Top posts

Featured Posts

StarSabah dan PBS bincang ke arah penggabungan


Jayden Lisando & Luke Rintod, 23-6-2023

Kota Kinabalu : Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) dikatakan ingin bergabung menjadi sebuah parti, dan perbincangan peringkat tertinggi sudahpun dimulakan.

Menurut sumber-sumber dari kedua-dua parti, setiausaha agung StarSabah dan PBS sudah membuat pertemuan baru-baru ini atas arahan presiden kedua-dua parti lokal itu.

Selepas ini presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili dan presiden StarSabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dijangka bertemu untuk menetapkan penggabungan itu. 

Bagaimanapun menurut sumber, naib-naib presiden kedua-dua parti akan bertemu terlebih dahulu bagi memperinci lagi cadangan penggabungan tersebut.

Pada masa ini turut ditimbulkan ialah cadangan untuk mendapatkan khidmat bekas presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, untuk mengambil-alih jawatan presiden PBS dari Dr Maximus yang dilaporkan tidak sihat.

Cadangan itu timbul bagi menyejukkan penolakan awal dari kalangan pemimpin PBS yang khuatir perbincangan penggabungan akan menemui jalan buntu.

Pada pilihanraya negeri 2020, PBS yang ketika itu masih anggota BN memenangi tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri manakala StarSabah menang di enam kerusi. Pada pilihanraya umum Parlimen 2022 pula, PBS senasib dengan StarSabah apabila hanya memenangi masing-masing satu kerusi Parlimen iaitu StarSabah di Keningau manakala PBS di Tawau.
Pada masa ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan 73 kerusi DUN. Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai satu kerusi Parlimen. 

Pada masa ini juga StarSabah sudah meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS). StarSabah menyertai PN ketika perubahan tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Harapan kepada PN pada Februari 2020.

Bagaimanapun, pada Disember, 2022, Dr Jeffrey mengumumkan partinya lari dari PN kerana menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pada suatu masa, StarSabah bersama SAPP, walaupun masih komponen PN, juga turut bergabung dengan GRS bersama-sama Usno dan PBS, dan pada PRU15 November, 2022 yang baru limpas, mereka bersepakat untuk menggunakan lambang GRS.

GRS kini dianggotai tujuh parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah, StarSabah, PBS, SAPP, Usno, LDP, dan PHRS.

Presiden PBS, Dr Maximus, sendiri kalah teruk di Kota Marudu, gagal mempertahankan kerusi itu dengan kelebihan majoriti 8,174 undi memihak kepada Datuk Wetrom Bahanda, timbalan presiden Parti Kesejahteraan Demokrasi Masyarakat (PKDM).
          "Giant-killer" Datuk Wetrom Bahanda
       Timbalan Presiden PKDM yang tewaskan                      Presiden PBS di Kota Marudu.

Pada PRN Sabah 2020, Dr Jeffrey, yang kini Timbalan Ketua Menteri I Sabah, menewaskan abangnya Pairin di Tambunan, mengakhiri rekod tanpa kalah Pairin sejak tahun 1976, sekaligus memaksa beliau bersara terus dari politik aktif.

Pemerhati politik tempatan pula sudah mula memberi komen hambar terhadap usaha penggabungan itu sebagai hanya ingin meneruskan legasi keluarga Kitingan-Ongkili terutama dalam politik masyarakat Kadazandusun.
Pairin dan Dr Jeffrey merupakan pakcik kepada Dr Maximus yang meneruskan legasi mendiang abangnya Datuk Dr James Ongkili. Keluarga mereka "menguasai" kepemimpinan politik masyarakat Kadazandusun lebih 47 tahun sejak 1976, dan tanda-tanda penolakan terhadap pimpinan mereka semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

Pemerhati juga berpendapat usaha menggabungkan parti mereka itu sebagai petanda jelas mereka sudah mulai risau mereka bakal ditolak rakyat sebelumpun pilihanraya negeri diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2025.

Seorang pemerhati politik dari Keningau yang hanya mahu dikenali sebagai Joe mengomen: "Tiadalah ini bro. Star akan ditolak pada pilihanraya nanti".

Seorang pensioner guru dari Ranau pula memberi komen: "Tidak akan jadi itu. Apapun semakin sikit kerusi kedua-dua parti ini pada PRN akan datang".

Seorang ahli politik dari Tawau pula memberi komen: "Jadi kita mahu undi apa? Warisan? Sudah-sudahlah Warisan tu".#

No comments:

Post a Comment

Search This Blog