Top posts

Featured Posts

Warkah di ambang maut: Harapan menggunung

Yong Vui Kong, rakyat Malaysia kelahiran Sabah, sedang merengkuk di penjara Singapura. Beliau menunggu hukuman gantung ke atasnya dilaksanakan kerana kesalahan mengedar dadah.

Malaysiakini akan menyiarkan surat-surat terakhir Yong kepada Yetian – seorang anggota kempen “Selamatkan Vui Kong” – sepanjang 12 minggu terakhirnya di menunggu kematiannya.


Hari ini akan kukisahkan pada kalian tentang harapanku, tentang teman-teman rapat yang umpama darah daging sendiri.

Sebenarnya, pertama kali melangkah ke tirai besi, 'harapan' tak pernah menghilang dari fikiran. Harapanku pada masa itu termasuklah:
  • Kepingin bertemu anggota keluarga dan sahabat.
  • Lepas bebas daripada penjara.
  • Dan semoga tidak perlu mati di tali gantung.
Tetapi kini, semua keinginan itu telah berubah.

Harapan terbesarku untuk memberitahu semua orang, untuk berubah, mereka perlukan keimanan, pemahaman dan pelajaran.

Aku pelajar dharma. Aku belajar falsafah asasnya hingga ke beberapa tahap, sebelum menekuninya lagi dan lagi. Aku mahu belajar menghargai hidup dan menolong orang lain.

Sudah tentu aku berharap ditakdirkan jadi pendeta.

Kegembiraan seketika

Aku benar-benar berharap perdagangan dadah akan akan lenyap daripada dunia ini. Ia mengundang banyak keburukan.

NONEMungkin ada pengedarnya membaca surat-suratku ini. Mungkin mereka fikir aku cuba jahanamkan pasaran mereka.

Tetapi, biar aku beritahu, dengan sedikit nikmat najis dadah sekarang, di masa depan kamu hilang keupayaan deria. Kerana dadah, kamu akan derita dan tidak bahagia.

Penghujungnya pasti sama dengan apa yang aku lalui.

Dadah cuma simbol yang tak pernah berubah. Ia melambangkan kegembiraan seketika. Ia menyakitkan, menghuru-harakan kehidupan, menghancurkan hubungan keluarga, masyarakat dan meruntuhkan sistem kepercayaan.

Walaupun akan digantung tidak lama lagi, aku harap dapat menjadi contoh kepada masyarakat. Walaupun hukuman bunuh merupakan undang-undang yang sudah lama diamalkan, kita masih tidak pasti sama ada ia benar-benar berjaya mengawal jenayah.

Wei Zhong sahabatku

Sekiranya mendapat peluang, aku mahu menemui kalian, walau cuma sekali saja. Aku akan terangkan padamu tentang falsafah Budhisme. Inilah harapanku.

Yetian,
Dalam warkah sebelum ini, tidak pernah sekali pun kusebut nama teman-temanku. Kali ini biar aku beritahu tentang 'saudaraku' dan hidupnya.

Wei Zhong namanya. Kali terakhir kali bertemu ketika ulang tahun kelahirannya. Kami tak pernah menyangka ia sebenarnya pertemuan perpisahan.

Ketika pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur sebelum ini, berdasarkan wajah kami, orang ramai benar-benar sangka aku dan Wei Zhong adik beradik.

Dan untuk 15 tahun, kami bersama. Kami mengenali rakan baru, makan-minum, melungsuri jalan bersama-sama.

Mengenalinya adalah penghormatan terbesar. Mungkin ramai menganggapnya sebagai masa baik dalam perjalanan hidupku.

Semua orang punya saudara dan teman sejati. Untukku, Wei Zhong namanya.

Jalan gelap

Bagaimanapun, realitinya hari ini, masih ramai tersalah memilih kawan, termasuk diriku. Aku juga menemui teman yang salah, yang mendorongku ke jalan gelap seperti sekarang ini.

Kepada ibu atau bapa yang membaca surat ini, beritahulah anak-anakmu: "Jangan jadi macam Yong Vui Kong. Jangan ikut jejak langkahnya. Jika tidak,kamu akan menyesal."

Kita patut ada gerak hati yang benar bagi membezakan antara yang patut dan yang tidak patut dilakukan. Pada masa lalu, aku keliru. Hidupkun seolah-olah tiada undang-undang. Sekarang barulah aku jelas tentang perkara itu.

Sebenarnya, seperti aku maklumkan sebelum ini, kamu orang asing dan sahabat -- seperti yang lain juga. Dan aku tidak pernah menemui atau melihat wajah mereka.

Namun semua orang masih sudi membantuku tanpa sebarang keluhan. Maka, kamu semua sahabat sejati.

Aku harus berhenti dahulu setakat ini. Sampai jumpa lagi minggu depan. Aku mahu ceritakan lebih banyak lagi tentang diriku.

Ikhlas,
Vui Kong

YONG VUI KONG, dijatuhkan hukuman mati pada November 2009 kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 April lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori.

Remaka itu dijadual digantung dalam tempoh kurang tiga bulan kecuali diberikan pengampunan oleh presiden Singapura.

1 comment:

  1. Vui KOng, kenapa anda terlalu lewat menyedari ?

    Semoga anda dapat pengampunan terakhir Presiden Singapura. Jika anda diampunkan, berjanjilah menjadi penyelamat ramai orang muda lain yang terlibat dalam najis dadah ini okay...

    ReplyDelete

Search This Blog