Dr.Jayakumar Bidas Bajet Jabatan Perdana Menteri

Terima kasih Dato Pengerusi memberi saya peluang berbahas Badjet Jabatan Perdana Menteri untuk tahun 2014. Saya ingin membawa beberapa perkara. Pertamanya B6, Jabatan Perdana Menteri, Butiran 200 000, Jabatan Perangkaan.
Rakyat kita sedang menghadapi masalah perumahan. Menteri Perumahan telah memberitahu kita bahawa 1 per empat daripada keluarga di Malaysia tiada memiliki rumah. Kita ada 6.4 juta keluarga di Malaysia. Ertinya 1.6 juta keluarga tidak punyai rumah mereka sendiri. Apakah pecahan pendapatan bulanan untuk 1.6 juta keluarga ini. Jika Jabatan Perangkaan dapat membekalkan kita matlumat ini baru kita akan dapat menangani masalah perumahan rakyat kita.
Kita sering dengar istillah "rumah mampu milik". Apakah bayaran pinjaman bank yang dapat ditanggung oleh sebuah keluarga dengan pendapatan bulanan di bawah RM 3000? Ini harus dikaji oleh Unit Perancangan Ekonomi (butiran 020000).  Saya khuatir harga rumah yang disediakan sekarang tidak boleh dibeli oleh kebanyakan keluarga yang memerlukan rumah.
Satu isu lagi yang harus dikaji oleh Unit Perancangan Ekonomi ia-lah bagaimana kegawatan dapat dikendalikan. Kita berada dalam satu ekonomi yang mengalami kegawatan setiap 8 atau 10 tahun. Jadi sebuah keluarga yang ambil pinjaman dengan tempoh bayaran 35 tahun akan menghadapi 3 atau 4 kegawatan sebelum selesaikan pinjaman rumahnya. Wujudnya risiko tinggi keluarga ini akan kehilangan rumah mereka dalam salah satu daripada kegawatan ini. Bolehkah Unit Perancangan Ekonomi menyediakan satu mekanisme yang boleh melindungi pembeli rumah semasa kegawatan - mungkin satu tabung insurans yang khas?      
Unit Perancang Ekonomi juga harus kaji secara rapi apakah sebab-sebabnya harga rumah sedang melambung tinggi. Kos bahan-bahan dan upah pekerja untuk mendirikan sebuah rumah adalah lebih kurang RM 50 sekaki persegi. Jadi untuk rumah berukur 20 kali 40 kaki adalah RM 40 ribu. Campur kos infrastruktur RM 12 ribu kita sempat menyediakan rumah teres dengan harga RM 52 ribu sahja. Tetapi kita berdepan dengan harga rumah teres RM 300 ribu ke atas. Hanya bila kita dapat kenalpasti sebab-sebab perkara ini baru kita akan dapat mengendalikannya.
Selain daripada untung yang dikehendaki oleh pemaju kita juga harus mengambilkira peranan pemimpin kerajaan-kerajaan negeri yang menswastakan tanah kerajaan ke syarikat milikan kerajaan ataupun syarikat swasta yang selepas itu menjual tanah ini kepada pemaju dengan harga yang berlipatganda. Ini juga satu fakta yang meningkatkan harga rumah biasa. Satu lagi fakta adalah spekulasi oleh lapisan kaya yang membeli rumah sebagai pelaburan , investment dan bukan untuk didiami.
Sekarang saya ingin mengalih ke suatu tajuk lain ia-itu Unit Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri. Butiran 010200. Saya rasa Unit Penyelidikan harus membantu mengurangkan kekeliruan di pihak kerajaan terhadap istillah "idelogi komunis". Sebagai umpamanya, pada 7hb November YB Simpang Renggam telah tanya samada wujudnya unsur-unsur mengembalikan semangat komunis di Malaysia. Jawapan yang diberi oleh Menteri Dalam Negeri adalah "memang terdapat unsur-unsur untuk hidupkan semula ideologi komunis".
Dato Pengerusi, apakahnya "ideologi komunis". Komunis berpendapat bahawa pasaran bebas yang beroperasi atas hasrat mengejar untung tidak dapat membekalkan keperluan asas untuk rakyat miskin. Ini satu pendekatan yang diterima oleh kerajaan sendiri - kita buat rumah PPR untuk rakyat miskin. Ini satu pendekatan komunis. Jadi adakah kerajaan kita komunis?
Komunis juga percaya kekayaan negara harus diagih secara yang adil supaya semua rakyat dapat menikmatinya. Adakah kita menolak hasrat sebegini?
Jadi saya rasa adalah amat perlu Unit Penyelidikan menjelaskan apakahnya dalam ideologi komunis yang kita tidak dapat menerima. Keganasan? Perjuangan bersenjata? Okey, ini saya ingat semua rakyat Malaysia akan menerima. Tetapi janganlah "throw the baby with the bath water". Dengan izin Dato Speaker, ini satu istillah Inggeris.      
Masih ada beberapa konsep dan pendekatan dalam ideologi komunis yang relevan pada kita. Kita sekarang berdepan dengan fenomena globalisasi dan Malaysia sedang didesak menandatangani TPPA dengan Amerika Syarikat. Dalam perkara ini, pendekatan komunis mungkin relevan pada kita. Komunis menyifatkan Amerika Syarikat dan Eropah sebagai kuasa imperialis yang bertujuan menakluk negara sedang membangun. Syor dari ideologi komunis adalah untuk mengeratkan hubungan ekonomi dengan negara lain yang sedang membangun supaya dapat berdirikari dan mengurangkan kepergantungan pada negara maju.
Saya harap Unit Penyelidikan dapat menghalusi perkara ini supaya kami dapat berbincang isu-isu berkaitan ideologi komunis secara lebih rasional.
Tuan Pengerusi, izin saya alih ke B4 Suruhanjaya Pilihan Raya, butiran 010100. Keyakinan orang ramai dalam proses pengundian adalah satu perkara yang amat penting dalam sistem demokrasi di Malaysia. Adalah penting rakyat kita yakin senarai pengundi yang dipakai adalah bersih. Pada takat ini ada keraguan - beberapa orang sangka ada pengundi yang dapat undi dua kali dan bahawa orang asing juga dapat undi.
Masalahnya adalah pada takat ini, keraguan ini tidak boleh dibawa ke SPR. Hanya pengundi yang baru didaftarkan pada penggal itu dapat dipertikaikan. Pengundi yang telah dimasukkan ke dalam senarai pengundi induk terlebih dahulu langsung tidak boleh dipersoalkan oleh kerana Seksyen 9A dalam Elections (Registration of Electors Regulations) 1971 tidak membenarkannya.
Saya rasa Seksyen 9A harus digugurkan supaya sesiapa sahja pengundi yang disyaki sebagai "undi hantu" dapat dipersoalkan oleh rakyat biasa. Ini akan meningkatkan kepercayaan rakyat kita terhadap senarai undi yang dipakai dalam pilihanraya kita dan ini adalah baik untuk amalan demokrasi di negara kita.
Isu terakhir yang saya ingin membawa adalah B1, Parlimen Malaysia butiran 020100, emolumen kakitangan kontrak. Peruntukan di bawah item ini telah ditingkatkan daripada RM 159 ribu ke RM 820 ribu. Saya harap se bahagian daripada jumlah ini akan digunapakai untuk membayar gaji dan elaun untuk dua orang pembantu bagi setiap ahli parlimen. Jika kita peruntukkan RM 3000 sebagai gaji dan elauns untuk seorang pembantu, 2 orang akan ambil RM 6 ribu sebulan, RM 72 ribu setahun. Untuk 150 orang backbenchers dan pembangkang akan memerlukan RM 10.8 juta.
Saya harap syor ini akan diambilkira.
Terima kasih, Dato Pengerusi.

Dr.Jayakumar
Ahli Parlimen Sg.Siput / AJK Pusat PSM

No comments:

Post a Comment