Naib Presiden Umno: Musa tidak mahu terperangkap

Musa juga tahu kumpulan yang hendak menjatuhkannya
itu mungkin mereka yang berpura-pura menyokongnya
Oleh Jurle Sagayong

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, yang mula dicanang sesetengah kumpulan dalam Umno Sabah, sebagai calon naib presiden Umno, tahu benar ada pihak yang mahu sangat jatuhkannya dari tampuk kekuasaan di negeri di bawah bayu itu.

Musa juga tahu kumpulan yang hendak menjatuhkannya itu mungkin mereka yang berpura-pura menyokongnya, termasuklah untuk bersaing dengan Datuk Seri Shafie Apdal, seorang lagi pemimpin Umno Sabah, untuk jawatan naib presiden.
Musa pun tahu bukan senang menjatuhkan Shafie. Tiada jalan memujuk Shafie jangan bertanding sebab Shafie sendiri pun dikatakan telah beberapa kali berkata dia bukan hendak merebut jawatan orang lain, hanya mempertahankan jawatan naib presiden yang dimenanginya sebelum ini.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah nyata memberi sindiran kepada mereka yang cuba “merebut” jawatannya.

Yang gah mencadang nama Musa bertanding naib presiden Umno  ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Said Keruak, yang juga merupakan timbalan Musa dalam Umno Sabah.

Sebelum cadangan itu, ditimbulkan pula entah dari mana ura-ura Salleh yang akan bertanding naib presiden. Bagaimanapun, hanya beberapa hari khabar itu bertiup di media dan mendapat sokongan beberapa bahagian, Salleh terus menyentap lamunan orang-ramai dengan membuat kenyataan bahawa Musalah yang paling layak bertanding jawatan naib itu.

“Permainan wayang politik” Umno Sabah ini sedang diikuti rapat oleh pemerhati Umno. Umum mengetahui Musa dan Shafie tidak serasi, walau apapun alasan dan penafian mereka, itulah hakikatnya.

Sedangkan Salleh pula cuba menggambarkan kepada dunia bahawa beliau boleh bekerjasama dengan kedua-dua pemimpin itu dan mengelak daripada bermusuh politik dengan mana-mana kumpulan dalam Umno Sabah.

Senarionya jika Musa dan Shafie bersaing, dan Musa kalah, sudah tentu musuh Musa akan berkata pengaruh Musa tidak kuat dan mungkin selepas itu ditimbulkan rombakan kabinet Sabah. Salleh adalah Ahli Dewan Undangan Negeri manakala Shafie bukan.

Jika Musa menang dan Shafie gagal mempertahankan kedudukannya, maka golongan yang mencanang Musa akan tersenyum menuntut “habuan” dan pelbagai laluan untuk keselesaan masing-masing, sama ada menerusi projelkatau kedudukan dan pangkat baru dalam parti dan kerajaan negeri!

Sekarang, kalau Musa menolak bermakna beliau memberi laluan kepada Shafie mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden Umno, sesuatu yang besar kemungkinan akan berlaku. Jika enggan bertanding, Musa bakal dicap sama ada sebagai pengecut atau seorang yang berjiwa besar, tetap ada pihak dalam Umno Sabah membuat cerita, bergantunglah kepada kiblat politik mereka.

Biasanya golongan oportunis ini mengubah kiblat kepada yang menang kerana di situlah mereka boleh menikmati kesenangan. Bagi yang selalu mempermosi situasi menang-menang, apa pun terjadi tidak menjadi masalah bagi mereka.

Ada kemungkinan persaingan calon dari Sabah ini hanyalah wayang untuk menguji tahap penerimaan bahagian-bahagian Umno termasuk di Semenanjung, siapa yang lebih popular dan berada di barisan “hadapan” Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum mencadangkan  Musa, Salleh   mengeluarkan kenyataan mengesyorkan agar kementerian persekutuan terutama sekali kementerian yang dipegang Shafie menyalurkan terus peruntukan kementeriannya untuk Sabah kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Musa.

Yang sebenarnya ini adalah antara punca Musa dan Shafie dikatakan “bertelagah” memandangkan Musa tidak mempunyai pengaruh menentukan projek dan kontraktor untuk projek-projek pembangunan luar bandar di bawah kementerian Shafie.

Shafie pula tahu kuasa itulah yang boleh meletakkanya pada kedudukan selesa “mengatur” perkembangan politiknya di Sabah, sesuatu yang telah ditafsirkan sebagai ingin mencabar pengaruh Musa sebagai pemimpin nombor satu Sabah.

Kementerian Shafie merupakan salah satu kementerian pusat yang memiliki dana terbesar iaitu kira-kira RM6 bilion setahun, suatu jumlah yang boleh mempengaruhi suasana politik pembangunan di Sabah.

Baru-baru ini pula, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pakatan NGO Pro-BN yang dilihat pro-Musa, mengeluarkan amaran akan mendedahkan pihak yang membuat rancangan menjatuhkan Musa, termasuk melalui laman-laman sosial seperti facebook.

Presidennya Zulkarnain Mahdar berkata, kumpulan itu sangat aktif sebelum pilihan raya sehinggalah sekarang dan menyebarkan pembohongan mengenai Musa.

Katanya kumpulan tersebut seharusnya membantu Ketua Menteri untuk membangunkan Sabah dan bukannya menjatuhkannya. Kenyataan Zulkarnain itu membayangkan kumpulan berkenaan juga turut berada dalam kerajaan.

“Mereka harus ingat bahawa Musa dipilih oleh kerajaan pusat kerana mereka nampak kebolehan Musa dan sebab itulah Musa dikekalkan sebagai Ketua Menteri  Sabah.

“Musa telah memberi perkhidmatan kepada rakyat dan  bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Pencapaian Sabah di bawah pimpinan Musa sangat menyerlah setelah beliau mengambil alih daripada bekas Ketua Menteri, Chong Kah Kiat,” katanya lagi.

Zulkarnain yang kerap memuji Musa di media massa Sabah berkata simpanan Kerajaan Negeri ketika Musa mengambil alih hanya berjumlah RM184 juta tetapi selepas 10 tahun di bawah Musa, simpanan Kerajaan Negeri Sabah meningkat sekitar RM3.2 bilion.

“Bahkan di bawah pimpinan Musa, indeks kemiskinan di Sabah telah menurun daripada 19,7 peratus kepada 8.1 peratus antara 2009 dan 2012, manakala kadar kemiskinan di kawasan luar bandar pula menurun daripada 32.8 peratus kepada 12.9 peratus bagi tempoh yang sama di bawah pentadbiran Musa.

“Sabah menerima pelaburan asing bernilai RM10.2 bilion yang tertinggi di negara ini pada tahun 2012. Pada masa yang sama juga, tanah Sabah tidak seincipun diluluskan kepada individu atau syarikat besar,” kata Zulkarnain lagi tanpa memberi sedikitpun kredit kepada kementerian luar bandar yang diterajui Shafie.

No comments:

Post a Comment