“There is a tide in the affairs of men,
Which, taken at the flood, leads on to fortune;
Omitted, all the voyage of their life
Is bound in shallows and in miseries.
On such a full sea are we now afloat,
And we must take the current when it serves,
Or lose our ventures.”
- William Shakespeare (“Julius Ceasar”, Act IV iii 215)
Bayangkan Britain ditadbir oleh parti politik yang sama, contohnya, Parti Buruh, selama 55 tahun berturut-turut dari tahun 1957. Ataupun Amerika Syarikat ditadbir oleh Parti Republikan untuk tempoh sama yang berterusan, tanpa henti.
Itulah takdir Malaysia semenjak Merdeka. Pilihan raya umum ke-13, yang mesti diadakan sebelum 28 Jun tahun ini, memberi rakyat Malaysia satu peluang untuk bebas dari monopoli kuasa politik yang dipelopori UMNO, pada asalnya, berlindung di sebalik Perikatan dan setelah itu, sebagai Barisan Nasional.
Jarak 5 tahun di antara pilihan raya umum ke-12 pada bulan Mac 2008 dan pilihan raya umum ke-13 telah menjadi suatu tempoh titik perubahan penting dalam zaman pasca-kemerdekaan Malaysia disebabkan oleh penubuhan suatu sistem dua-parti yang benar-benar berfungsi, di mana barisan pembangkang yang kuat dilihat sebagai mampu membentuk kerajaan seterusnya.
Namun, ia mengambil masa separuh abad untuk negara kita mencapai tahap pembangunan demokratik sebegini. Sepertimana kebanyakan rakyat bagi negara-negara yang telah bebas dari pemerintahan kolonial dalam Dunia Ketiga, rakyat Malaysia amat berterima kasih kepada parti Perikatan, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, kerana mendapatkan kemerdekaan daripada jajahan British.
Garapan muhibah para pejuang kemerdekaan nasionalis telah banyak membantu UMNO pada zaman beberapa dekad yang awal. Elemen bangsa, yang telah dieksploitasi oleh penjajah dalam dasar pecah-perintahnya, menjadi ciri asas tunggal dalam politik Malaysia semenjak Merdeka, terlihat di peringkat pusat dengan penubuhan gabungan Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, masing-masing mewakili bangsa tertentu, dan diharapkan untuk memperjuangkan kepentingan kawasan pilihan raya berdasarkan etniknya.
Pada zaman dahulu, UMNO bertindak sebagai ‘abang sulung’, dan MCA dan MIC seolah-olah menyumbang sebagai ‘adik-adik’. Meskipun demikian, tidak pernah timbul persoalan tentang kesamarataan. Selepas Majlis Gerakan Negara melalui pengarahnya, Tun Abdul Razak, mendapat kuasa sebenar di kala berlakunya rusuhan-rusuhan 13 Mei 1969, kekuasaan dan dominasi UMNO tidak pernah lagi dipersoalkan.
Oleh yang demikian, realiti secara praktikalnya adalah, semenjak awal tahun 1970an, Barisan adalah sebenarnya UMNO, dan keputusan-keputusan utama yang melibatkan negara adalah lebih kerap ditentukan oleh bahagian dalaman UMNO berbanding Kabinet.
Kebangkitan Ayatollah Khomeini sehingga mendapat kuasa dalam Revolusi Iran pada tahun 1979 membawa kepada suatu kebangkitan Islam di serantau dunia.
Pengaruhnya di Malaysia dapat dilihat menjelang pertengahan 1980an apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk mengalahkan PAS dengan menggunakan Islam sebagai suatu ideologi dan senjata politik. Dengan itu, UMNO telah menambahkan elemen agama kepada bangsa, suatu campuran emosi yang kuat dalam sebuah masyarakat majmuk. Bangsa atau agama telah mempengaruhi hampir setiap keputusan yang dibuat oleh UMNO, dan komponen-komponen negeri di bawah kawalannya.
Oleh yang demikian, ia bukanlah suatu penyataan yang tidak tepat untuk menggambarkan bangsa dan agama sebagai elemen-elemen asas dalam politik Malaysia moden.
Barangkali kesan yang paling tidak boleh diterima yang disebabkan oleh pemerintahan UMNO yang berpanjangan adalah kawalannya terhadap semua institusi awam negara, seperti media, universiti-universiti, perkhidmatan awam dan polis. Keberterusan sesuatu kerajaan juga melahirkan pemerintah-pemerintah yang senantiasa percaya bahawa mereka mempunyai suatu hak suci untuk memerintah, iaitu, tiada lagi perbezaan antara negara bangsa dan parti pemerintah – seolah-olah mereka tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, UMNO telah berperangai seolah-olah kepentingan partinya adalah sama dengan kepentingan Malaysia.
Apabila semakin lama sokongan sebenar untuk UMNO semakin pudar, suatu suasana kebimbangan telah diperkembangkan, dengan membayangkan bahawa peristiwa 13 Mei akan berulang sekali lagi untuk menakutkan para pengundi, terutamanya generasi tua dan golongan bukan Melayu.
Kejayaan Pakatan dalam menafikan Barisan daripada mendapat majoriti dua pertiga kerusi Parlimen yang dimegah-megahkan, dengan memenangi 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, dan mengambil alih pemerintahan di lima buah negeri pada bulan Mac 2008, telah selama-lamanyanya menghapuskan mitos bahawa UMNO adalah kebal.
Sekalipun jika politik berasaskan etnik telah memainkan peranan dalam memperolehi kemerdekaan dan dalam mentadbir suatu negara yang baru, fungsi sebegini telah lama lapuk dan patut dibuang. Peringkat seterusnya dalam demokrasi Malaysia yang semakin berkembang adalah suatu pertukaran dalam kerajaan pusat.
Sepertimana malam menuruti siang, ianya pasti akan berlaku tanpa dapat dielakkan.
Deepak
Kisah Deepak Jaikishan yang kini membanjiri media Internet, yang mana untuk semua tujuan praktikal telah menjadi media arus perdana untuk jutaan rakyat Malaysia yang sudah jelak dengan laporan akhbar yang buruk, melambangkan betapa teruknya kehidupan awam kita: hanya suatu negara berdaulat maya (‘basket nation’) seperti Zimbabwe boleh menunjukkan tahap yang serupa.
Di sini, seorang ahli perniagaan yang sama sekali tidak dikenali dari sebuah kumpulan etnik minoriti tanpa sebarang sokongan dari mana-mana institusi yang diketahui, telah mempersendakan perdana menteri dan isterinya selama lebih sebulan tanpa sesiapapun dari UMNO membela mereka.
Seseorang akan terfikir bahawa kritikan secara umum yang berulang kali seperti itu terhadap presiden UMNO adalah suatu cabaran secara langsung terhadap seluruh parti, yang mana pada masa lalu, ianya sering dibalas dengan bantahan berbisa daripada UMNO, dan diikuti pula dengan seluruh negara. Seseorang hanya perlu mengimbas kembali seruan lantang beberapa bulan lalu untuk membatalan kewarganegaraan Ambiga Sreenevasan, yang juga ahli daripada kumpulan etnik minoriti yang sama, apabila beliau dengan penuh keberanian mengetuai perjuangan munasabah Bersih untuk suatu pemulihan terhadap sistem pilihan raya.
Apa yang perlu diingat berkenaan dakwaan oleh Deepak adalah keseriusannya: manakan tidak, ia melibatkan pembunuhan kejam seorang ibu dari Mongolia yang menziarahi kekasih yang didakwanya di Kuala Lumpur, dan penyembunyian peristiwa tersebut. Isu kritikal mengenai pembunuhan tersebut adalah – dalang yang memberikan arahan kepada dua boneka untuk meletupkan wanita tersebut dengan C-4 tidak pernah disiasat – dan pelaku salah tersebut tidak pernah dituduh.
Sesebuah masyarakat yang tidak membenarkan suatu siasatan yang paling mendalam, bebas dan profesional yang akan membawa kepada penangkapan, pendakwaan dan pensabitan terhadap pembunuh-pembunuh sebenar Altantuya mematahkan segala dakwaan bahawa masyarakat tersebut adalah masyarakat yang baik dan mematuhi undang-undang.
Ianya bukanlah suatu kebetulan bahawa tindakan berani sebegitu boleh berlaku dalam sebuah masyarakat di mana pemimpin-pemimpin politiknya telah mentadbir hampir separuh abad, dan telah memperlakukan negara dan institusi-institusinya seperti hak peribadi mereka, dan memperlakukan pengundi-pengundinya dengan penghinaan. Sifat kebertanggungjawapan, integriti dan jujur adalah nilai-nilai yang telah hilang dalam masyarakat kita.
Malah, respon kerajaan terhadap ugutan Deepak juga amatlah memeranjatkan: memandangkan hutang peribadinya perlu diselesaikan, suatu syarikat yang bertujuan untuk menjaga kepentingan pengkhidmat-pengkhidmat tentera telah diarahkan untuk menyelesaikan masalah hutang Deepak. Apa yang telah diabaikan sama sekali adalah persoalan berkenaan tadbir urus syarikat: bagaimanakah kepentingan syarikat ini, pemegang-pemegang sahamnya dan pemiutang-pemiutangnya akan terpelihara dengan transaksi ini?
Oleh kerana UMNO mengawal pengurusan beratus-ratus syarikat, jurang perbezaan di antara kepentingan UMNO dan kepentingan syarikat-syarikat tersebut telah menjadi pudar. Jarang sekali di dalam sejarah berlakunya situasi yang bertepatan dengan ulasan serius oleh Lord Acton bahawa “Power corrupts, and absolute power corrupts absolutely” kecuali di zaman Malaysia kini.
Pentadbiran Malaysia
Ianya sering kali diperdebatkan oleh pembela UMNO bahawa secara relatif, Malaysia adalah sebuah negara yang makmur. Respon terhadap perkara ini sepatutnya adalah: dengan negara manakah kita sedang diperbandingkan? Jika kita dibandingkan dengan Myanmar, Nigeria atau Colombia, maka ya, negara kita sememangnya sedang berkembang. Tetapi sudah tentunya, suatu perbandingan sepatutnya dibuat dengan negara yang setaraf, iaitu, negara-negara setanding kita. Korea Selatan dan Malaysia kedua-duanya merupakan mangsa krisis kewangan Asia pada tahun 1997. Korea Selatan sememangnya telah menerima bantuan IMF pada tahun 1998. Namun, 15 tahun kemudian, dengan menggunakan semua kaedah yang ada, Korea Selatan telah sangat jauh mendahului Malaysia. Sama ada dalam perindustrian berat, pembinaan kapal ataupun teknologi, Korea Selatan sememangnya bertaraf dunia: fikirkan sahaja Samsung, LG dan Hyundai.
Begitu juga dengan tradisi demokrasinya.
Oleh itu, cara terbaik untuk menggambarkan pengurusan ekonomi Malaysia adalah, meskipun polisi-polisi yang lemah dan salah telah memberi impak terhadap sektor perniagaan, Malaysia masih berjaya disebabkan oleh sumber asli dan industri, inisiatif dan kemahiran perniagaan sedia ada yang dimiliki rakyatnya, terutama sekali mereka yang di dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (SME). Rasuah dan nepotisma telah menyebabkan berbilion-bilion ringgit disalurkan keluar dari Malaysia.
Sekiranya Tan Siew Sin kekal sebagai Menteri Kewangan Malaysia selama 55 tahun ini, kepimpinan berhemat beliau akan berjaya menyelamatkan, saya cadangkan, sekurang-kurangnya RM1 trillion.
Aset paling besar sesebuah negara adalah rakyatnya: sumber manusia. Dasar-dasar ‘bijak’ UMNO telah mendorong 1 ½ hingga 2 juta rakyat Malaysia berhijrah bersama-sama dengan kemahiran dan bakat mereka untuk dinikmati oleh negara-negara lain, dan sebagai pulangan, kita telah menarik masuk 4 hingga 5 juta pendatang asing (sah dan haram) untuk memastikan negara kita “murah” dan merendahkan upah pekerja kita. Pertukaran yang ‘baik’! Satu ilustrasi kehilangan dialami Malaysia dan manfaat kepada negara-negara lain: jika semua rakyat Malaysia di Singapura meninggalkan negara itu dengan serta-merta, dan pulang ke Malaysia, Singapura akan terjejas dengan serius.
Pentadbiran Pakatan?
Ianya sering dipersoalkan: kita menerima kelemahan UMNO, tetapi lebih baik menerima perkara buruk yang dikenali; kerana bolehkah kita mempercayai Pakatan untuk mentadbir dengan lebih baik. Jawapan ringkasnya adalah, di dalam suatu sistem dua-parti yang berfungsi dengan betul, kita akan mendapat peluang dalam 4 hingga 5 tahun lagi untuk mengusir mereka semasa pilihan raya ke-14. Sesebuah negara seringkali dapat diberi perkhidmatan yang lebih baik apabila kerajaannya kerap berganti: tambahan pula, ianya adalah sebab kewujudan (‘raison d’etre’) suatu pilihan raya bebas dan adil yang tulen.
Namun, jawapan yang lebih baik adalah untuk mengambil kira rekod sebenar 5 kerajaan negeri diperintah Pakatan dari tahun 2008. Pengkritik-pengkritik sendiripun telah menerima hakikat bahawa Lim Guan Eng telah memimpin Pulau Pinang dengan hebat, dan patut diamanahkan dengan kepimpinan negara. Begitu juga dengan negeri Selangor.
Penyokong-penyokong “pembangunan besar” mengkritik gaya kepimpinan PAS di Kelantan dan Kedah: apa yang diabaikan dalam analisis ini adalah gaya mereka yang lembut, halus dan perlahan telah meraih sokongan para pengundi mereka. Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar yang hebat di Perak, dan pentadbirannya telahpun memberi impak dalam tahun pertama, yang kemudiannya membawa kepada pemberontakan (‘coup d’etat’) yang dirancang UMNO. Pertimbangan sepintas lalu terhadap prestasi Pakatan sebagai pentadbir kepada lima negeri juga dapat membuktikan bahawa mereka adalah adil, munasabah dan yang paling penting sekali, tidak terlibat dalam gejala rasuah.
Adakah yang sama boleh diperkatakan mengenai kerajaan negeri lain yang diperintah oleh UMNO?
Apabila seseorang juga mengambil kira ahli politik yang berpengaruh besar dalam kedudukan dan pengalaman sepertimana yang dimiliki Nik Aziz, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Karpal Singh untuk diberi kedudukan senior dalam Kabinet, pentadbiran negara akan berada dalam genggaman yang selamat dan berkeupayaan.
Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-7 apabila Pakatan dipilih. Dalam kehidupannya di mata awam selama 30 tahun, Anwar mempunyai penentangnya tersendiri. Namun, perlulah diingat bahawa Anwar merupakan seorang menteri kewangan yang berjaya untuk tempoh selama lebih kurang lima tahun, malah menerima anugerah-anugerah daripada Perdana Menteri Thatcher. Beliau juga merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri yang berjaya; sememangnya sangat berjaya sehinggakan ketuanya perlu menyingkirkannya pada tahun 1998! Berada di dalam kekalutan politik selama 15 tahun, dan menghadapi keaiban pendakwaan, penganiayaan, penyabitan bersalah dan hukuman penjara yang panjang, hanya boleh menyebabkan beliau menjadi rendah diri. Dr Mahathir dan UMNO telah menjadi obsesif, dan telah menggunakan kuasa negara untuk menghalang Anwar daripada megambil alih kuasa. Namun, para pengundi di Malaysia adalah pengadil sebenar. Rakyat Malaysia dengan itu seharusnya menanti harap dengan penuh keyakinan terhadap kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri. Kita mengharapkan agar kerajaan beliau akan membuat keputusan-keputusan yang bebas perkauman, bebas keagamaan dan tiada diskriminasi warna kulit.
Satu individu di Malaysia yang tidak boleh menerima hakikat jika Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri adalah Dr Mahathir, yang hanya boleh mengadili seseorang mengikut nilai dan standard Dr M itu sendiri. Akibatnya, Dr Mahathir menjangkakan bahawa pentadbiran Anwar adalah untuk membalas dendam, terutama sekali terhadap diri beliau sendiri dan keluarga beliau. Beliau mungkin dapat dibuktikan salah dalam perkara ini. Apa lagi yang boleh diperkatakan adalah, daripada membazirkan masa, tenaga dan sumber negara untuk menyiasat dan mendakwa Dr Mahathir dan sekutu-sekutunya yang mana boleh dianggap sebagai perang politik, Anwar boleh melantik satu Suruhanjaya Diraja “Kebenaran dan Perdamaian”, yang dimodelkan daripada pasca-apartheid South Africa oleh Nelson Mandela, bersama dengan mandat untuk mendedahkan kebenaran (dan bukan menghukum pesalah) sebagai cara mendamaikan negara, dan bergerak ke hadapan untuk menempuh cabaran-cabaran baru.
Jika majoriti rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa suatu perubahan dalam kerajaan adalah sangat penting dan mengundi dalam pilihan raya umum yang akan datang, perubahan ini pasti akan berlaku. Mereka yang kuat agama juga patut berdoa agar Tuhan membantu. Dengan rahmat Tuhan, Malaysia akan akhirnya dapat meninggalkan pemerintahan satu-parti menjelang pertengahan tahun ini. Jutaan rakyat sudah tidak sabar untuk ianya berlaku secepat mungkin.
*Tommy Thomas merupakan seorang peguam senior di Malaysia
No comments:
Post a Comment