Credit to Facebook 1 Suara Sabah
Sejurus selepas berita mengenai pencerobohan orang asing yang bersenjata di kawasan Pantai Tanduo berdekatan Felda Sahabat 17 tersebar, suasana di bandar Lahad Datu bertukar menjadi sibuk dengan aktiviti-aktiviti pihak berkuasa.
Menurut sumber dari penduduk Lahad Datu, ekoran daripada kejadian itu, banyak trak-trak tentera kelihatan bergerak ke arah Jalan Silabukan menuju ke lokasi kejadian.
Di samping itu, tentera bersenjata turut dilihat berjalan kaki membuat rondaan bandar. Rondaan helikopter polis juga dilihat dibuat berterusan. Pemeriksaan polis turut dilakukan di beberapa kawasan bandar terutamanya Jalan Silabukan.
Manakala sekolah-sekolah di sepanjang jalan tersebut yang meliputi Bakapit, Tungku, Felda dan lain-lain turut ditutup. Askar tambahan juga telah ditempatkan di Felda.Menurut sumber dari penduduk Lahad Datu, ekoran daripada kejadian itu, banyak trak-trak tentera kelihatan bergerak ke arah Jalan Silabukan menuju ke lokasi kejadian.
Di samping itu, tentera bersenjata turut dilihat berjalan kaki membuat rondaan bandar. Rondaan helikopter polis juga dilihat dibuat berterusan. Pemeriksaan polis turut dilakukan di beberapa kawasan bandar terutamanya Jalan Silabukan.
Berdasarkan maklum balas yang diterima dari penduduk sekitar bandar Lahad Datu menunjukkan reaksi yang berbeza. Ada yang merasa suasana tegang dan ada juga yang tidak terasa sedemikian.
Prichard Jimmy menggambarkan, walaupun kehadiran ramai tentera membuat rondaan, tetapi keadaan adalah seperti biasa dengan banyak kedai masih dibuka.
"Keadaan di sini masih seperti biasa. Masih banyak kedai dibuka. Tapi ada juga yang tutup. Penduduk tidak berapa panik sebab mereka tahu pemeriksaan jalan raya oleh pihak berkuasa sedang dijalankan dengan ketat.
"Banyak helikopter yang terbang ulang-alik ke Tungku. Tapi saya takut jalan malam sebab takut diculik," katanya.
Menurutnya lagi, ramai yang mengelak untuk pergi ke Jalan Silabukan melainkan mereka yang tinggal di kawasan sepanjang jalan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Nihal Singh mengesahkan apa yang dikatakan oleh Prichard mengenai banyak kedai yang ditutup.
Selain itu, ramai penduduk khususnya kaum Cina juga telah meninggalkan bandar Lahad Datu, kata Nihal lagi.
"Ramai orang Cina dari Semenanjung sudah keluar dari bandar ini. Mungkin ada yang pergi ke bandar lain dan mungkin ada juga yang balik ke Semenanjung.
"Selain ini, ada juga yang enggan menghantar anak-anak mereka ke tadika, termasuk saya," katanya.
Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Siti pula berkata, dia ada terserempak dengan tujuh trak askar yang diiringi oleh dua penunggang motorsikal.
Trak-trak itu kelihatan kosong, akui Siti cemas yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke Semporna.
Manakala bagi Anthony Teo pula, dia juga ada terserempak dengan banyak kenderaan tentera yang dilihat bergerak ke arah kawasan Felda Sahabat dan juga merasakan keadaan yang tegang.
Berlainan pula dengan keadaannya di sekitar kawasan Felda Sahabat.
Walaupun urusan harian berjalan seperti biasa, tetapi keadaan menjadi sunyi semenjak kejadian tersebut.
Seorang pekerja sebuah institusi kewangan di sana mengatakan, situasinya adalah menakutkan dan beliau keberatan untuk turun kerja dengan keadaan tersebut.
Malah, beliau risau kerana lokasi kejadian hanya kira-kira 16km dari tempat beliau bekerja.
Kenyataan-kenyataan rasmi yang dikeluarkan tidak menggambarkan perkara sebenar, katanya yang enggan namanya disiarkan.
Seorang lagi penduduk kampung yang tinggal di sepanjang Jalan Silabukan pula berkata, sudah banyak trak tentera lalu di kawasan mereka.
"Helikopter juga tidak henti-henti membuat rondaan manakala jalanraya menjadi lengang. Suasana sini tegang dan menakutkan," katanya yang juga enggan namanya disiarkan.
Antara khabar angin yang tersebar di kalangan segelintir penduduk Lahad Datu adalah, orang-orang asing yang menceroboh tersebut adalah askar-askar veteran Abu Sayaff yang telah berusia. -MK
No comments:
Post a Comment