Dompok, MDP tahu projek bina masjid di Penampang


Oleh Percy Goliu

KOTA KINABALU: “Tidak timbul soal tidak mendapat kebenaran untuk membina masjid di Penampang dan kerajaan tempatan serta bekas pemimpin di daerah ini sudah lama maklum mengenainya,” kata jurucakap Wakaf Masjid Penampang (WMP) di sini.

Katanya, Majlis Daerah Penampang (MDP) juga meluluskan jalan raya sementara untuk memudahkan kerja-kerja menimbun tanah di tapak yang dicadangkan. Kerja-kerja ini tidak bersifat illegal (haram).

Jurucakap Wakaf Masjid Penampang (WMP) berkata demikian dalam komennya mengenai isu pembinaan masjid yang kini mendapat bantahan daripada penduduk tempatan di sini.

“Sebelum melaksanakan projek, sekretariat sudah memaklumkan secara bertulis kepada mereka, malah pentadbir di MDP secara lisan membenarkan projek ini dilaksanakan,” kata admin blog WMP dalam komen berita ‘Penduduk bantah bina masjid di Penampang’ yang disiarkan Free Malaysia Today, baru-baru ini.

Menurutnya, mantan Ahli Parlimen Penampang Tan Sri Bernard Dompok pun sebenarnya sudah tahu akan projek ini dan beliau (Dompok) sendiri mengarahkan supaya projek ini ditangguhkan buat sementara waktu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu diadakan.

Penangguhan oleh Dompok itu katanya dibuat, atas alasan keselamatan PRU13 dan bimbang ia akan menghalang kempen beliau.

Menurut jurucakap itu lagi, Dompok mengarahkan supaya projek itu disambung semula selepas PRU13 dan walaupun sudah bertukar MP (Ahli Parlimen), mereka akur yang projek ini mesti diteruskan untuk kemudahan penduduk Islam di Penampang.

Dompok dari parti UPKO yang juga bekas menteri kerajaan persekutuan kalah dalam PRU13 dan beliau diganti oleh Darrell Leiking dari parti pembangkang PKR.

Portal ini minggu lalu, menyiarkan bahawa tidak ada pihak yang berani mengesahkan mengenai sama ada benar wujud projek membina masjid di daerah Penampang. Malah, Pegawai Daerah Penampang juga dikatakan tidak tahu menahu mengenainya.

Masjid dipercayai bernilai RM4 juta itu, dibina atas sebidang tanah yang dulunya merupakan kawasan penanaman padi di daerah yang majoriti penduduknya adalah Kadazan-Kristian.

Sembunyi maklumat?

Dompok dan beberapa pemimpin lain juga dikatakan tidak tahu mengenai sebarang rancangan itu walaupun isu ini sudah ‘diperkatakan’ ramai menyebabkan penduduk tertanya-tanya sama ada mereka menyembunyikan maklumat itu daripada diketahui umum.

Cubaan wartawan untuk menghubungi Wakaf Masjid Penampang di talian 088-212080 selama dua hari untuk mendapatkan penjelasan lanjut isu itu, tidak berjaya kerana sama ada talian sibuk atau disambungkan terus ke mesin faks.

Bagaimanapun, jurucakap WMP memberikan banyak komen dalam posnya untuk menjawab dan menepis dakwaan ramai warga netizen yang menyuarakan pendapat, di mana hampir semua membantah pembinaan masjid itu di Penampang.

Menurut WMP, walaupun Bumiputera Muslim hanya berjumlah 11 peratus  (mengikut fakta pilihanraya), namun mereka sepatutnya mendapat hak untuk ada rumah ibadat.

“Tinjauan admin di Penampang menunjukkan ramai yang mempunyai keluarga campur, malah di kalangan ahli keluarga Kristian juga ada yang menggalakkan pembangunan masjid supaya saudara mereka yang Muslim boleh belajar Islam dan solat dengan baik.

“Selain itu, tinjauan admin juga mendapati banyak kejadian penceraian di kalangan saudara baru kerana masalah didikan agama yang kurang dan masalah remaja Islam yang tidak mendapat bimbingan agama yang sebaiknya,” katanya.

Menurut jurucakap itu, masalah ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai tempat rujukan khusus di Penampang untuk mengadu masalah. Dengan adanya institusi masjid ini nanti, ia berperanan besar menyelesaikan masalah umat Islam di sini.

Selain itu katanya, masjid ini juga bertujuan memudahkan pegawai-pegawai kerajaan dan swasta serta peniaga Muslim untuk

menunaikan solat Jumaat tanpa bersusah payah berdepan dengan masalah kesesakan jalan raya dan membuang masa yang lama untuk ke Kota Kinabalu atau Putatan.

Kesan migrasi

Kesan migrasi di kalangan penjawat awam dan swasta ke Penampang kata jurucakap Wakaf, adalah menggalakkan. Mereka adalah guru-guru, pekerja bank, ahli perniagaan, anggota polis dan ahli bomba yang menabur budi kepada penduduk Penampang.

“Adakah mereka perlu dianak tirikan dalam soal ibadah dan muamalat Islam?” soalnya.

Mengenai perumahan setinggan yang didiami oleh ‘pendatang asing’ dekat tapak masjid itu, jurucakap Wakaf memberitahu, tanah yang mereka diami itu adalah milik penduduk tempatan Kadazan beragama Kristian.

Beliau mendakwa, tuan tanah mengambil keuntungan dengan mengambil sewa bulanan daripada penduduk itu.

Oleh sebab itu, apabila kerajaan tempatan ingin mengambil tindakan merobohkan rumah-rumah itu, ‘orang atas’ yang dimaksudkan adalah tuan tanah bertindak mengarahkan majlis tempatan membatalkan kerja-kerja meroboh itu.

Menjawab komen gaya hidup penduduk tempatan yang masih ramai memelihara babi dan membiarkan haiwan itu berkeliaran di sana-sini dan bimbang mereka tidak dibenarkan melakukan aktiviti tradisi itu jika sudah ada masjid, admin WMP berkata:

“Saya sendiri tinggal dengan dikelilingi kakang (anak babi) dan wogok (babi dewasa) yang berkeliaran tepi pagar rumah.”

Tiada masalah

“Namun saya sendiri pegang kakang dan usap-usapnya dengan tangan. Selepas beberapa minit, saya lepaskan kemudian saya cuci tangan dengan air bersih. Saya tidak ada masalah memegang kakang.

“Peliharalah wogok dan kakang banyak-banyak dan jadikan ia sebagai sumber rezeki kamu, kayakan diri kamu dengan memelihara wogok dan kakang, juallah sinalau bakas (daging babi dipanggang) di tempat yang ditetapkan,” katanya.

Menurut admin, beliau berdamping dengan masyarakat Kadazan-Dusun yang beragama Islam, dan keluarga mereka berkembang dengan keluarga campur Kristian dan Islam dalam suasana aman dan damai.

Katanya, mendirikan masjid itu juga adalah saranan dan cadangan salah seorang penduduk Islam berbangsa Kadazan.

“Ia bukan desakan daripada orang luar. Cadangan ini disokong oleh masyarakat Islam seluruhnya, dengan menderma kepada wakaf tunai untuk membeli tanah dan bangunan,” katanya menambah meminta izin itu bukanlah masalah yang besar.

Kebenaran bertulis katanya, sudah dihantar kepada mantan Ahli Parlimen Tan Sri Bernard Dompok dan pemimpin-pemimpin politik tempatan yang lain.

Seorang netizen yang tidak menyokong pembinaan masjid di daerah ini berkata, ini merupakan kisah sedih bagi penduduk Penampang yang lebih 90% adalah Kadazan yang beragama Kristian, kebanyakannya Katolik.

“Ketua Menteri pernah menyebut bahawa semua tanah dengan status NT (Native Land) untuk penanaman padi, tidak boleh diubah untuk tujuan yang lain tetapi sedih melihat apabila suku daripada tanah itu sudah ditimbun untuk pelbagai tujuan.

“Hanya jabatan tanah Penampang yang tahu tujuan tanah itu ditimbun. Kesian mereka yang masih mahu menanam padi kerana apabila hujan, tanah yang ditimbun akan mengalir ke sawah padi hingga menjejaskan kualiti tanah.”

Adakah begitu mudah mengubah tanah NT untuk tujuan komersial? Apakah status sebenar tanah yang bakal didirikan dengan masjid itu?

No comments:

Post a Comment