Kota Kinabalu : Sabah patut 'menaik taraf' jawatan Ketua Menterinya kepada 'Premier' seperti dilakukan Sarawak pada Februari 2022.
Nampaknya sejak menukar nama jawatan ketua eksekutifnya kepada Premier (hampir seperti Prime Minister), semangat orang Sarawak meningkat.
Ia juga memberi suntikan semangat kepada barisan pimpinannya supaya lebih bersatu dan seiring menyokong idea dan inisiatif yang Sarawak sedang dan akan jalani.
Hari ini Sarawak umumkan untung selepas cukai syarikat minyaknya Petros menghampiri setengah bilion ringgit.
Premiernya Tan Sri Abang Johari Openg juga dengan bangganya mengumumkan inisiatif terbarunya menghasilkan minyak dari algae, sejenis tumbuhan mikro di laut. Katanya, Sarawak tak perlu lagi susah-susah mencari minyak di lautan dan daratan kerana sudah ada sumber baru yang begitu berpotensi.
Beliau umum itu selepas menaiki pesawat Kuching-Langkawi-Kuching yang telah menggunakan minyak dari algae tersebut, dua hari lepas.
Sarawak yang juga berjaya membina empangan-empangan besar sebelum ini kini bersedia menjual air dan elektriknya kepada Indonesia bahkan Singapura.
Dengan begitu banyak sungai dan keluasan yang amat besar hampir sebesar seluruh Semenanjung Malaysia, Sarawak bakal meluncur ke depan meninggalkan Sabah dan banyak negeri dari banyak segi.
Dengan simpanan wang negeri melebihi RM30 bilion setakat ini, Bumi Kenyalang bakal memudahkan Premiernya yang akan datang untuk meneruskan pecutan. Saya tidak terkejut jika 'reserve' mereka naik dua kali ganda kepada RM60 bilion dalam beberapa tahun lagi.
Takkan Sabah nak terus dengan 'reserve' wang hanya RM2 bilion atau RM6 bilion?
Jangan memandang rendah penukaran nama jawatan dari Ketua Menteri ke Premier. Ia boleh membuka pintu-pintu yang selama ini tertutup. Sesungguhnya semangat yang rapuh tak mampu mengangkat walau beban yang ringan.
Bayangkan jika jawatan Perdana Menteri Malaysia diturun kepada Ketua Menteri, walau dengan kuasa yang sama. Cuba bayangkan jika jawatan ketua eksekutif Sabah dan Sarawak naik menjadi Perdana Menteri!
Masa terus berlalu. Kerajaan Sabah perlu menimbang ambil teladan Sarawak dan janganlah terus berpaut pada ego yang merugikan. Angkat jawatan Pembantu Menteri Sabah kepada Timbalan Menteri seperti Sarawak buat.
Kenapa takut buat kebaikan untuk Sabah? Saya rasa sokongan dua pertiga Adun untuk meminda Perlembagaan Negeri langsung tidak timbul kerana saya rasa semua Adun Sabah akan menyokong tukar ke 'Premier'.
Kenapa tak buat? Bila lagi?#
No comments:
Post a Comment