'Bom Jangka' Upko Dikhuatiri Meletup?

Oleh : KASMAN MAHALI
PRESIDEN UPKO, Tan Sri Bernard Giluk Dompok juga dijangka akan meletupkan sebuah lagi bom jangka yang tertanam di persada politik Sabah jika pertemuannya dengan Perdana Menteri pada 30 Januari ini tidak berhasil.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO kelmarin memberikan mandat kepada Dompok untuk membuat apa juga keputusan demi survival parti yang mula tenggelam di celah kebangkitan pribumi Sabah yang mendesak penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat pengundi hantu dan kerakyatan songsang di Sabah.

Menurut risikan Sabahkini.net, Dompok terpaksa mengambil tindakan tidak popular dengan berhadapan sendiri dengan Perdana Menteri setelah Pengerusi Jawatankuasa Pilihankhas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihanraya umum, Datuk Maximus Johnity Ongkili hanya memberi jaminan RCI hanya akan dibincangkan selepas pilihanraya umum ke 13.

Dengan kedudukan Dompok yang semakin tidak selesa di Penampang, Dompok terpaksa membuat perhitungan terakhir dengan Perdana Menteri dan dijangka akan membuat pengumuman penting sejurus selepas perjumpaan khas pada 30 Januari ini.

Dijangkakan, jika tidak ada sebarang kata putus Perdana Menteri berhubung RCI, Dompok akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kabinet; tetapi UPKO masih kekal sebagai parti Komponen BN sehingga ke suatu masa yang hanya diketahui Dompok.

UPKO adalah satu-satunya parti komponen BN yang ikhlas memperjuangkan RCI sehingga Timbalan Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing mengemukakan Memorandum kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri berhubung bukti dan desakan penubuhan RCI.

Sebelum ini, pada 2006, Dompok pernah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Integriti setelah dua responden, Mutalib M.D dan Jabar Khan @ Yasser Arafat memberi keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan berhubung isu kerakyatan songsang di Sabah.

No comments:

Post a Comment