Datuk Wilfred Madius Tangau Diumum Timbalan Presiden UPKO Yang Baharu

PENAMPANG, 22 Okt (Bernama) -- Bekas Setiausaha Agung Parti Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau diumumkan sebagai timbalan presiden yang baharu selepas mengalahkan Datuk Dr Ewon Ebin dalam pemilihan parti Selasa.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pemilihan parti Tony Mojigoh, bagaimanapun jumlah undi tidak diumumkan.

Difahamkan Madius yang juga Anggota Parlimen Tuaran mengalahkan Ewon yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi persekutuan serta bekas naib presiden parti dengan majoriti tipis lapan undi.


Persidangan perwakilan itu yang berlangsung di Dewan Tun Fuad Stephen di sini dirasmikan presiden parti Tan Sri Bernard Dompok yang menang tanpa bertanding.

Madius ketika ditemui pemberita berkata beliau akan membantu presiden meneruskan agenda-agenda parti dan negara demi kepentingan semua rakyat di negeri ini.

"Meskipun pemilihan agak sengit, namun ia berjalan dengan lancar, telus dan dan kita berpuas hati dengan keputusan itu.

"Sebagai timbalan presiden yang baharu, saya akan membantu presiden dan meminta semua anggota perwakilan kembali bersatu demi kepentingan parti agar kita bergerak selari dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk meneruskan agenda pembangunan negeri ini dari segi ekonomi, sosial dan politik," katanya.

Sementara itu, Ewon berkata beliau akan memfailkan petisyen bantahan terhadap keputusan itu kerana mendakwa jumlah undi lebih daripada jumlah sebenar perwakilan yang layak mengundi.

Bagaimanapun, beliau berkata perjuangannya kepada parti tidak akan berakhir dengan kekalahan itu dan masih setia 100 peratus kepada parti.

Sebanyak 415 anggota perwakilan layak mengundi pada pemilihan parti bermula 12 tengah hari.

Jawatan itu kosong selepas Datuk Wilfred Bumburing keluar parti dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah serta bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat di kerusi Parlimen Tuaran dan kerusi Dewan Undangan Negeri Tamparuli pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas.

Sementara itu, lima naib presiden yang baharu terdiri daripada Datuk Dr Lucas Umbul, Datuk Siringan Gubat, Datuk Bobbey Suan, Masiung Banah dan Datuk Dr Marcus Mojigoh.

Enam belas Ahli Majlis Tertinggi baharu pula terdiri daripada Carl Moosom, OKK Jair Munty, Alex Among, Gilbert Syam, Walter Pinsius Galis, Datuk Suki Mee, Suip Saniman, Tailin Mainan, Akuang Suan, Basari Sarkun, Muji Ampau, Dennison R Indang, Sylvester Taing, Condrad Wong, Monih Epin dan Johnny Intang.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. hujung tahun najib rombak kabinet...nanti naiklah si tangau dan turunlah takhta si ewon...tiwas kotoh...

    ReplyDelete