Oleh Nuraniz Ghaus
KOTA BELUD : Satu projek tanaman kelapa pandan seluas 500 ekar di Kota Belud kini bakal berhadapan skandal pertanian ekoran projek itu menemui jalan buntu dan sudah ada pihak mula bimbang ia bakal memberi kesan negatif lagi kepada pihak kerajaan.
Projek tanaman kelapa pandan di Skim Bokilong di Kampung Gaur dekat sini itu dikatakan dibiayai RM1 juta oleh Kerajaan Persekutuan dan sepatutnya sudah mula memberi pendapatan kepada kira-kira 90 peserta yang terdiri daripada penduduk kampung.
Seorang peserta yang menghubungi FMT tetapi enggan namanya disiarkan mendakwa benih kelapa pandan mula ditanam pada tahun 2008 oleh satu kontraktor tempatan yang dilantik kerajaan.Projek tanaman kelapa pandan di Skim Bokilong di Kampung Gaur dekat sini itu dikatakan dibiayai RM1 juta oleh Kerajaan Persekutuan dan sepatutnya sudah mula memberi pendapatan kepada kira-kira 90 peserta yang terdiri daripada penduduk kampung.
“Kononnya kelapa pandan ini akan mula beri kami pendapatan lumayan dalam tempoh empat tahun iaitu pada tahun lepas.
“Bagaimanapun sekarang sudah 2014 belum seorang pun peserta dapat barang sesen pun bahkan buah kelapa pun tiada sebab anak-anak kelapa itu asyik ditanam semula sebab mati kering. Rugi semua pihak kecuali mungkin kontraktor yang juga dikatakan saudagar beras dan kilang papan di daerah ini,” katanya.
Menurut seorang peserta lain yang hanya mahu dikenali sebagai Gondu, mungkin setakat ini kira-kira 200 ekar pernah ditanami kelapa itu tetapi itupun balik-balik kena tanam sebab asyik mati kering.
“Jabatan Pertanian Daerah juga tahu keadaan projek ini tetapi yang membimbangkan kami ialah ada khabar angin menyatakan ada pihak tertentu kononnya membuat laporan kepada pihak atasan bahawa projek sudah mengeluarkan hasil dan banyak keluarga pun sudah meningkat pendapatan hasil kelapa.
“Jika ini benar, mungkin dalam laporan kertas pihak tertentu kami ini sekarang sudah berpendapatan tinggi kalau pun tidak kaya hasil kelapa dan oleh itu graf kemiskinan pun dikatakan sudah turun, tapi ini semua skandal projek kelapa pandan saja. Janji kosong saja,” tegasnya.
Menurut Ugou juga, para peserta juga telah dijanjikan tanaman kelapa pandan dan tanah akan menjadi milik mereka sepenuhnya selepas 12 tahun dari projek tanaman bermula.
Dakwanya keluasan tanah kepada setiap peserta adalah tidak sama, ada peserta yang diperuntukkan empat ekar dan ada juga yang diberi lot sehingga berbelas ekar.
Menurut Ugou lagi janji memberi tanah kepada peserta itu juga agak kabur dan merungsingkan sekarang, lebih-lebih lagi baru-baru ini wujud satu cadangan projek mega yang disebut Gaur Mega City, kononnya melibatkan dana keseluruhan RM115 billion.
“Ada pula orang tertentu di daerah ini sekarang sedang meronda-ronda kononnya mencari kawasan tanah untuk dimasukkan ke dalam projek mega seluas 5,000 ekar itu, jadi kami amat risau sekarang, sudahlah kena tipu projek kelapa pandan, silap-silap tanah kami pun kena ambil,” tambahnya lagi.
Sementara itu para pegawai pertanian pusat dan negeri dikatakan sudah mula saling menuduh secara senyap-senyap berikutan kegagalan projek itu.
Mereka risau ia didedahkan apalagi kini projek itu juga dikatakan sepatutnya ada dalam Laporan Audit Kewangan Awam negera.
Seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan berkata jika projek kelapa pandan itu tidak disebut dalam Audit Negara sebelum ini, ia pasti bakal disebut tahun ini, jika tidak ia akan memberi gambaran lebih buruk kepada pengurusan kewangan rakyat.
Sementara itu ketika dihubungi hari ini, Ketua Cawangan, Parti Bersatu Sabah (PBS) Kampung Gaur, Peter Palalun Lagadan, berkata beliau sendiri sudah mendengar rungutan orang kampung mengenai projek kelapa yang tidak menjadi itu.
“Benar ada rungutan dan kebimbangan orang kampung sebab projek kelapa pandan ini sudah lama dan sepatutnya sudah memberi hasil tetapi sekarang tiada, malah tiada yang peduli, kata mereka.
“Saya tidak pasti adakah pihak berkenaan memantau progres projek ini, dan kalau ada, kita pun ingin tahu apakah hasilnya sebab projek ini untuk rakyat dan menggunakan duit rakyat RM1 juta walaupun tidak besar tetapi mesti kita serius,” tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment