Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, rakyat semua kaum semua
lapisan hidup dibawah pemerintahan hegemoni bersifat perkauman Parti Perikatan
dan Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh UMNO. Hak asasi dan demokrasi
yang sepatutnya dinikmati rakyat kian hari kian pupus akibat pencabulan tiada
batasan oleh klik pemerintah. Selepas setengah abad menderita, ribut perubahan kali
pertama yang dibawa oleh rakyat pelbagai bangsa seluruh negara akhirnya melanda
pada 8hb Mac 2008.
Keputusan 308 (Pilihanraya Umum Ke-12) menyaksikan separuh daripada jumlah pengundi telah menolak pemerintahan klik pemerintah UMNO-BN. Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada 3 parti pembangkang utama iaitu DAP, PKR, dan PAS telah memenangi kuasa pemerintahan di lima negeri (Walau bagaimanapun Perak dirampas balik oleh BN selepas 3 orang ADUN PR membelot) manakala UMNO-BN terus menguasai kerajaan pusat. Klik pemerintah BN (pusat) yang diketuai oleh Najib menopengkan program transformasi politik, ekonomi dan sosial, terus melaksanakan pemerintahan institusionalisasi fahaman perkauman, yang menindas dan mengeksploitasi pekerja negara kita dengan kejam. Dalam lima tahun yang lepas, majoriti rakyat masih menghadapi pelbagai keadaan kritikal, seperti pemerintahan kuku besi bersifat perkauman, penyalahgunaan kuasa dan korupsi, harga barangan semakin meningkat, kehidupan semakin susah dan keterpinggiran budaya, pendidikan dan agama kaum minoriti. Rakyat jelata telah sedar bahawa klik pemerintah melaksanakan penindasan dan pengeksploitasian terhadap rakyat menerusi jentera kerajaan, dan terus-menerus mengawal dan menguasai jentera kerajaan melalui pilihanraya yang kotor.
Atas desakan
dan gesaan rakyat jelata yang membara, Bersih 2.0, satu gabungan yang terdiri daripada lebih 60 pertubuhan
masyarakat (NGO) untuk menuntut reformasi sistem pilihanraya kepada pilihanraya
yang bersih dan adil, telah menganjurkan dan memimpin satu lagi perhimpunan
besar “Duduk Bantah
428”, susulan daripada “Perarakan
tunjuk perasaan 709” yang amat menyemarakkan semangat dan
memberangsangkan. Lebih-lebih lagi, himpunan “duduk bantah 428” merupakan hasil
kerjasama dan aksi bersama Bersih 2.0 dan Himpunan Hijau. Aksi ini telah
menjadi satu babak penting dan model dalam sejarah perjuangan rakyat negara
kita. Kedua-dua perjuangan massa yang
bermakna dan berpengaruh ini telah memberi kesedaran kepada rakyat semua bangsa
semua lapisan tentang peranan penting kekuatan massa dalam perjuangan hak asasi
dan demokrasi rakyat, dan juga posisi penting pertubuhan masyarakat (NGO) dalam
pergerakan reformasi sosial.
Barang kali
diberangsang oleh kejayaan dua perhimpunan tersebut diatas, sebelum PRU 13, banyak
pertubuhan masyarakat (NGO) pelbagai bidang seperti pertubuhan perlindungan
alam sekitar, pertubuhan hak asasi manusia, pertubuhan hak wanita, pertubuhan
budaya dan pendidikan, pertubuhan orang asli, pertubuhan agama dan kepercayaan,
pertubuhan orang kurang upaya, dan pertubuhan rakyat tertindas sudah pun mula
bergiat aktif menganjurkan pelbagai aktiviti dan kempen pilihanraya seperti:
mengemukakan tuntutan pilihanraya, menganjurkan program latihan PACA,
mengadakan program kesedaran pengundi, menyerukan pengundi keluar untuk mengundi,
dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen yang diadakan telah mendapat
sambutan yang baik dari rakyat pelbagai bangsa, lapisan dan parti politik.
Ramai pemimpin-peminpin pertubuhan masyarakat (NGO) juga melibatkan diri secara
aktif dalam tempoh berkempen PRU-13, dengan menjadi sukarelawan ataupun
berkempen untuk calon.
Antara
pemimpin-pemimpin pertubuhan masyarakat (NGO) yang bergiat aktif dalam
pilihanraya, pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack merupakan pemimpin yang
tertonjol. Sebagai wakil daripada pertubuhan masyarakat (NGO), Wong Tack yang bertanding
di kawasan parlimen Bentong atas tiket DAP bertekad untuk membawa isu
anti-Lynas dan suara rakyat membantah
ancaman alam sekitar ke dalam parlimen. Tindakannya pada mulanya memang dikritik
dan niatnya dicurigai oleh sesetengah pimimpin pertubuhan masyarakat (NGO) dan
individu-individu demokratik. Malah ada yang mendesak beliau untuk meletakkan
jawatan sebagai pengerusi Himpunan Hijau. Walau bagaimanapun, dengan sokongan
parti dan individu demokratik, beliau tetap meneruskan perjuangan dengan sebab
dan pendirian tersendiri, akhirnya beliau berjaya memenangi kefahaman dan
mendapat sokongan daripada rakyat jelata dan pemimpin-pemimpin pertubuhan
masyarakat (NGO).
Sebaliknya, rakyat
paling meluat dengan Waythamoorty, Pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf Makkal Sakthi). Demi jawatan
dalam kabinet dan kepentingan peribadi, Waythamoorty sanggup mengemis kepada
Najib dan orang besar UMNO dengan mengkhianati pendirian HINDRAF yang mewakili
kepentingan masyarakat India miskin yang terpinggir, menggadaikan maruah diri
dan bermusuhan dengan rakyat semua bangsa seluruh negara pada saat-saat akhir
sebelum PRU 13. Kesudahan yang menanti Waythamoorty sudah pasti adalah kritikan
tidak kenal ampun daripada rakyat semua bangsa dan semua pertubuhan-pertubuhan
masyarakat disamping meninggalkan catatan memalukan dalam sejarah gerakan
demokratik dan hak asasi manusia.
Para pengundi
Malaysia telah mencipta rekod peratusan mengundi yang tertinggi dalam PRU 13
pada 5 Mei 2013. Malangnya keputusan PRU kali ini tetap menyaksikan walaupun lebih
dari separuh pengundi telah menolak kem Barisan Nasional, tetapi hasrat rakyat
untuk “Buangkan BN ke dalam tong sampah sejarah” masih tidak dapat
direalisasikan. Oleh sebab itu, perasaan rakyat jelata yang tidak puas hati dan
tidak dapat menerima keputusan PRU 13 yang disifatkan sebagai PRU ‘paling kotor’
adalah boleh difahami.
Selepas
pilihan raya, sesetengah pihak daripada parti politik, kumpulan-kumpulan dan
individu-individu yang tidak sabar hendak menukar kerajaan pada 505 berpendapat
bahawa kesedaran politik orang ramai di negara kita telah mencapai tahap di
mana mereka telah bersedia memaksa klik pemerintah untuk mengadakan pemilihan
semula melalui aksi demonstrasi jalanan. Namun begitu, fenomena penurunan ketara
bilangan peserta "himpunan hitam 505" dan kawalan klik pemerintah yang
semakin ketat ke atas jentera kerajaan telah menunjukkan aspirasi dan harapan terdesak
untuk menafikan keputusan pilihan raya dan menuntut pilihan raya semula melalui
demonstrasi jalanan nampaknya akan menemui jalan buntu.
Kami pernah
mengadakan forum "NGO Sentiasa Berdampingan Dengan Rakyat Jelata"
sempena ulang tahun ke-10 Jawatankuasa Sahabat SUARAM Johor (sekarang dikenali
sebagai Sahabat Rakyat Working Committee) pada tahun 2011 untuk membincangkan
peranan dan kedudukan pertubuhan masyarakat (NGO) di Malaysia dalam keadaan
semasa dan pada masa depan. Pada tahun 2013, kami mengemukakan strategi dan
taktik "memecahkan
hegemoni UMNO, membentuk satu barisan persatuan demokratik"
menjelang PRU 13.
Kami
berpendapat bahawa, barisan persatuan
demokratik bukan sahaja terdiri daripada tiga parti politik dalam Pakatan
Rakyat yang sedang menentang BN [iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam
Semalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP)], tetapi juga mesti
menyatukan semua parti-parti politik lain yang menentang UMNO-BN, termasuk
Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Hak Asasi
Manusia (HRP), dan juga pertubuhan-pertubuhan masyarakat (NGO) dan individu
pelbagai bangsa, lapisan masyarakat dan bidang.
Kami juga
menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan bersama-sama menamatkan
pemerintahan hegemoni UMNO! Kita mengalu-alukan orang ramai dari semua lapisan
masyarakat, tanpa mengira bangsa, kelas, parti dan agama, yang menentang amalan
korupsi dan hegemoni perkauman UMNO-BN untuk menyertai barisan persatuan
demokratik ini, supaya perjuangan untuk hak demokratik dan hak asasi manusia
akan maju ke hadapan.
Sempena
ulang tahun ke-12 Sahabat Rakyat Working Committee, kita memutuskan untuk
menganjurkan satu lagi forum yang bertema "Pertubuhan masyarakat •
Perjuangan berparlimen • Demokrasi dan hak asasi manusia" untuk meneroka
peranan pertubuhan masyarakat (NGO) dalam mendampingi aspirasi rakyat, dan untuk
memahami perjuangan di dalam mahu pun di luar parlimen, dalam usaha memajukan
gerakan demokratik dan hak asasi manusia di negara kita. Satu jamuan makan akan
diadakan sebaik selepas forum.
Kami akan
menjemput beberapa pemimpin pertubuhan masyarakat (NGO) yang terkemuka dan intelektual
politik, untuk menyampaikan ucapan, menyediakan kertas pembentangan dan
menjawab soalan para hadirin dalam forum ini.
Kami
berharap forum ini akan merangsangkan lebih ramai pemimpin parti-parti
demokratik, kumpulan intelektual dan orang ramai dari semua lapisan masyarakat
untuk bergabung tenaga dalam usaha untuk memajukan gerakan demokratik dan hak
asasi manusia di negara kita.
Forum dan
jamuan makan ini akan diadakan di Johor Bahru pada 20 Oktober 2013 2pm, sebagai
program utama majlis ulang tahun ke-12 Sahabat Rakyat Working Committee. Kami
mengalu-alukan semua pihak dari parti-parti, kumpulan-kumpulan dan
individu-individu demokratik untuk bersama kami dalam majlis yang bermakna ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Cheng di 016-7782707.
Sahabat Rakyat Working Committee
9 September 2013
No comments:
Post a Comment