Oleh S. Arutchelvan, S/usaha Agung PSM
Parti Sosialis Malaysia (PSM) kesal dengan tindakan Mahkamah Persekutuan yang tidak berani membuat keputusan mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asal di dalam kes yang difailkan oleh Bato Bagi dan lima lagi. Keputusan yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, Hakim Mahkamah Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Shariff membuktikan sekali lagi sistem kehakiman negara ini gagal memberi keadilan kepada masyarakat tertindas.
Kes ini difailkan 10 tahun lalu berikutan pengambilan tanah adat oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk membina empangan hidro elektrik Bakun dan satu lagi kes melibatkan pembinaan kilang papan. Pembinaan empangan hidro elektrik Bakun yang bernilai RM13.5 bilion (pada asalnya) dari mula lagi dipenuhi dengan kontroversi telah menjejaskan kehidupan hampir 10,000 penduduk masyarakat Orang Asal di Hulu Sg. Balui. Menurut Tun Zaki, sekiranya kes itu dikembalikan untuk perbicaraan penuh, ia akan bersifat akademik memandangkan Bato Bagi telah menerima wang pampasan tersebut tanpa merujuk kepada majlis timbang-tara kerana dan hanya akan membuang masa dan wang. Tidakkah hakim ini sedar bahawa pembinaan empangan Bakun yang mengambil masa lebih 16 tahun itu yang melibatkan banyak kerugian dan hampir terbengkalai sehingga ianya terpaksa diselamatkan dan dikecilkan skalanya pembinaannya oleh Kerajaan Pusat dan selepas itu banyak bertukar tangan kerana ianya tidak dapat disiapkan. Jadi kerugian mana yang lebih lebih besar?
Tanah adat dan sumber hutan adalah penting bagi masyarakat Orang Asal. Kehidupan, budaya dan kepercayaan Orang Asal banyak bergantung kepada tanah. Dalam erti kata lain ianya adalah hak kehidupan mereka. Inilah yang cuba dihujahkan oleh peguam yang mewakili Bato Bagi dengan mengatakan artikel 5 (hak untuk hidup) dan artikel 13 (hak untuk memiliki harta) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak Orang Asal dan artikel 5(3) dan 4 Kanun Tanah Sarawak adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Namun, Mahkamah Persekutuan tidak mahu menjawab persoalan ini dan memberi tamparan kepada kes-kes tanah adat lain yang masih tertangguh di mahkamah.
Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga gagal mengiktiraf Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal. Deklarasi ini telah diterima pakai oleh PBB pada 13 September 2007 dan Malaysia telah menyokong Deklarasi ini. Perkara 24-31 Deklarasi tersebut mengakui hubungan di antara Orang Asal dan Tanah dan hak mereka untuk memiliki dan membangunkan tanah. Jadi Mahkamah Persekutuan gagal membuat keputusan yang selari dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang telah dipersetujui oleh Malaysia di peringkat antarabangsa.
PSM dengan ini menggesa pihak Kerajaan dan Mahkamah supaya menghormati hak tanah adat Orang Asal dan keputusan kes ini adalah satu tamparan kuat kepada hak asasi dan hak tanah. Kerajaan Persekutuan dengan serta merta harus mengiktiraf hak tanah masyarakat asal bumi ini.
No comments:
Post a Comment