Top posts

Featured Posts

Orang Islam dan Kristian adalah bersaudara

KOTA BELUD : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Anwar Ibrahim, berkata umat Kristian dan umat Islam adalah bersaudara dan tidak harus bergaduh sesama mereka demi agama masing-masing.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang  berkata beliau bukan membawa ajaran baru apatah lagi agama baru, sebaliknya khalifah keempat Islam, Saiyidina Ali Ibn Talib, yang menyatakan demikian kepada umat Islam.
“Ketika ditanya para pengikutnya, apakah hubungan orang Islam sesama orang Islam, Sayidina Ali menjawab (terjemahan Melayu) ‘saudaramu seiman’, dan apabila ditanya apakah hubungan orang Islam dengan bukan Islam, jawab Ali ‘saudaramu sesama manusia’,” Anwar memetik jawapan Ali dalam bahasa Arab.

Anwar berkata demikian pada majlis penerangan isu-isu semasa anjuran PKR Kota Belud di pekarangan rumah bekas ADUN Kadamaian, Datuk Yapin Gimpoton di Kampung Taginambur Jaya dekat sini lewat petang hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan jawapan Ali itu, umat Islam dan umat Kristian adalah bersaudara dan hendaklah saling menghormati agama masing-masing, dan tiada pihak boleh sombong kepada yang lain.

“Adakah Tuhan hanya untuk orang Islam sahaja? Tidak. Tuhan adalah Tuhan untuk semua orang, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan segala isi cakerawala,” katanya sambil menambah rakyat tidak harus melayan permainan sesetengah pihak yang ingin memperlaga-laga rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Anwar juga memberitahu kira-kira 300 orang penyokong yang hadir bahawa esok beliau akan menyatakan pendirian terhadap isu itu.

Beliau yang dalam rangka lawatan sehari ke Sabah, berkata tiga bulan yang lalu beliau dijemput Pope Francis ke Rome untuk menyertai forum pelbagai agama.

“Ini adalah satu penghormatan kerana Pope menganggap saya boleh mewakili pandangan masyarakat Islam dan pada masa yang sama mengiktiraf peranan kita dalam dialog antara agama.

“Tapi biasalah propaganda UMNO akan menyiarkan tohmahan ‘Anwar khianat agama, kini sokong Kristian dan bermacam-macam lagi,” tegasnya.

Dalam ucapan kira-kira 20 minit itu, Anwar turut mengingatkan rakyat bagaimana Barisan Nasional (BN) telah menipu rakyat bahawa kehidupan akan lebih makmur bila mereka mengundi BN.

“Siapa kena janji, undi BN supaya hidup rakyat? BN janji hidup senang, tapi sekarang hidup rakyat makin susah, semua harga barangan naik termasuk kangkung,” katanya disambut gelak ketawa hadirin.

“Tadi dalam perjalanan ke Kota Belud, saya juga terlambat kerana jalan sesak, bukan sahaja sesak tetapi jalan berlubang-lubang dan bertampal-tampal. Sudah merdeka lebih 50 tahun tapi masih bertampal-tampal,” ujarnya.

Anwar turut menerima dari Yapin 285 borang permohonan menyertai PKR dari Kota Belud. Sebelum Anwar tiba di majlis itu, beberapa pemimpin PKR Sabah berucap dan kebanyakannya mengutuk tindakan bekas wakil rakyat Kadamaian dari PKR, Jeremmy Ukoh Malajad, keluar PKR dan menyokong BN.

Antara yang berucap ialah Ketua Cabang PKR Kota Belud, Jeraeh Saum, Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, Pengarah Pilihanraya PKR Sabah, Datuk Karim Ghani, ADUN Inanam, Dr Roland Chia dan Ketua Cabang Tanjung Karang, Selangor, Yahya Shaari yang juga Ketua Biro Kepenggunaan PKR pusat.

Turut hadir ialah ADUN Moyog, Terrence Siambun dan Pengerusi PKR Negeri, Datuk Lajim Ukin. Malam ini Anwar menyertai sambutan Maulidur Rasul di Kota Kinabalu anjuran PKR Negeri Sabah.
See more here

1 comment:

  1. ye ker? saudara sesama manusia maknanya ada lagi yang tersembunyilahkan anwar ..

    ReplyDelete

Search This Blog