggalah pilihanraya umum negeri Sabah yang bakal diadakan selewat-lewatnya tahun 2025.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam media The Star hari ini.

Namun sebelum ini Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, dilaporkan cadangan penggabungan dua parti bertunjangkan masyarakat Kadazandusun itu adalah baik dan perlu dibincangkan majlis tertinggi kedua-dua parti.

Presiden PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili, yang tidak berapa sihat sejak tahun lalu, pula masih berdiam diri mengenai cadangan tersebut, walaupun dikatakan kedua-dua pihak sudah bertemu sebelum ini untuk membuka cerita usaha penggabungan PBS dan StarSabah.

Pada pemilihan Timbalan Presiden PBS tahun 2021, Dr Joachim, menewaskan Joniston.

Pada masa-masa lalu, berlaku juga perbincangan untuk menggabungkan semua parti utama Kadazandusun termasuk PBRS dan Upko tapi tiada apa-apa kemajuan mengenai itu, dan cadangan dibiar hilang begitu saja oleh pemimpin-pemimpin parti tersebut.

Pemerhati berpendapat, Dr Jeffrey menimbulkan kembali cadangan itu bagi melahirkan sebuah parti baru yang lebih kuat dari StarSabah dan PBS berasingan, serta membuka ruang baginya memimpin parti baru itu, bagi melebarkan penguasaannya terhadap naratif politik kumpulan etnik Kadazandusun dan Murut.

Oleh itu ada cadangan supaya abangnya, pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dicadang kembali menerajui buat sementara waktu PBS dan juga parti baru itu sebelum Jeffrey mengambil-alih. Ini bagi menyenangkan hati beberapa golongan dalam PBS yang sangsi dengan kehilangan PBS menjadi parti gabungan dengan StarSabah yang mungkin akan didominasi Dr Jeffrey.

Ramai juga ragu penggabungan itu boleh menjadi realiti, sama juga dengan usaha menggabung PBS, PBRS dan Upko pada masa lampau. Ini kerana para pemimpin / presiden parti-parti Kadazandusun sangat mementingkan kedudukan mereka sendiri masing-masing, bersikap degil sesama dan tidak berani.

"Jika mereka berani, tidak degil dan tidak mementingkan diri sendiri saja, sudah lama mereka bergabung. Hari ini 'players' masih orang yang sama, apa yang baru boleh diharapkan dari mereka?," kata seorang pemerhati.

PBS dan StarSabah, pada pilihanraya umum negeri pada 2020 baru lalu, walaupun dalam satu kesatuan GRS, bertembung juga di beberapa kerusi. PBS menang tujuh manakala StarSabah enam.#



No comments:

Post a Comment

Search This Blog