Si ‘Besar Mulut’ Bukan Dewa!

PENJELASAN Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun yang turut memegang potfolio Pelajaran, dalam media tempatan; memang tepat dan kena pada tempatnya kerana selama ini para pemimpin di Sabah dalam genggaman dan jajahan takluk minda pemimpin Kuala Lumpur, terutama pemimpin UMNO.

Rakyat Sabah tidak punya kuasa penentu, pemimpin BN seolah-olah dipasung dan dicucuk hidung seperti kerbau. Jika melawan atau menyuarakan hak mereka akan dianggap menderhaka dan disentap turun dengan ganas; sebagaimana yang terjadi kepada Allahyarham Tun Mustapha, Tun Fuad Stephens, Tan Sri Harris Salleh dan juga Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sikap pemimpin ‘Besar Mulut’ seperti Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Puad Zarkashi yang berjubah BN menjual maruah rakyat Sabah seolah-olah mereka ‘Dewa’ yang perlu disembah dan tempat meminta-minta.

Masa untuk membohongi rakyat Sabah sudah lama berlalu dan sepatutnya pemimpin Persekutuan, tidak kira apa juga jawatan, sedar diri bahawa tanah yang mereka pijak mempunyai ‘tuan’ dan tidak boleh sewenang-wenangnya menceroboh dan membuang najis sesuka hati.

Pernahkah Puad terfikir bagaimana murid-murid di Sabah dapat maju dalam pelajaran sedangkan semua guru yang dihantar ke Sabah baru keluar daripada makmal dan langsung tidak berpengalaman. Apabila mereka sudah mahir, mereka ditukarkan kembali ke Semenanjung dan Sabah terus menerima ‘bahan mentah’ yang terpaksa dimasak lagi selama beberapa tahun sebelum mahir dan begitulah seterusnya.

Janji Puad untuk menyelesaikan isu GSTT mungkin tidak seteruk janji untuk memenggal lehernya demi untuk menunjukkan bahawa beliau pemimpin agung yang sanggup mengorbankan diri untuk rakyat jika BN gagal tunai janji.

Sebaiknya, Puad tidak lagi menjejakkan kaki ke Sabah jika hanya menjual ‘sup lidah’ di Sabah terutama kegagalan Puad memastikan guru terlatih di Sabah diberikan peluang kenaikan pangkat, terutama ke jawatan Guru Besar, Pengetua atau Guru Penolong Kanan atau Guru Pakar.

Tidakkah Puad malu menghantar lebih 250 orang Juruteknik Komputer yang hanya berkelulusan SPM daripada Semenanjung dan puluhan ribu guru daripada Semenanjung Malaysia sehingga menafikan hak rakyat Sabah untuk berbakti kepada negeri mereka sendiri.

Puad telah membunuh jiwa para guru di Sabah dengan merendahkan martabat mereka dalam isu GSTT dan kelayakan menjadi guru, sedangkan rakyat Sabah bukan lagi bercawat atau tinggal di atas pokok.

Salam Hormat,

YB Datuk Eric Majimbun

No comments:

Post a Comment