Top posts

Featured Posts

RCI: Lebih baik lambat daripada tiada

Oleh Newmond Tibin
Ketua Menteri, NGO dan individu di Sabah
menyambut baik penubuhan suruhanjaya ini.
KOTA KINABALU: Walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kedudukan selesa kepentingan seluruh rakyat negeri ini berhubung masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berlarutan sejak sekian lama, dengan penuh ikhlas, ia menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani perkara itu.
Kebanyakan pemimpin negeri, termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu di Sabah menyambut baik penubuhan suruhanjaya ini, walaupun ada yang berpendapat kerajaan persekutuan sepatutnya berbuat demikian sejak lama dulu.
Mereka menyifatkan penubuhan RCI sebagai kemuncak bagi usaha mengubati penyakit yang dikenali sebagai ‘wabak Pati’ di Sabah secara habis-habisan dan mengambil pendirian bahawa “lebih baik lambat daripada langsung tiada”.
Jelas sekali, keberanian Najib menubuhkan suruhanjaya berprofil tinggi ini memberi nafas baharu kepada seluruh rakyat Sabah setelah sekian lama mereka dilanda isu yang disifatkan sebagai “ibu segala masalah” itu.
Dalam apa yang dilihat sebagai suatu langkah bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian muktamad mengenainya, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan akan mengambil
tindakan terhadap setiap laporan atau resolusi yang dibuat RCI berhubung Pati di Sabah.
`Fajar baharu’
Gani dipetik sebagai berkata di Tawau baru-baru ini bahawa “sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan akan diambil dan perkara yang tidak betul akan diperbetul”.
“Langkah ini membawa fajar baharu untuk masa depan yang lebih baik bagi Sabah dan negara ini. Jelas sekali, Najib mendengar apa yang dimahukan rakyat Sabah — RCI.
“Kita bertuah kerana mempunyai seorang perdana menteri (Najib) yang berani serta memberi harapan kepada rakyat Sabah dan oleh itu, rakyat Sabah perlu memberi sokongan tidak berbelah-bagi terhadap usaha mulia ini,” kata timbalan ketua perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak kepada Bernama di sini.
Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata ini menunjukkan bahawa kerajaan BN benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah Pati, termasuk pengeluaran kad pengenalan yang menjadi isu besar.
“Berdasarkan pemerhatian saya, nampaknya tidak wujud apa yang disebut sebagai Projek IC. Ia lebih merupakan perbuatan satu sindiket (melibatkan beberapa individu) yang mahu cepat kaya,” katanya.

Taraf kerakyatan
Beliau berkata proses pemberian taraf kerakyatan kepada mereka yang tinggal di Sabah untuk tempoh tertentu serta layak menjadi warganegara, tertakluk kepada undang-undang dan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Ia tidak ada kaitan dengan hak mengundi. Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah memberi keterangan (di mahkamah) dan akibat perbuatan keji mereka itu, kerajaan menahan mereka atas sebab keselamatan (sebelum mereka akhirnya dibebaskan),” kata beliau.
Sambil berkongsi pendapat dengan Salleh berhubung perkara itu, setiausaha agung Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (Usto) Kanul Gindol berkata setiap rakyat Malaysia sepatutnya menghargai keberanian Najib menubuhkan RCI bagi menyiasat kebanjiran Pati ke Sabah dan pemberian dokumen Malaysia kepada mereka.
Katanya isu Pati menjadi duri dalam daging bagi rakyat Sabah sejak akhir 1970-an lagi dan masalah berkaitannya diwarisi daripada seorang perdana menteri kepada seorang perdana menteri.
Kanul berkata Najib mengambil tindakan untuk berdepan secara terus dengan masalah itu dengan menubuhkan RCI yang berjanji akan mendedahkan perancangan serta mereka yang menjadi dalang utama dalam perbuatan yang mengancam asas
penting Persekutuan Malaysia.
Jangan persoal keikhlasan Najib
“Tiada siapa yang patut mempersoal keikhlasan Najib menubuhkan RCI ini. Mereka yang menganggotai RCI ini terdiri daripada individu yang berwibawa di Malaysia. Nampaknya, pembangkang sendiri cemburu dengan kesungguhan luar biasa Najib untuk mendedahkan kebenaran dan mencari penyelesaian terhadap masalah besar di Sabah ini,” katanya.
Ketika mengumumkan butiran terperinci dan terma rujukan bagi penubuhan RCI itu di sini pada 11 Ogos tahun lepas, Najib berkata suruhanjaya itu diberi masa enam bulan untuk menyelesaikan siasatannya berhubung kebanjiran Pati di Sabah.
Najib dipetik sebagai berkata siasatan akan memberi tumpuan terhadap perkara sama ada pengeluaran kad pengenalan biru atau pemberian taraf kerakyatan kepada pendatang, dibuat mengikut undang-undang.
Suruhanjaya itu juga akan menyiasat sama ada nama mereka yang mendapat kad pengenalan biru atau resit pengenalan sementara (biru) atau taraf kerakyatan secara tidak sah, tersenarai dalam Daftar Pemilih, katanya.
Najib berkata RCI itu juga akan menyiasat sama ada pihak berkuasa berkenaan telah mengambil sebarang tindakan atau berusaha untuk menambah baik prosedur operasi standard, kaedah dan peraturan bagi mengelak berlaku perbuatan yang menyalahi undang-undang berkaitan perkara itu.
Standard antarabangsa
Siasatan lanjut juga perlu dilakukan terhadap perkara berkaitan prosedur operasi standard, kaedah dan peraturan mengenai pengeluaran kad pengenalan biru atau pemberian taraf kerakyatan kepada pendatang di Sabah dengan mengambil kira standard antarabangsa serta norma yang menjadi amalan di Malaysia, katanya. RCI ini sudah memulakan prosidingnya. Ia diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Anggota panelnya terdiri daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, yang juga bekas Peguam Besar Sabah, Tan Sri Herman J. Luping.
Kanul, yang juga seorang wartawan dan aktivis masyarakat, berpendapat pembangkang akan bersorak gembira sekiranya Najib gagal memenuhi tuntutan Rakyat Sabah agar sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat kebanjiran Pati di negeri ini.
“Ternyata, Najib sekali lagi mengecewakan pembangkang. Para pemimpin pembangkang yang bercita-cita untuk menerajui negara ini patut belajar daripada lelaki ini (Najib), iaitu sekiranya ingin menjadi pemimpin, mereka perlu mempamerkan ciri-ciri luar biasa yang dapat meyakinkan rakyat bahawa mereka mengotakan apa yang dikata dan hanya berkata apa yang mampu mereka kotakan.
Erotik
“Orang sekarang sudah berpelajaran dan mereka berfikir secara kritikal mengenai siapa yang boleh dipercayai dan tidak boleh dipercayai. Sekiranya dikotakan apa yang anda katakan, maka orang akan percaya dan yakin kepada anda.
Sekurang-kurangnya, anda tidak akan digelar sebagai pembohong,” katanya. Kanul berkata kini, rakyat Malaysia tidak lagi boleh menerima sesuatu yang bersifat retorik, malah kehebatan perhubungan awam atau kempen juga perlu disusuli dengan tindakan konkrit.
“Saya berpendapat Najib telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang untuk Malaysia dan parti pimpinannya, Barian Nasional. Paling tidak pun, mengenai perdana menteri ini, kita boleh katakan bahawa beliau mendengar, meneliti dan
melaksanakan satu demi satu usaha untuk memuaskan hati rakyat, mencari penyelesaian dan dalam proses ini, meraih semakin banyak sokongan, termasuk daripada generasi muda,” katanya.
Kanul berkata kehadiran pendatang tanpa izin dari selatan Filipina dan Indonesia telah mengubah demografi politik Sabah serta mengancam keselamatan negara.
Bagi parti politik tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), yang mendesak para pemimpin persekutuan sejak 1980-an lagi agar menghentikan perbuatan memberi dokumen Malaysia kepada pendatang asing, perkara yang mereka nanti-nantikan sejak sekian lama itu, kini menjadi kenyataan apabila RCI ini ditubuhkan, lebih-lebih lagi ketika menjelangnya pilihan raya umum.
PBS,  Upko, PBRS
Oleh itu, selain Najib, rakyat Sabah juga patut berterima kasih kepada PBS, Upko dan PBRS, kata Kanul, sambil menegaskan bahawa walaupun penubuhan RCI ini mungkin agak terlewat, tetapi seperti kata orang, “lebih baik lambat daripada tiada langsung.”
Penyokong kuat PBS dari Kiulu, Solinah Sambag berkata beliau masih ingat dengan jelas bahawa pada pilihan raya negeri 1985, PBS yang baru ditubuhkan ketika itu dan dipimpin Datuk Joseph Pairin Kitingan (kini Tan Sri), begitu nyaring menyuarakan isu pendatang tanpa izin di Sabah.
“Selama 28 tahun, PBS di bawah pimpinan Pairin berjuang agar isu ini (pendatang tanpa izin) diselesaikan. Nampaknya, perjuangan tanpa henti PBS ini membuahkan hasil melalui penubuhan RCI ini.
“Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan. Kini, cahaya sudah kelihatan di hujung terowong, terima kasih kepada Najib kerana memberi kepada kami cahaya kegembiraan yang telah lama kami nanti-nantikan,” kata Solinah, sambil mengharapkan sesuatu yang terbaik akan lahir daripada penubuhan RCI ini.

Bernama

No comments:

Post a Comment

Search This Blog