Top posts

Featured Posts

Perkasa bakar gambar Ambiga, amaran kepada kaum Cina, pembunuhan beramai ramai

Penyokong Perkasa membakar poster Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga di pekarangan Kelab Sultan Sulaiman,
Kuala Lumpur petang tadi. — Foto oleh Jack Ooi
(The Malaysian Insider) — Perkasa bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini kerana “apa sahaja boleh berlaku.”


Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Dalam ucapan di hadapan penyokongnya termasuk kalangan Cina dan India, Ibrahim berkata Himpunan Bersih 2.0 diadakan kerana gerakan itu mempunyai agenda untuk menumbangkan kerajaan sedia ada dengan mengambil inspirasi daripada apa yang berlaku di Timur Tengah.

“Kita tahu tujuan mereka turun ke jalanan, kumpulan ini mahu menimbulkan huru-hara dalam negara, kalau dulu peristiwa 13 Mei (1969) negara diisytiharkan darurat dan Tun Abdul Razak (Hussein) dilantik sebagai ketua negara sementara dan jika ia berlaku nanti adakah perkara sama akan berlaku?

“Sebab itu kita tidak boleh berdiam diri, kita tahu orang Cina mengutamakan perniagaan... kita tidak mahu himpunan 9 Julai yang mereka buat ini menunjukkan mereka dapat restu daripada rakyat, kita bertegas dalam perkara ini dan kita bukan mahu melakukan provokasi,” katanya.

Malah dalam ucapan pelancaran, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa Ambiga sebagai ejen Yahudi.

“Kita tentang Ambiga bukan sebab dia India tapi sebab dia jahat, Melayu jahat pun ada... Melayu yang jahat juga kita marah.

“Siapa Ambiga? Saya percaya dia adalah ejen Yahudi... siapa dia puan guru Ambiga ini,” katanya.

Selain mengecam penganjuran himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.

“Kita sedang berhadapan dengan seorang wanita Hindu bernama Datuk Ambiga Sreevanesan (cehh... anti Islam ini pun boleh dapat Datuk) yang sangat anti kepada Melayu dan Islam yang akan mengetuai perhimpunan Bersih yang kotor sebenarnya.
Penyokong Perkasa mengambil bahagian dalam majlis pelancaran Gerakan Aman 9 Julai di Kuala Lumpur hari ini. — Foto oleh Jack Ooi
“Wanita Hindu ini adalah pembela kepada kes Lina Joy yang ingin murtad. Beliau selalu membabitkan diri dalam isu-isu murtad kalangan orang Islam, malah beliau semasa menjadi presiden Majlis Peguam sangat agresif menyerang kerajaan BN (Barisan Nasional) kerana diterajui oleh orang Melayu,” kata risalah itu.

Kata Ibrahim, pihaknya akan menggerakkan 20 bas dari setiap negeri pada 9 Julai ini untuk membantah Himpunan Bersih 2.0.

“Percayalah hanya segelintir orang Cina dan India akan sertai Himpunan Bersih 2.0 itu nanti, yang ramai ialah orang-orang Melayu... agenda himpunan ini bukan hendak menuntut satu pilihan raya yang bersih tapi agenda utama untuk menghuru-harakan negara seperti mana yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa negara lain.

“Mereka kata pilihan raya tidak adil tapi pada 2008 mereka tawan empat negeri, menang 82 kerusi Parlimen, kalau mereka kata ini tidak adil saya cabar mereka letak jawatan masing-masing dan kita adakan semula pilihan raya,” katanya.

Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Tegas Ibrahim, himpunan anti-Bersih tidak akan bergabung dengan Pemuda Umno sambil berkata “tidak mahu digelar sebagai himpunan parti politik.”

“Kita tidak akan bergabung dengan Pemuda Umno, kita ini adalah NGO bukan parti politik dan kita mahu bergerak atas tiket NGO.

“Ini keputusan kita, kita hanya bergerak atas NGO bukan parti politik,” katanya sambil menambah tindakan Bersih turun ke jalanan bukan kebebasan bersuara yang sebenar.

Turut hadir dalam pelancaran itu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkefli Noordin dan bekas timbalan menteri penerangan Datuk Khalid Yunus.

Ditanya soal permit, Ibrahim menegaskan jika Himpunan Bersih 2.0 diadakan tanpa permit, maka pihaknya juga akan berhimpun tanpa permit.

“Jika Bersih tidak memohon permit kita juga akan lakukan perkara sama, kalau Bersih mempunyai permit kita juga akan mohon permit,” katanya.

2 comments:

  1. Ini giler punya krja ne MP Pasir Mas Ibrahim li, Perkasa yang tidak Perkasa dan lembik kat bawah tu.. Udahlah tu, berentilah nanti sakit jantung lagi...

    ReplyDelete
  2. Tuan tuan dan puan puan saya dan PBS menyokong usaha usaha UMNO Perkasa ini untuk demi kebaikan negara yang kita cintai lagi sayangi ini. Undilah kami PBS dan UMNO dalam pilhanraya akan datang ini demi untuk kebaikan cucu cicit kita...

    Sekian diucapkan terima kasih..

    ReplyDelete

Search This Blog