Top posts

Featured Posts

Budak perempuan tertimbus dalam tanah runtuh

Usaha mencari sedang giat dijalankan di kawasan
tanah runtuh seluas lebih seekar
Oleh Kevin Ivan
KUNDASANG : Seorang budak perempuan dikhuatiri tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di kampung Mesilou, Kundasang, yang berlaku pagi tadi.

Jurucakap Bomba Ranau, ketika dihubungi FMT, berkata budak perempuan dari suku kaum Dusun itu yang belum dipastikan umurnya itu didapati hilang apabila sebuah pondok kebun milik keluarganya runtuh dan tertimbus dalam kejadian awal pagi tadi.
Katanya, usaha mencari sedang giat dijalankan di kawasan tanah runtuh seluas kira-kira lebih seekar di lereng bukit Mesilou. Tempat kejadian itu ialah bersebelahan dengan Pusat Latihan Dakwah Islam.

Polis dan pasukan kecemasan hospital Ranau masih berada di Mesilou ketika berita ini ditulis.

Selain National Park di Kundasang, Kampung Mesilou merupakan satu-satunya pintu masuk alternatif pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di negara ini.

Terdapat banyak pusat peranginan dan hotel serta chalet di lereng bukit perkampungan Mesilou, yang terkenal dengan cuaca sejuk dan perladangan lembu tenusu Desa Cattle itu.

Bagaimanapun, tiada pusat peranginan terjejas setakat ini oleh kejadian tanah runtuh itu.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.57 pagi tadi dan terus menghantar sepasukan pemyelamat ke tempat kejadian.

“Tanah runtuh itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat diiringi angin kuat berlarutan sejak semalam,” kata jurucakap itu lagi.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Meteorologi Malaysia, dalam kenyataannya menerusi laman facebooknya menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati kerana ribut kuat dan juga hujan lebat dijangka terus melanda pantai barat Sabah sehingga Khamis ini.

Pengarahnya, Malik Tussin, ketika dihubungi FMT, memberitahu angin kuat yang melanda pantai barat Sabah sejak awal pagi Selasa adalah akibat lekukan angin tropika (tropical depression) yang bertiup dari timur Filipina menghala ke barat laut.

“Angin kuat ini merupakan tempias kepada ribut dari Filipina. Sekarang ini ialah musim monsun barat daya di Sabah dan biasanya ia cuaca yang baik tetapi memandangkan berlaku “tropical depression” kita mengalami angin yang agak kuat berserta hujan,” jelasnya.
- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/16/budak-perempuan-tertimbus-dalam-tanah-runtuh/#sthash.V7B2ja7B.dpuf

No comments:

Post a Comment

Search This Blog