Bila lagi KK Sentral mahu dibina?

Oleh Nuraniz Ghaus
KOTA KINABALU : Kuala Lumpur ada KL Sentral, Sarawak pun sudah ada Kuching Sentral, Kota Kinabalu bila pula nak ada KK Sentral? Kerajaan Negeri Sabah bila lagi nak membina terminal bas dalam bandaraya ibu negeri?

KK Sentral — itulah yang sering bermain di imaginasi pengguna kenderaan awam di Sabah terutama sekali di Kota Kinabalu yang sampai kini tiada terminal bas yang sebenar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, perlu belajar dari Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud, dalam hal ini. Dan, dalam kadar yang cepat, memandangkan negeri “kaya” seperti Sabah bakal dimalukan kalau tiada idea dan tidak mampu membina sebuah pun terminal bas di ibu negerinya !


Semua bas di bandaraya Kota Kinabalu bolehlah dikatakan menggunakan sistem bertempiaran sekarang ini selepas “terminal” kekal/sementara bersebelahan Wawasan Plaza ditutup untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersil yang sedang rancak di situ.

Bagi mereka yang pernah ke Kuching, tentu iri hati dengan warga bandaraya negeri jiran itu sebab sejak Mac 2012, mereka sudah ada Kuching Sentral yang serba moden walaupun tidaklah segah KL Sentral di ibu negara.
Kuching Sentral yang bernilai RM100 juta itu merupakan kompleks bersepadu tiga tingkat yang serba-serbi ada — kedai runcit, pasar raya, mesin ATM, gerai, restoran malahan restoran antarabangsa, surau, terminal bas, tempat paking kereta dan motorsikal, tempat simpanan bagasi dan sebagainya. Tempat menunggu bas pula berhawa dingin.

Dan terminal bas Kuching Sentral ada CCTV ! Bukankah para pengguna merasa lebih selamat begini? Penjahat pula berfikir banyak kali sebelum ingin memulakan kegiatan tidak bermoral mereka di terminal bas.
Panel-panel LCD di Kuching Sentral juga siap memaparkan jadual ketibaan dan keberangkatan bas-bas awam, termasuk dari Kalimantan, Indonesia, dan bukan setakat mendengar teriakan-teriakan dari budak-budak “konduktor” bas seperti di Kota Kinabalu !

Kuching Sentral yang terletak di Batu 6, Jalan Penrissen itu hanya lima minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, turut memudahkan pengguna kapal terbang mencapai destinasi mereka.
Seperti pernah dilaporkan oleh portal ini sebelum ini, di Kota Kinabalu, bas-bas untuk ke pekan-pekan dan daerah berdekatan bandaraya di”terminalkan” di siring-siring jalan raya dan di bawah-bawah pokok dan jambatan, amat memalukan bagi sebuah negeri yang dikatakan sedang mempunyai Ketua Menteri yang terbaik.

Manakala bas-bas dari jauh seperti pantai timur di”terminalkan” di Inanam, beberapa kilometer dari bandaraya, sesuatu yang elok tapi jauh dari sempurna kerana projek itu seperti melepas batuk di tangga, ”alang-alang” kata orang Sabah.
Kalau Sarawak boleh sejak 2012, kenapa Sabah tidak boleh? Apa masalah pengurusan pengangkutan awam di Sabah? Adakah mereka yang memegang tampuk kuasa ingin melihat Kota Kinabalu perlahan-lahan menjadi bandaraya yang tidak keruan seperti sesetengah bandaraya miskin di Asia? Tidak teratur, tiada peraturan, tiada keselesaan dan serba-serbi berebutan menjadi sarang penyangak…

Setakat ini belum ada tanda-tanda Kerajaan Sabah nak membina terminal bas serba modennya di ibu negeri, dan ini merungsingkan lagi membingungkan.

No comments:

Post a Comment