Kami dari Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) amat risau
tentang perundingan Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA/Free Trade
Agreement) yang sedang dirundingkan oleh Malaysia, Amerika Syarikat dan
beberapa buah negara lain. Kami difahamkan salah satu daripada bab yang
dibincangkan ialah mengenai hak cipta intelek. Pihak Amerika sedang
mencadangkan bahawa hak intelek seperti penulisan buku dilanjutkan
tempoh hak ciptanya dari 50 tahun ke 120 tahun!
Tetapi kini, TPPA boleh melanjutkan tempoh berkuatkuasa hakcipta
melebihi tempoh 50 tahun selepas kematian pematennya (sehingga tempoh
120 tahun, sekiranya cadangan Amerika Syarikat diterima). Jika
perjanjian TPPA ini ditandatangani oleh Malaysia maka akses maklumat
akan terbantut kerana pemerolehan buku-buku teks rujukan pelajar sekolah
dan universiti tidak boleh diperolehi dari sumber ketiga. Ianya akan
dihalang daripada dicetak semula atau difotostat dengan kos yang murah .
Para pelajar sekolah dan mahasiswa terpaksa membeli buku sedemikian
dengan harga tinggi beratusan ringgit daripada penerbit asal.
Perlanjutan tempoh hakcipta ini juga akan memberi kesan kepada program
pendigitalan di perpustakaan, yang boleh menyebabkan banyak hasil kerja
yang telah didigitalkan untuk akses orang awam dibuang dari simpanan
data, menghadkan penggunaan semula atau penggunaan kerja yang sepatutnya
bebas hakcipta, meningkatkan harga barangan perpustakaan sekaligus
kepada pengurangan pembelian buku-buku oleh perpustakaan. Bukan sahaja
perpustakaan yang akan menerima kesannya, malah yang turut terjejas sama
adalah orang awam serta para pelajar. Misalnya mereka yang mahu membuat
salinan fotokopi untuk buku teks.
Oleh kerana segala dokumen perbincangan rundingan TPPA/FTA ini
diantara Malaysia dan Amerika diadakan dalam bilik tertutup dan dikawal
oleh persefahaman rahsia, maka rakyat Malaysia langsung tidak mengetahui
samada bab Hak Cipta Intelek ini telah dipersetujui oleh Kerajaan
Malaysia dalam perjanjian ini. Kami hanya menerima makluman melalui
beberapa teks yang dibocorkan daripada rundingan ini, dimana ianya jelas
menyatakan hasrat Amerika Syarikat menuntut lanjutan tempoh hak cipta
untuk buku dan hasil ilmiah dilanjutkan dari 50 tahun ke 120 tahun .
Dengan menandatangani perjanjian ini, maka syarikat-syarikat penerbit
akan diberikan lebih kuasa untuk menyaman sesiapa yang fotostat,
muatnaik dalam internet atau membuat salinan dalam apa jua cara sekali
pun suatu buku atau hasil karya tanpa kebenaran penerbit hak cipta
terpelihara tersebut . Perjanjian ini juga boleh diperluaskan untuk
menghalang kemasukan buku dari negara ketiga . Iaitu suatu buku yang
ditulis dan diterbitkan di Amerika tidak boleh diimport jika ianya
dicetak semula di Vietnam contohnya.
Justeru itu kami dari Gerakan menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) yang
dianggotai oleh 15 kumpulan Mahasiswa dan Anak muda membantah apa jua
lanjutan tempoh hak cipta intelek sepertimana yang dituntut oleh Amerika
dalam perjanjian TPPA ini . Kerajaan harus menyatakan dengan telus
apakah perkara yang dibincangkan dalam TPPA ini dan memaklumkan kepada
rakyat Malaysia isu –isu yang telah dipersetujuinya sehingga kini .
Kini rundingan TPPA /FTA akan berlangsung dari 15hb.Julai hingga
25hb.Julai, 2013 di Kota Kinabalu . Kami membantah rundingan ini yang
akan menjejaskan masa depan para pelajar di negara ini .
HENTIKAN SEGERA RUNDINGAN TPPA/FTA!!!
Disediakan oleh,
Bawani KS (0169008202)
Penyelaras GMPP & Pengerusi Pemuda Sosialis
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) yang dianggotai oleh;
1. Pemuda Sosialis, PSM
2. Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA)
3. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
4. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
5. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen(KAMI)
6. Gabungan Mahasisawa Islam SeMalaysia(GAMIS)
7. Tamil School Transformation Team (TSTT)
8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)
9. Transformasi Mahasiswa, UUM (TM)
10. Gerakan Mahasiswa Pantai Timur(GEMPUR)
11. Independent Student Front (INSTUF)
12. Legasi Mahasiswa Progresif(LMP)
13. Pro Mahasisawa Nasional
14. Perdana Leader Fellowship (PLF)
15. IKRAM Siswa Nasional
No comments:
Post a Comment