Top posts

Featured Posts

GMPP Membantah Perundingan TPPA/ FTA!!!

Kami dari Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) amat risau tentang perundingan Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA/Free Trade Agreement) yang sedang dirundingkan oleh Malaysia, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara lain. Kami difahamkan salah satu daripada bab yang dibincangkan ialah mengenai hak cipta intelek. Pihak Amerika sedang mencadangkan bahawa hak intelek seperti penulisan buku dilanjutkan tempoh hak ciptanya dari 50 tahun ke 120 tahun!

Ini bermaksud sesebuah buku yang ditulis oleh penulis asal tidak boleh dicetak semula/difotostat semula tanpa kebenaran pemegang hak cipta asal tersebut dengan membayar royalti untuk  karya tersebut . Dulunya hakcipta terpelihara hanya untuk tempoh 50 tahun sahaja. Selepas tamatnya tempoh luput tersebut, hasil karya tersebut boleh dicetak semula atau difotostat secara sah oleh pihak lain. 

Tetapi kini, TPPA  boleh melanjutkan tempoh berkuatkuasa hakcipta melebihi tempoh 50 tahun selepas kematian pematennya (sehingga tempoh 120 tahun, sekiranya cadangan Amerika Syarikat diterima). Jika perjanjian TPPA ini ditandatangani oleh Malaysia maka akses maklumat akan terbantut kerana pemerolehan buku-buku teks rujukan pelajar sekolah dan universiti tidak boleh diperolehi dari sumber ketiga. Ianya akan dihalang daripada dicetak semula atau difotostat dengan kos yang murah .

Para pelajar sekolah dan mahasiswa terpaksa membeli buku sedemikian dengan harga tinggi beratusan ringgit daripada penerbit asal. Perlanjutan tempoh hakcipta ini juga akan memberi kesan kepada program pendigitalan di perpustakaan, yang boleh menyebabkan banyak hasil kerja yang telah didigitalkan untuk akses orang awam dibuang dari simpanan data, menghadkan penggunaan semula atau penggunaan kerja yang sepatutnya bebas  hakcipta, meningkatkan harga barangan perpustakaan sekaligus  kepada pengurangan pembelian buku-buku oleh perpustakaan. Bukan sahaja perpustakaan yang akan menerima kesannya, malah yang turut terjejas sama adalah orang awam serta para pelajar. Misalnya mereka yang mahu membuat salinan fotokopi untuk buku teks.

Oleh kerana segala dokumen perbincangan rundingan TPPA/FTA ini diantara Malaysia dan Amerika diadakan dalam bilik tertutup dan dikawal oleh persefahaman rahsia, maka rakyat Malaysia langsung tidak mengetahui samada bab Hak Cipta Intelek ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dalam perjanjian ini. Kami hanya menerima makluman melalui beberapa teks yang dibocorkan daripada rundingan ini, dimana ianya jelas menyatakan hasrat Amerika Syarikat menuntut lanjutan tempoh hak cipta untuk buku dan hasil ilmiah dilanjutkan dari 50 tahun ke 120 tahun .

Dengan menandatangani perjanjian ini, maka syarikat-syarikat penerbit akan diberikan lebih kuasa untuk menyaman  sesiapa yang fotostat, muatnaik dalam internet atau membuat salinan dalam apa jua cara sekali pun suatu buku atau hasil karya tanpa kebenaran penerbit hak cipta terpelihara tersebut . Perjanjian ini juga boleh diperluaskan untuk menghalang kemasukan buku dari negara ketiga . Iaitu suatu buku yang ditulis dan diterbitkan di Amerika tidak boleh diimport jika ianya dicetak semula di Vietnam contohnya.

Justeru itu kami dari Gerakan menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) yang dianggotai oleh 15 kumpulan Mahasiswa dan Anak muda membantah apa jua lanjutan tempoh hak cipta intelek sepertimana yang dituntut oleh Amerika dalam perjanjian TPPA ini . Kerajaan harus menyatakan dengan telus apakah perkara yang dibincangkan dalam TPPA ini dan memaklumkan kepada rakyat Malaysia isu –isu yang telah dipersetujuinya sehingga kini .

Kini rundingan TPPA /FTA akan berlangsung dari 15hb.Julai hingga 25hb.Julai, 2013 di Kota Kinabalu . Kami membantah rundingan ini yang akan menjejaskan masa depan para pelajar di negara ini .  
HENTIKAN SEGERA RUNDINGAN TPPA/FTA!!!

Disediakan oleh,
Bawani KS (0169008202)
Penyelaras GMPP & Pengerusi Pemuda Sosialis

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) yang dianggotai oleh;
1.      Pemuda Sosialis, PSM
2.      Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA)
3.      Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
4.      Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
5.      Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen(KAMI)
6.      Gabungan Mahasisawa Islam SeMalaysia(GAMIS)
7.      Tamil School Transformation Team (TSTT)
8.      Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)
9.      Transformasi Mahasiswa, UUM (TM)     
10.  Gerakan Mahasiswa Pantai Timur(GEMPUR)
11.  Independent Student Front (INSTUF)
12.  Legasi Mahasiswa Progresif(LMP)
13.  Pro Mahasisawa Nasional
14.  Perdana Leader Fellowship (PLF)
15.  IKRAM Siswa Nasional

No comments:

Post a Comment

Search This Blog