Bahagian 2
Oleh : MUTALIB M.D
MEMANG amat MEMALUKAN. Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat terpaksa memilih jalan alternatif menyampaikan rasa tidak puas hati melalui jalan songsang iaitu menghantar Memorandum kepada DYMM Yang DiPertua Agong; memberikan gambaran Kerajaan Malaysia telah GAGAL secara TOTAL.
Ikuti Sambungan Siri Kedua Wawancara dengan Tan Sri Simon Sipaun berhubung isu di atas.
Mutalib: Bolehkah Tan Sri memberikan beberapa formula bernas yang boleh menyelesaikan masalah kewarganegaraan songsang yang semakin meruncing sekarang dan bolehkah Tan Sri memainkan peranan penting untuk menjayakan isu yang telah lama berlarutan?
SIMON: Sebelum memastikan sebarang formula mencapai kejayaan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu menetapkan pendirian tegas berhubung sempadan negara dengan mengamalkan dua prinsip utama.
Yang pertama menyelesaikan masalah PATI yang sedia ada di negara ini secara saksama kerana penghantaran mereka balik ke negara asal bukanlah jalan terbaik malah terlalu membebankan Malaysia.
Yang kedua, kerajaan hendaklah memastikan tidak ada lagi PATI yang dibawa masuk atau mendarat di negara ini yang sudahpun mempunyai lebih 1.75 juta PATI berbanding rakyat tempatan hanya 1.5 juta orang sahaja.
SONGSANG....Jika terdapat warga asing mendapatkan kerakyatan songsang sudah tentu akan menimbulkan kegusaran dan mencabul hak rakyat asal. |
Mereka perlu diberikan dokumen sah sama ada melalui hubungan diplomatik ataupun menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Adalah tidak adil membiarkan Sabah bersendirian menanggung beban PATI, sedangkan kuasa Imigresen dan keselamatan di bawah tanggung jawab Kerajaan Persekutuan.
Boleh dikatakan PATI merupakan masalah yang terbesar di Sabah dan mungkin tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan atau sepenuhnya kerana jumlah mereka terlalu ramai sehingga sampai ke peringkat susah dikawal. Soalannya mengapa masalah ini hanya terdapat di Sabah?
Kita selalu mendengar penjelasan daripada pihak berkuasa bahawa masalah ini timbul akibat daripada Sabah mempunyai sempadan yang begitu panjang, susah dijaga, dikawal atau dimonitor.
Tetapi keadaan sempadan di Sarawak tidak kurang panjang tetapi tidak mengalami masalah yang serupa di Sabah. Ada kemungkinan bagi Sabah keadaan seperti ini merupakan satu AGENDA POLITIK yang tersembunyi?
Apa yang saya perhatikan, penangkapan PATI dijalankan setiap masa dan ramai telah diusir ke negara asal mereka. Pada hemat saya tindakan ini tidak begitu berkesan kerana jika 10 orang yang diusir hari ini, maka yang datang balik lebih ramai daripada jumlah tersebut.
Gerakan pengusiran ini merupakan tindakan ’reaktif’ dan bukannya ’pro-aktif’ hampir sama dengan tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terpaksa berkejar ke sana ke mari untuk memadam api sedangkan Bomba ditubuhkan untuk mengawal kebakaran dan bukan memadam api.
CEDERA….Lelaki tempatan ini telah ditikam oleh PATI namun sehingga kini PATI berkenaan masih bebas tanpa hukuman. |
Nampaknya ada keperluan bagi dasar dan pelaksanaan dasar setakat ini dikaji semula agar masalah yang ada kaitan dengan PATI dapat ditangani dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, saya langsung tidak mengerti dasar dan pendirian kerajaan berhubung ‘kanak-kanak terapung’ (stateless children).
Mengikut pengamatan saya, mereka tidak mempunyai hak asasi (basic right) dan bilangan mereka semakin bertambah ramai sehingga mewujudkan segolongan besar masyarakat yang tidak mempunyai kewarganegaraan, tidak berpelajaran dan tidak ada kemahiran.
Mereka inilah yang menjadi ‘bom masa’ (time bomb) yang akan meledak pada bila-bila masa. Pada masa sekarang, mereka hanyalah kanak-kanak, tetapi beberapa tahun akan datang akan menjadi dewasa. Tanpa sebarang kemahiran, pengalaman dan pelajaran, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menjadi perompak, penyamun dan kegiatan jenayah berat untuk meneruskan kehidupan. Situasi sudah mula berlaku walaupun dalam skala yang kecil.
Mutalib: Semasa mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat di se-buah hotel terkemuka tahun lalu, Tan Sri begitu berang kerana dua panel tidak hadir iaitu Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen. Apakah ketiadaan mereka menjadi punca sebenar mesyuarat tersebut gagal mencapai satu ketetapan dan apakah sikap mereka wajar?
SIMON: SUHAKAM telah mencari jalan perundingan dan penyelesaian terbaik dengan membawa Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen berjumpa rakyat melalui Persidangan Meja Bulat untuk mencari jalan penyelesaian.
Namun saya amat hampa kerana mereka seolah-olah tidak langsung menghormati SUHAKAM yang ditubuhkan di Parlimen dan Pesuruhjayanya dilantik oleh Yang DiPertuan Agong dengan tidak menghadiri majlis penting ini.
Saya hanya minta Pengarah JPN membentangkan kertas kerja berjudul, ”Benarkah Masih Ada Lagi Rakyat Sabah Yang Tidak Memiliki Dokumen Pengenalan Diri?”
Begitu juga dengan Jabatan Imigresen yang kita minta membentangkan kertas kerja berjudul,”Kemanusiaan dan Kewarganegaraan di Sabah”, namun mereka menghantar pegawai rendah yang tidak tahu apa-apa dengan memberi pelbagai alasan.
Bagi menjayakan persidangan Meja Bulat ini hanya wakil NGO sahaja, iaitu Dr Chong Eng Leong yang membentangkan Kertas Kerja berjudul ‘Pencabulan Hak Asasi Rakyat Malaysia di Sabah dengan Kebanjiran Rakyat Asing’.
Sikap dua jabatan ini amat tidak wajar dan menjatuhkan imej jabatan kerajaan di mata rakyat.
Begitu ramai yang hadir sehingga bilik persidangan penuh sesak, namun kegagalan mereka hadir tanpa sebab yang munasabah menyebabkan rakyat hampa dan persidangan ini hanya menjadi tempat meluahkan perasaan tidak puas hati dan jengkel terhadap senario terkini.
Jika JPN dan Imigresen tidak dapat memberikan penjelasan, siapa lagi yang boleh berbuat demikian? Kepada siapa lagi kita mau tanya?
Mutalib: Dalam majlis berkenaan juga Tan Sri mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja? Apakah ianya benar-benar perlu dan dalam masa yang sama ramai mengatakan suruhanjaya berkenaan tidak perlu?
SIMON: Ya, pendirian kita memang tegas dan tepat. Adalah menjadi Hak rakyat untuk mendapat sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana semua pihak yang dipertanggung jawabkan ‘TELAH GAGAL’ menyelesaikan isu PATI ini walaupun telah 36 tahun berlalu. Seolah-olah kita menanti realiti yang tidak pasti, tetapi setiap hari semakin ramai PATI yang menceroboh Negara ini.
Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja amat penting, terutama bukan sahaja menyiasat kebanjiran warga asing yang keluar masuk dan yang mendapat kerakyatan songsang, malah menyiasat apakah JPN dan Imigresen gagal menjalankan amanah rakyat kerana rasuah berleluasa.
Kenapa kita perlu berdolak dalih? Kenapa kerajaan perlu takut untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas? Jika kerajaan terlibat atau cuba menyembunyikan sesuatu, maka kerajaan harus takut.
Jika kerajaan tidak terlibat, maka hendaklah secara terbuka menyokong penubuhan Suruhan Jaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat bagaimana ratusan ribu rakyat asing memperoleh kad pengenalan secara tidak sah dan menjadi pemilih berdaftar.
Pihak lain berpendapat suruhanjaya tidak perlu kerana mereka tidak memahami betapa seriusnya isu ini dan cuba melindungi kegagalan jabatan mereka, tetapi bagi SUHAKAM, ianya amat perlu dan diperlukan segera.
Mutalib: Adakah sebarang kemungkinan Kerajaan akan menyiasat kes kad pengenalan projek dan dalam masa yang sama ramai wakil rakyat berdiam diri sedangkan mengikut peraturan yang berkuatkuasa, sebarang pindaan rang undang-undang hanya boleh diluluskan oleh Dewan Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri?
SIMON: TIDAK. Kerajaan tidak serius menangani isu ini. Kalau serius kenapa 36 tahun belum selesai, malah bertambah buruk. Saya ingat lagi sekitar 1990-an ketika menjadi Setiausaha Kerajan Negeri Sabah, saya mengikuti rombongan berjumpa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad.
Memandangkan keadaan keselamatan tidak terjamin berikutan kebanjiran rakyat asing yang tidak terkawal, Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (TASKFORCE).
Walaupun beberapa pihak membantah, namun Perdana Menteri meneruskan usaha penubuhan
TASKFORCE yang dianggotai pelbagai jabatan dan bertindak sebagai Ad-hoc kerana terletak terus di bawah bidang kuasa Perdana Menteri tanpa melibatkan establishment (pengwujudan jawatan baru secara hakiki).
Namun kini sudah hampir 20 tahun, masalah PATI semakin bertambah serius sekalipun TASKFORCE telah menjalankan pelbagai operasi dan mekanisme pemantauan tetapi tidak berkesan.
Saya tidak fikir Kerajaan akan menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu kad pengenalan projek yang diberikan kepada warga asing kerana semua wakil rakyat yang terpilih mempunyai kepentingan masing-masing dan akan memastikan kuasa politik mereka tidak terlepas ke tangan orang lain.
Apatah lagi mereka ini telah didaftarkan sebagai pemilih di dalam daftar pemilih yang tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Sikap yang diambil oleh Taskforce tidak ubah seperti PEMADAM API (Fire Extinguisher). Apabila timbul kemarahan rakyat, mereka mula menjalankan operasi mengenyah keluar PATI, tetapi apabila isu ini agak reda mereka mendiamkan diri.
Namun mereka tidak pernah melakukan apa-apa terhadap warga asing yang memperoleh kad pengenalan secara tidak sah. Mereka tumpukan kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sahaja. Jadi siapa yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan isu ini?
Mutalib: Apa pendapat Tan Sri berhubung tindakan NGO menghantar Memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja?
SIMON: Situasi ini menunjukkan semua jalan sudah buntu. Indikasi yang menyatakan kerajaan gagal menangani isu ini secara bestari. Semua jentera kerajaan telah gagal. Rasuah berleluasa dan penguatkuasaan tumpul.
Memang amat MEMALUKAN. Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat terpaksa memilih jalan alternatif menyampaikan rasa tidak puas hati melalui jalan yang songsang iaitu menghantar Memorandum kepada Yang DiPertua Agong memberikan gambaran Kerajaan Malaysia telah GAGAL secara TOTAL.
Rakyat tidak lagi mempercayai kerajaan dan meragui ketulusan kerajaan kerana ketirisan keyakinan yang mendorong mereka melakukan suatu tindakan di luar perlembagaan dengan menghantar Memorandum kepada Yang diPertuan Agong.
Saya terharu apabila Presiden Cash, Datuk Patrick Sindu memberitahu kita dalam satu wawancara di media elektronik bahawa, ”Jika ada pejabat Tuhanpun dia akan pergi asal isu ini dapat diselesaikan.”
Walaupun Patrick ingin berseloroh, namun menunjukkan kehampaan kepada semua jentera kerajaan. Ini perkembangan yang tidak sihat dan jika dibiarkan akan memberikan impak yang ketara dari segi hak asasi manusia yang tidak lagi menaruh sebarang keyakinan kepada Kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Mutalib: Kini mereka menganjurkan referandum dengan kerjasama beberapa blog dan akhbar kerana semua saluran rasmi menafikan hak mereka. Apakah ianya perkembangan yang sihat bagi Malaysia?
SIMON: Saya tidak nampak sebab kenapa niat murni mereka ini disekat setelah gagal dan buntu dalam segala hal. Mereka kembali kepada rakyat dan patut seluruh rakyat Malaysia menyokong referandum ini. Jika kerajaan benar-benar peka dan mengatasi masalah ini secara bijak, maka saya tidak fikir mereka ini akan menganjurkan referandum.
Tetapi apabila sudah memikirkan semua saluran telah dibuat, maka kita mengalu-alukan mereka meneruskan referandum agar rakyat Sabah bersama-sama mereka menuntut hak asasi mereka melalui pelbagai cara yang SAH menurut undang-undang. Referandum adalah perkembangan yang sihat bagi Malaysia kerana rakyat mula menyedari HAK ASASI mereka sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun bagi sesetengah pihak, ianya agak memalukan, namun dari aspek hak asasi manusia amat digalakkan. Rakyat bebas memberikan pandangan dan membuat keputusan mengikut citarasa dan apa yang mereka fikirkan secara kolektif dan matang.
Mutalib: Tidakkah Tan Sri atau SUHAKAM boleh memainkan peranan menganjurkan Konvensyen Rukunegara bagi membolehkan rakyat menyedari dan mengetahui saluran yang betul dan cintakan negara mereka dengan tidak melindungi PATI sehingga mereka kini menjadi ’Anak Negeri Sabah’?
SIMON: Kita memang merancang mengadakan pelbagai aktiviti untuk memberi kefahaman kepada rakyat berhubung hak asasi dan yang bersangkutan dengannya.
Namun jika ada keperluan mendadak kita akan menganjurkan Konvensyen berkenaan, tapi kita akan melihat keperluan secara saksama. Apa yang kita inginkan daripada setiap program kita ialah rakyat sedar akan hak mereka dan bertindak menurut saluran undang-undang.
Mutalib: Jika Kerajaan enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atas sebab tertentu, apakah wajar bagi rakyat menuntut keadilan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ?
SIMON: Pilihan terbuka kepada rakyat, kerana hak asasi memberi mereka peluang mendapatkan keadilan sejagat. Mereka boleh membawa isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Saya menghormati tindakan Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Sabah & Labuan, Joshua Kong (gambar atas) yang telah memfailkan kes ke ICC. Soal berjaya atau tidak, tidak timbul. Tetapi usaha berterusan perlu dilakukan dan disokong, asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Peluang dan ruang terbuka luas bagi rakyat menuntut keadilan.
Mutalib: Akhir sekali apakah rumusan Tan Sri berhubung isu ini dan apa pesanan untuk rakyat Sabah yang tertindas dan ditindas oleh karenah birokrasi?
SIMON: Berilah peluang kepada rakyat menyuarakan hak mereka dan berilah HAK kepada rakyat yang berhak untuk hidup secara aman damai di sebuah negara yang merdeka. Kembalikanlah hak mereka, jika hak mereka telah dirampas secara tidak sengaja.
Kepada rakyat Sabah, teruskan perjuangan yang belum selesai kerana jika mereka berdiam diri, ada pihak yang akan mengambil kesempatan ke atas mereka. Mereka hendaklah menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan kerana tanpa Perlembagaan Persekutuan, mereka tidak berhak melakukan apa-apa.
Adalah tidak wajar jika rakyat asing mengaku menerima kad pengenalan projek dengan harga RM10 sahaja, sedangkan Kerajaan Persekutuan berkeras menafikannya! |
(PERINGATAN : Semua kenyataan yang disampaikan oleh Tan Sri Simon di dalam wawancara khas ini adalah pendapat beliau secara peribadi berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian beliau. Apa yang dinyatakan tidak semestinya mencerminkan pendirian SUHAKAM atau DIPERSETUJUI oleh rakan sejawatnya di dalam SUHAKAM. Apakah Perjuangan Belum Selesai Tan Sri Simon ini akan diteruskan oleh penggantinya atau hanya tinggal dalam lipatan sejarah?)
No comments:
Post a Comment