Walaupun hebat dikritik, harga saham Tricubes Bhd melambung mencecah paras rekod tertinggi dalam tempoh enam tahun, selepas ia mengumumkan akan mengendalikan projek Emel 1Malaysia.
Apabila dilaporkan bahawa syarikat tersebut akan bersama firma perisian gergasi, Microsoft, untuk melaksanakan projek e-mel tersebut Selasa lalu, harga sahamnya terus melonjak.
Harga sahamnya berada di paras terendah pada 4 Mac 2009 apabila
ditutup pada harga 3.5 sen.
Bagaimanapun, sejak pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya pada hari Selasa, harga sahamnya melambung naik 491 peratus berbanding harga 5.5 sen pada hari Isnin. Hari ini sahamnya ditutup pada harga 32.5 sen.
Lonjakan tersebut bermakna harga sahamnya naik lebih lapan kali.
Harga saham syarikat itu ditutup empat sen lebih tinggi pada 9.5 sen pada hari Selasa - naik 72.7 peratus. Ia bertambah stabil sekali lagi pada hari Rabu dengan peningkatan 68 peratus dari hari sebelumnya, untuk ditutup pada harga 16 sen.
Semalam ia membuat lonjakan tertinggi - 96.88 peratus - untuk ditutup pada harga 31.5 sen.
Ia menutup lebih tinggi sedikit - pada 32.5 sen - hari ini.
No comments:
Post a Comment