Komentar oleh Azroy
Saya sebenarnya tidak begitu berminat memberikan pandangan balas terhadap komentar Sdra Azman Hj Ruslan, Ketua Pemuda UMNO Keningau di sebuah akhbar baru-baru ini. Saya lebih berasa malu bahawa di Sabah ini masih ada pemimpin yang agak buta sejarah. Atas kesedaran itu maka saya cuma ingin kongsikan kepada warga
Sabah bahawa jangan lagi keliru dengan kenyataan pemimpin-pemimpin seperti ini. Sabah BUKAN MERDEKA melalui pembentukan Malaysia. Sabah telah merdeka 16 hari sebelum pembentukan Malaysia.
Sama taraf dengan Malaya, Singapura dan Sarawak, bukannya sama taraf dengan negeri-negeri dalam Malaya.
Jika Sdra Azman Haji Ruslan inginkan penjelasan lanjut, saya bagi mewakili seluruh generasi muda Sabah yang menyokong perjuangan Agenda Borneo, membuka pintu seluas-luasnya untuk beliau menghadiri Borneo Tea Party yang dianjurkan oleh United Borneo Front di mana-mana seluruh Sabah. Malah jika beliau malu pada khalayak, saya bersedia untuk berkongsi sejarah sebenar Perjanjian Malaysia 1963 ini secara empat mata.
Ingin saya nyatakan di sini bahawa dengan keahlian setengah juta UMNO seperti yang beliau katakan, maka seramai itulah orang Sabah yang terkeliru dengan kenyataan pemimpin seperti ini.
Sejarah negeri sendiri pun masih keliru tetapi ada hati untuk menjadi pemimpin dan mencabar pejuang hak-hak Sabah. Saya menegaskan di sini bahawa perjuangan Agenda Borneo yang dibawa oleh parti STAR tidak sekali-kali bersifat kedaerahan semata-mata tetapi disusuli oleh tuntutan hak yang sah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 yang turut merangkumi Perkara 20.
STAR tidak meminta hak negeri lain tetapi sekadar meminta hak sendiri ditunaikan, setelah 48 tahun dipermainkan oleh kerajaan pimpinan UMNO/BN.
Saya amat yakin, sebagai pengamal undang-undang, beliau pasti tahu dengan lebih jelas apabila kita menyebut soal PERJANJIAN. Namun saya juga amat hairan mengapakah beliau terus mempersoalkan motif perjuangan STAR khususnya dalam pembentukan Perikatan Borneo Bersatu.
Motif kita sangat ringkas dan mudah iaitu kita menuntut hak kita seperti yang termaktub dalam PERJANJIAN MALAYSIA 1963. Tetapi saya bimbang jika pemimpin hebat seperti beliau pun mungkin masih belum membaca perjanjian ini, apatah lagi tentang Perkara 20 yang menjadi syarat utama sebelum Sabah bersedia membentuk Malaysia bersama.
Kita mahukan perubahan dengan cara dan platform yang tepat.
Lebih 20 tahun rakyat Sabah memberikan peluang kepada pemimpin Sabah khususnya ORANG UMNO, tetapi tiada seorang pun daripada mereka ini yang berani memperjuangkan perkara ini sedangkan perjuangan ini adalah dalam bentuk PERJANJIAN yang sah. Jadi apa kaitan keikhlasan perjuangan dengan penubuhan Perikatan Borneo Bersatu?
Yang jelas UMNO yang tidak ikhlas memperjuangkan apakah hak-hak sebenar rakyat Sabah.
Melalui Perikatan Borneo Bersatu inilah yang kita fokuskan kepada penyatuan sebenar semua rakyat Sabah di bawah satu perjuangan yang sama. Apakah ini yang beliau katakan sebagai krisis keyakinan diri? Atau pemimpin UMNO/BN sendiri yang sudah mula hilang kepercayaan terhadap perjuangan UMNO/BN?
Malah melalui penyatuan inilah yang akan kita pastikan soal perpaduan, kestabilan ekonomi dan politik Sabah dapat diperjuangkan pada landasan yang tepat oleh orang yang tepat.
Jika kuasa autonomi dikembalikan kepada Sabah secara total, maka beliau tidak perlu bimbang lagi soal ini. Ini kerana selama UMNO/BN di Sabah justeru menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan rakyat melalui dasar pecah dan perintah UMNO.
Terbukti dengan sistem penggiliran Ketua Menteri yang nyata melanggar Perlembagaan Negara. Saya memang bukan pengamal undang-undang tetapi sepanjang pembacaan saya berkaitan Perlembagaan Malaysia yang diadaptasikan daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, saya belum lagi terbaca tentang terma yang membenarkan penggiliran Ketua Menteri ini. Tetapi kenapa ia dibenarkan berlaku di Sabah?
Mengulas soal mempertahankan kedaulatan negara, STAR secara konsisten menyokong soal keselamatan negara tanpa kompromi. Buktinya, peningkatan populasi penduduk Sabah yang meragukan dan penegasan beberapa pihak mahupun individu yang melahirkan kekhuatiran berlakunya PROJEK IC di Sabah merupakan salah satu daripada 7 Agenda Borneo yang diperjuangkan.
Oleh kerana itu, STAR sangat menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara ini sebaik-baiknya. Tetapi apakah yang dilakukan oleh Perdana Menteri Orang UMNO ini?
Sampai ke hari ini masih belum menyatakan pendirian yang jelas mengenai perkara ini. Pengumuman RCI berlegar-legar di Sabah pada ketika Perdana Menteri berada di Sabah tetapi sehingga beliau balik ke Putrajaya, tiada apa yang disentuh berkaitan perkara ini.
Walhal orang Sabah memerhati dan mengharapkan keputusan yang jelas berkaitan perkara ini sama seperti menanti pembentangan Bajet Negara. Kasihan, isu yang kritikal seperti ini pun kita terpaksa merayu dan berharap tanpa mampu berbuat apa-apa.
Sdra Azman jangan pula katakan bahawa PATI di Sabah bukan masalah. Saya minta beliau berjalan di sekitar pasar malam Keningau, jeling-jeling di sudut-sudut bangunan yang 'menempatkan' penjual rokok seludup, tanya diri sendiri, 'orang Sabahkah itu?' Inilah bukti betapa STAR sangat prihatin soal kedaulatan dan keselamatan negara.
Sebelum kita memperkatakan soal perjuangan, sepatutnya kita menelah buku lama agar kelemahan dan punca masalah dapat diselesaikan. Bertitik tolak daripada pendirian itu, maka STAR telah membuka lembaran sejarah lama sebagai satu cara yang berkesan bagi menyelesaikan semua permasalahan yang berlaku di Sabah.
Apabila kita kembali kepada asasnya, iaitu punca utama masalah yang berlaku, yakinlah bahawa perkara seterusnya bakal dapat kita perbaiki. Inilah yang sedang kita usahakan sesungguhnya.
Masalah yang berlaku di Sabah sebenarnya berpunca daripada pengkhianatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 itu sendiri. Jadi untuk menyelesaikannya maka, ia juga harus bermula daripada Perjanjian ini. Malah jika kita bentangkan pelan pembangunan STAR sekalipun, ia bukanlah jawapan sebenar terhadap permasalahan yang berlaku di Sabah.
Lihat sahaja pelan pembangunan yang ditaja oleh UMNO/BN. Apakah keberkesanannya?
Ia memang tidak akan berkesan kerana itu bukan punca masalah utama. Selepas lebih 20 tahun UMNO/BN berada di Sabah, Sabah tetap menjadi antara negeri termiskin di Malaysia. Sabah tetap menghasilkan peratusan pengangguran yang tinggi.
Malah jika kita lihat pembangunan fizikal sahaja pun kita dapat nilaikan secara kasar betapa jauhnya Sabah ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia. Di Semenanjung Malaysia terdapat KLCC, KL Tower, Putrajaya, Sistem keretapi canggih, sistem lebuhraya yang luas dan baik tetapi di Sabah mempunyai 'Highway' Kalabakan yang layak digelar jalan kayu balak. Di Sabah juga ada keretapi yang hidup segan mati tidak mahu. Lihat dengan mata kepala sendiri, jalanraya-jalanraya yg ada di seluruh Sabah, dengan lubang atau tampalan di sepanjang jalan. Jadi apakah yang dibanggakan dengan UMNO/BN di Sabah ini?
Dalam konteks hiburan dan rekreasi pula, jelas kita dapat bandingkan bagaimana kehebatan Genting Highlands, Berjaya Times Square, Sunway Lagoon, Bukit Merah Lake Town Resort dan macam-macam lagi.
Malangnya bagi rakyat Sabah, mereka cuma mampu 'berekreasi' di Fun Fair yang kadang-kadang timbul malah tahap keselamatannya diragui. Ini hanya contoh-contoh mudah yang boleh kita berikan kerana saya tidak sehebat seorang pengamal undang-undang yang tahu banyak perkara.Justeru, melalui contoh mudah ini pun kita boleh bertanya, adakah perjuangan STAR yang disifatkan sebagai 'kedaerahan' ini tiada asasnya? Mari kaji bersama...
Namun begitu, saya dan anda masih sama-sama anak watan Sabah. Saya doakan suatu hari nanti kita akan mempunyai kesedaran yang sama dan wadah perjuangan yang sama demi memastikan kelangsungan hidup yang lebih terhormat dan bertamadun untuk anak dan cucu serta generasi kita yang akan datang. Sebagai seorang ahli politik, anggap sahaja ini sebagai pertukaran buah fikiran dalam negara demokrasi dan bukan mencerminkan perbalahan yang bersifat peribadi. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment